Pengiktirafan tertinggi tujuh bintang untuk penilaian keselamatan AirAsia
Penilaian keselamatan terkini diaudit oleh pakar penerbangan di airlineratings.com
KUALA LUMPUR, 7 Februari 2022 - Syarikat penerbangan di bawah AirAsia Aviation Limited sekali lagi telah diiktiraf dengan tahap keselamatan dan integriti operasi tertinggi dengan penilaian 7/7 daripada pakar keselamatan industri penerbangan di airlineratings.com. Penilaian serupa juga telah dianugerahkan kepada kumpulan syarikat penerbangan ini semasa kemuncak pandemik pada tahun 2020.
AirAsia Malaysia, Thailand, dan Filipina menerima pengiktirafan tersebut berikutan rancangan mitigasi Covid-19 yang kukuh dan komprehensif melalui pengumuman yang dibuat oleh airlineratings.com pada hari Sabtu, 5 Februari 2022. Hari ini, AirAsia juga telah dinamakan sebagai salah satu daripada 20 syarikat penerbangan tambang rendah paling selamat bagi tahun 2022 oleh pakar penerbangan yang sama di airlineratings.com.
Kumpulan syarikat penerbangan ini juga antara yang pertama mencapai penarafan keselamatan Covid tertinggi daripada airlineratings.com pada tahun 2020 dengan pelaksanaan pelbagai inovasi industri yang menjadikan pengalaman perjalanan lebih lancar dan selamat dalam dunia baharu perjalanan udara.
AirAsia Aviation Limited adalah anak syarikat Capital A Berhad (dahulunya dikenali sebagai AirAsia Group Berhad).
Bo Lingam, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia Aviation Limited berkata: “Keselamatan adalah faktor utama untuk perjalanan udara dan kini ia amat penting kerana kita sudah mula hidup dengan virus tersebut. Ini adalah pencapaian yang hebat untuk syarikat penerbangan kami dan saya berterima kasih kepada pakar di airlineratings.com kerana memahami dan mengiktiraf kerja keras kami untuk memastikan syarikat penerbangan ini bukan sahaja menawarkan keselamatan dan tambang berpatutan, malah menjadikan pengalaman perjalanan lebih lancar dan selamat dengan ciri-ciri tanpa sentuhan.
“Keselamatan sentiasa menjadi keutamaan kami. Kami berbangga untuk memastikan syarikat penerbangan dalam kumpulan ini mencapai akreditasi oleh Audit Keselamatan Operasi (IOSA) yang merupakan penanda aras global untuk mengekalkan standard keselamatan tertinggi pada setiap masa. Semua pesawat kami diselenggara mengikut piawaian kejuruteraan paling ketat seperti yang ditetapkan oleh syarikat pengeluar pesawat.
“AirAsia juga hanya akan menerima tetamu yang telah divaksin sepenuhnya dalam penerbangan kami, dan memastikan semua penerbangan dikendalikan oleh juruterbang dan kru kabin yang telah divaksin sepenuhnya. Begitu juga dengan kakitangan operasi dan pengendali bagasi di terminal. Selain itu, semua juruterbang dan kru kabin kami juga diberikan latihan dan kursus penyegaran agar mereka sentiasa bersedia memberikan perkhidmatan terbaik.
"Sebagai peneraju inovasi untuk menjadikan perjalanan lebih lancar, kami telah meningkatkan perkhidmatan dengan teknologi dan prosedur baharu supaya pengalaman penerbangan para tetamu lebih mudah dan selesa. Ini termasuk melancarkan sistem pengecaman wajah biometrik iaitu FACES untuk menyediakan prosedur tanpa sentuhan sepenuhnya kepada para tetamu.”
Ketua Pengarang dan Pengasas Airlineratings.com Geoffrey Thomas berkata: “Syarikat penerbangan AirAsia yang diperakui terus melepasi audit oleh Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa (Audit Keselamatan IATA - IOSA) yang meliputi lebih daripada 1,060 parameter.
“Kami berbesar hati untuk mengiktiraf syarikat penerbangan di bawah AirAsia dengan pencapaian penting ini selepas membuat semakan menyeluruh terhadap operasi mereka. Kami berharap untuk melihat AirAsia terus terbang lebih tinggi sebagai salah sebuah syarikat penerbangan tambang rendah terbaik di dunia.”