AirAsia Newsroom

View Original

OURFARM hubung pengeluar hasil pertanian terus kepada perniagaan

SERDANG, 15 Jun 2020 - OURFARM, platform e-dagang perniagaan-ke-perniagaan (B2B) baharu, bakal merevolusikan rantaian perniagaan berasaskan pertanian, dengan menghubungkan para petani terus kepada perniagaan berkaitan. Usaha ini dijangka dapat meningkatkan pendapatan mereka dengan menghapuskan kos orang tengah dan menyediakan sokongan logistik untuk memenuhi pesanan mereka secara langsung kepada perniagaan.

Platform ini dilancarkan hari ini oleh Menteri Pertanian dan Industri Makanan (MOA) YB Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee, Pengerusi Eksekutif Kumpulan AirAsia Datuk Kamarudin Meranun dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia Tan Sri Tony Fernandes.

OURFARM memanfaatkan ekosistem AirAsia yang merangkumi kemampuan kargo, logistik dan pembayaran dengan pangkalan data perniagaan dan penggunanya. Platform ini juga tidak mengenakan sebarang kos untuk mendaftar, dan menawarkan peluang kepada para petani untuk menerima latihan dalam mendigitalkan perniagaan mereka dengan kursus e-dagang dari RedBeat Academy.

Selari dengan agenda Hala Tuju e-Dagang Kebangsaan kerajaan untuk memacu industri perniagaan pada masa hadapan dan mengembangkan akses pasaran tempatan, OURFARM ditubuhkan dengan kerjasama strategik Kementerian Pertanian dan Industri Makanan dan akan menyokong lebih daripada 1,000 orang petani kontrak kerajaan serta pemilik ladang swasta.

Pengerusi Eksekutif Kumpulan AirAsia Datuk Kamarudin Meranun berkata: “Inovasi digital adalah salah satu tonggak utama kami, dan kami ingin mengucapkan terima kasih kepada Kementerian Pertanian dan Industri Makanan kerana menyedari nilai OURFARM. Platform baharu ini akan membantu banyak perniagaan kecil dengan mengurangkan kos perolehan hasil segar hingga 25% kerana mereka boleh berhubung terus dengan pengeluar pertanian. Kami telah belajar daripada pengalaman menjalankan perniagaan katering dalam penerbangan dan Kafe Santan yang baru dilancarkan, di mana kami juga menghadapi cabaran harga tinggi untuk bahan-bahan segar.

Lebih penting lagi, OURFARM akan membantu meningkatkan margin keuntungan pengeluar pertanian dengan menghapuskan kos orang tengah. Platform ini menyediakan sistem pengurusan rantaian bekalan yang lebih cekap yang menyokong agenda keselamatan makanan negara. Tambahan pula, Asean dikenali dengan sektor pertanian paling produktif di dunia, jadi kami juga merancang untuk mengembangkan platform ini bagi menyokong sektor pertanian di rantau ini dalam jangka panjang.”

YB Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee, Menteri Pertanian dan Industri Makanan berkata: “Kementerian telah secara proaktif berhubung dengan pemain industri, terutama dalam membantu memadankan perniagaan dengan platform e-dagang sama ada perniagaan-ke-pengguna (B2C) dan perniagaan-ke-perniagaan (B2B). Kerjasama strategik antara MOA dan OURFARM ini akan mewujudkan ekosistem baharu yang dapat membantu perniagaan berasaskan pertanian berkembang dengan lebih luas, sambil memberi pengguna nilai yang lebih baik untuk mereka. Kami memuji Kumpulan AirAsia kerana memperkenalkan jenama dan platform baharu seperti OURFARM dan berharap ia dapat menyumbang ke arah ketersediaan, kebolehcapaian, kemampuan dan kestabilan sektor berasaskan pertanian di Malaysia.”

Selain itu, penyelesaian jarak jauh OURFARM akan dikuasakan oleh Teleport, cabang logistik Kumpulan AirAsia dan TheLorry.com.

Radzi Tajuddin dan Nadhir Ashafiq, Pengasas Bersama OURFARM berkata: “Model baharu sebegini amat diperlukan mengambil kira selepas 60 tahun petani, penternak, peladang dan nelayan secara amnya mendapat bahagian yang sedikit dari keseluruhan rantaian pengeluaran makanan. Mengikut kajian yang dibuat oleh Suruhanjaya Anti Persaingan (MyCC), golongan ini hanya mendapat sekitar RM1.50-RM2 bagi setiap RM10 harga produk.

Komponen terpenting bagi kejayaan platform sebegini terletak pada teknologi, data dan logistik. OURFARM mempunyai ketiga-tiganya. Berbanding platform lain, OURFARM bersedia dengan 7,000 lori di seluruh Malaysia yang boleh digerakkan dalam masa 60 minit untuk mengambil dan menghantar terus produk tersebut kepada pembeli. Ini sekaligus memastikan kesegaran dan lebih penting mengawal kos bagi para petani dalam platform kami. Saya percaya teknologi dan platform OURFARM mampu meningkatkan pendapatan mereka sebagaimana yang berlaku di Jepun dan China.”

OURFARM juga menyediakan faedah lain, termasuk syarat kredit untuk menyokong pembeli perniagaan dan mencegah pembaziran kerana pembeli dapat memesan produk mengikut keperluan melalui laman webnya.

Buat masa ini, OURFARM meliputi kawasan Lembah Klang, dan mempunyai rancangan untuk mengembangkan perniagaan mereka ke seluruh negara dalam masa terdekat, termasuk potensi untuk membangunkan kemampuan eksport/import dan pengembangan ke rantau ini dalam jangka panjang.

Untuk mendaftar, perniagaan yang berminat boleh melayari laman web OURFARM di www.ourfarm.asia.

***

Mengenai OURFARM

OURFARM was established with the aim of providing solutions for both fresh producers and F&B clients. We’ve been brewing the idea for the past few years, and now we can finally reveal our agriculture e-commerce platform- connecting farmers and producers directly to hotels, restaurants and catering clients – providing higher margin for both producers and buyers.

This platform is a collective effort by AirAsia with the full support of the Ministry of Agriculture.