Syarikat Pegangan Penerbangan AirAsia dinamakan semula untuk pembezaan jelas antara perniagaan penerbangan dan digital
AirAsia Investment Ltd. kini dinamakan AirAsia Aviation Limited untuk sokong pengembangan portofolio AirAsia Group
SEPANG, 14 Oktober 2021 - Sejajar dengan transformasi pantas AirAsia daripada sebuah syarikat penerbangan kepada kumpulan perkhidmatan perjalanan dan gaya hidup digital yang terus berkembang, syarikat pegangan penerbangan AirAsia Group kini telah dinamakan semula sebagai AirAsia Aviation Limited.
Bo Lingam, dahulunya Presiden (Penerbangan) AirAsia Group kini dilantik sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia Aviation Limited, yang menyelia empat syarikat penerbangan AirAsia Group iaitu AirAsia Malaysia, AirAsia Filipina, AirAsia Thailand dan AirAsia Indonesia.
AirAsia Group Berhad (AAGB) adalah sebuah syarikat pegangan pelaburan untuk lapan syarikat dengan portfolio digital yang memanfaatkan data dan teknologi untuk memberikan nilai terbaik dengan kos terendah kepada pengguna. Portfolio komprehensif AAGB merangkumi AirAsia Aviation, airasia Super App, cabang kargo dan logistik Teleport, perkhidmatan kewangan BigPay, cabang teknologi pendidikan airasia academy, syarikat kejuruteraan Asia Digital Engineering, perkhidmatan darat GTR dan rangkaian restoran dan kumpulan makanan iaitu Santan.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia Aviation Limited Bo Lingam berkata, “Perubahan struktur ini membantu memacu pertumbuhan kami yang semakin kukuh dalam kedua-dua perniagaan syarikat penerbangan dan digital.
“Entiti AirAsia Aviation Limited memegang pelaburan syarikat penerbangan kami dan membuka lebih banyak peluang untuk menubuhkan syarikat penerbangan baharu apabila tiba masanya. Kami juga baru sahaja mewujudkan bahagian Perundingan AirAsia yang bertujuan untuk mengkaji kerjasama syarikat penerbangan dan peluang francais.
“Dengan mewujudkan syarikat pegangan bagi syarikat penerbangan ini, kami dapat memberikan fokus untuk terus menjadi syarikat penerbangan tambang rendah terbaik dunia. Kami telah meluangkan masa selama 18 bulan yang lalu untuk meninjau setiap aspek operasi bagi memastikan syarikat penerbangan kami akan kembali beroperasi dengan lebih teguh. Kami juga dapat melihat pembukaan semula sempadan dunia dan meramalkan pemulihan berbentuk V bagi sektor perjalanan udara dalam masa terdekat. Di Malaysia, kami telah melihat permintaan tinggi untuk perjalanan udara sejak kerajaan mengumumkan permulaan perjalanan antara negeri pada 11 Oktober. Buat masa ini kami mengendalikan lebih 60 penerbangan setiap hari ke 16 destinasi percutian utama di Malaysia dan lebih banyak kekerapan dan laluan akan terus ditambah untuk memenuhi permintaan para tetamu yang semakin meningkat.
“Kami juga telah melihat kemajuan yang memberangsangkan bagi syarikat penerbangan kami di Thailand, Indonesia dan Filipina berikutan permulaan perkhidmatan yang seiring dengan peningkatan vaksinasi dan kelonggaran sekatan perjalanan di pasaran utama kami ini.
“Untuk memastikan keselamatan para kakitangan dan tetamu, kami juga melaksanakan langkah-langkah keselamatan dan kesihatan yang ketat dengan standard kebersihan tertinggi.
“Kami berharap untuk melihat pembukaan sempadan antarabangsa tidak lama lagi. Kami akan terus mengkaji pasaran baharu untuk beroperasi pada masa akan datang, seperti di Kemboja, apabila kami dapat kembali menghubungkan Asean dengan tambang nilai dan tawaran gaya hidup terbaik.”