AirAsia Newsroom

View Original

Santan terus berkembang pesat dengan sijil pendaftaran francais rasmi

Kenyataan Gambar: (Dari Kiri) Datuk Kamarudin Meranun, Pengerusi Eksekutif Kumpulan AirAsia; YB Dato’ Rosol Wahid, Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna; Tan Sri Tony Fernandes, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia; YB Datuk Alexander Nanta Linggi, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna; Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna; dan Catherine Goh, Pengurus Besar Restoran Santan di Santan Food, satu ruang khas baharu bertempat di Santan Mid Valley Megamall untuk mempromosikan produk terbaik buatan Malaysia.

KUALA LUMPUR, 29 September 2020 - Santan, jenama restoran pertama di dunia yang menawarkan hidangan dalam penerbangan di restoran, dijangka terus berkembang pesat di Malaysia dengan sijil pendaftaran francais rasmi oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP).

Sijil pendaftaran francais rasmi tersebut telah disampaikan pada hari ini kepada Catherine Goh, Pengurus Besar Restoran Santan oleh YB Datuk Alexander Nanta Linggi, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, disaksikan oleh YB Dato’ Rosol Wahid, Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna; Datuk Kamarudin Meranun, Pengerusi Eksekutif Kumpulan AirAsia; Tan Sri Tony Fernandes, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia; dan Aireen Omar, Presiden (AirAsia Digital) Kumpulan AirAsia di restoran pertama Santan di Mid Valley Megamall.

Dalam beberapa bulan akan datang, Santan akan membuka 20 buah restoran baharu di sekitar Lembah Klang dan francais pertamanya akan dibuka di SOGO Kuala Lumpur pada 8 Oktober 2020. Ini akan diikuti oleh lokasi-lokasi strategik lain seperti AEON Shah Alam, PKNS Shah Alam dan NU Sentral Kuala Lumpur pada bulan Oktober; 163 Mont Kiara, Wangsa Walk dan Wisma Tune pada bulan November; serta IOI City Mall, Sunway Putra Mall dan lain-lain pada bulan Disember.

YB Datuk Alexander Nanta Linggi, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna berkata: “Pihak Kementerian berbesar hati untuk menyampaikan sijil francais rasmi kepada Santan, salah satu perniagaan tempatan yang berkembang di waktu yang mencabar ini dan membuktikan bahawa model perniagaan mereka berdaya saing. Kami berharap lebih ramai usahawan tempatan akan mengambil peluang francais bersama Santan yang bukan sahaja akan merancakkan lagi pertumbuhan industri francais negara, malah meningkatkan nilai hasil dagangan industri francais menjelang tahun 2025. Perkembangan pesat Santan di Malaysia juga terus menyokong ‘Kempen Beli Barangan Malaysia’ yang bertujuan untuk mempromosikan produk tempatan dan mengukuhkan ekonomi domestik dengan menggalakkan pengguna membeli barangan buatan Malaysia.”

Catherine Goh, Pengurus Besar Restoran Santan berkata: “Kami ingin mengucapkan terima kasih kepada kerajaan, terutamanya pihak KPDNHEP atas sokongan mereka dan kerana telah memberikan sijil pendaftaran francais rasmi kepada kami. Sijil ini membolehkan kami untuk terus mengembangkan jejak pasaran kami melalui penawaran perniagaan francais. Selain menyediakan platform bagi membantu usahawan muda untuk menceburi industri makanan dan minuman, pengembangan 20 restoran baharu pada tahun ini juga akan membuka ratusan peluang pekerjaan seperti kakitangan kaunter hadapan dan pengurusan restoran.

“Tahun ini, fokus kami adalah pada pengembangan di sekitar Lembah Klang untuk terus meningkatkan jenama kami dan sebagai batu loncatan untuk Santan berkembang ke seluruh Malaysia. Menjelang tahun depan, kami yakin jumlah restoran akan mencecah hingga 100 buah dan restoran pertama di Sabah atau Sarawak dijangka akan dibuka pada suku pertama 2021.”

Sejajar dengan ‘Kempen Beli Barangan Malaysia,’ Santan juga telah menubuhkan Santan Food, satu ruang khas bertempat di restorannya di Mid Valley Megamall untuk mempromosikan produk buatan Malaysia yang terbaik seperti makanan ringan, kopi, teh buatan tempatan dan banyak lagi. Santan juga bekerjasama dengan jenama gaya hidup tempatan, Bingka untuk menghasilkan barangan cenderamata buatan tangan yang menampilkan tema ‘Nasi Lemak Pak Nasser’ yang unik oleh Santan. Dihasilkan oleh komuniti tempatan, cenderamata eksklusif ini boleh didapati di semua restoran Santan dan dalam talian di santan.com.my mulai 8 Oktober 2020.

Santan telah menetapkan visi untuk menjadi francais makanan segera Asean yang pertama melalui pengembangan dari Malaysia ke pasaran di rantau ini seperti Indonesia, Thailand dan Filipina.

Para usahawan yang berminat untuk memiliki dan mengendalikan francais Santan boleh menghubungi franchise@santan.com.my.

Untuk maklumat lanjut mengenai Santan dan untuk peluang pekerjaan, ikuti mereka di laman Instagram @santan.asean.

Kenyataan Gambar: (Tengah) YB Datuk Alexander Nanta Linggi, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna menyampaikan Sijil Pendaftaran Francais Rasmi kepada Catherine Goh, Pengurus Besar Restoran Santan disaksikan oleh YB Dato’ Rosol Wahid, Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna; Datuk Kamarudin Meranun, Pengerusi Eksekutif Kumpulan AirAsia; Tan Sri Tony Fernandes, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia; dan Aireen Omar, Presiden (AirAsia Digital) Kumpulan AirAsia di restoran pertama Santan di Mid Valley Megamall.