Nasihat perjalanan ke kampung halaman sempena sambutan Hari Kaamatan dan Gawai dengan AirAsia
SEPANG, 27 Mei 2024 - AirAsia menggalakan para tetamu yang melakukan perjalanan semasa tempoh perayaan akan datang untuk mematuhi nasihat perjalanan berikut bagi melancarkan perjalanan semasa tempoh puncak.
Daftar masuk secara kendiri melalui aplikasi AirAsia MOVE (sebelum ini dikenali sebagai airasia Superapp) adalah percuma dan tersedia seawal 14 hari hingga satu (1) jam sebelum waktu perlepasan yang dijadualkan untuk mendapatkan pas masuk elektronik.
Sila ambil maklum:
Muat turun aplikasi AirAsia MOVE melalui Apple App Store, Google Play Store, atau Huawei AppGallery bagi mendapatkan informasi terkini mengenai tempahan penerbangan yang dilakukan termasuk kemaskini penerbangan melalui pautan ‘Flight Status’ pada aplikasi tersebut.
Perkhidmatan daftar masuk melalui kaunter hanya tersedia untuk tetamu kurang upaya, tetamu yang melakukan perjalanan bersama bayi (di bawah umur 24 bulan), tetamu yang hamil, warga emas dan remaja yang melakukan perjalanan sendirian.
Tetamu yang hamil hendaklah mengisi borang di kaunter sebelum menaiki pesawat. Tetamu yang hamil lebih dari 27 minggu dikehendaki untuk mengemukakan sijil perakuan sah oleh doktor kesihatan.
Para tetamu kurang upaya boleh membuat pra-tempahan Bantuan Khas (Perkhidmatan Kerusi Roda) semasa membuat tempahan penerbangan atau melalui pautan ‘My Booking’ pada aplikasi AirAsia MOVE sekurang-kurangnya empat (4) jam sebelum waktu perlepasan yang dijadualkan.
Pra-tempah hidangan di dalam penerbangan sehingga 24 jam sebelum waktu perlepasan yang dijadualkan untuk menikmati lebih penjimatan sehingga 44 peratus dan untuk memastikan ianya tersedia serta perkhidmatan diutamakan.
Bagi penerbangan antarabangsa, para tetamu hendaklah memenuhi keperluan perjalanan seperti visa dan transit ke setiap negara yang bakal dituju. Keperluan ini mungkin berubah dari semasa ke semasa dan para tetamu dinasihatkan untuk menyemak keperluan terkini dengan pihak kedutaan atau konsulat masing-masing.
Tiba awal di lapangan terbang (sekurang-kurangnya dua (2) jam lebih awal bagi penerbangan domestik dan tiga (3) jam bagi penerbangan antarabangsa). Kaunter daftar masuk akan ditutup satu (1) jam sebelum waktu perlepasan yang dijadualkan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) (Terminal 2) dan 45 minit sebelum waktu perlepasan yang dijadualkan bagi penerbangan domestik di lapangan terbang lain di seluruh Malaysia. Para tetamu boleh membuat tempahan kenderaan ke/dari lapangan terbang sehingga 24 jam lebih awal dengan AirAsia Ride dalam aplikasi AirAsia MOVE dan nikmati diskaun RM5 dengan kod promosi “FLYRIDE5”.
Guna pas masuk elektronik pada aplikasi AirAsia MOVE untuk menaiki pesawat tanpa perlu mencetak pas masuk fizikal. Pas masuk elektronik ini diterima di kebanyakan lapangan terbang di seluruh dunia, termasuk semua lapangan terbang di Malaysia di mana AirAsia beroperasi.
Guna kiosk tanpa sentuh di lapangan terbang untuk mencetak tag bagasi dan daftar masuk bagasi kendiri. Setelah mendaftar masuk secara kendiri, imbas kod QR pada pas masuk elektronik di kiosk lapangan terbang untuk mencetak tag bagasi dan terus ke kaunter penurunan bagasi kendiri untuk mendaftar masuk bagasi tersebut. Para tetamu juga boleh menempah elaun bagasi sehingga empat (4) jam sebelum waktu perlepasan yang dijadualkan melalui aplikasi AirAsia MOVE.
Pastikan bagasi kabin mematuhi syarat saiz dan berat yang betul. Setiap tetamu hanya dibenarkan membawa satu beg kabin (tidak lebih daripada saiz 56 x 36 x 23cm) dan/atau satu beg laptop ATAU beg tangan ATAU beg kecil di atas pesawat. Jumlah keseluruhan berat yang dibenarkan untuk bagasi kabin harus tidak melebihi 7kg. Jika melebihi berat 7kg, anda perlu membeli Xtra Carry-on (bagasi tambahan seberat 7kg) atau Fast Pass (bagasi tambahan seberat 7kg dengan lebih banyak keistimewaan). Tertakluk kepada ketersediaan ruang dalam kabin, pas ini adalah terhad dan tersedia untuk tempahan awal.
Daftar ciri-ciri FACES melalui aplikasi AirAsia MOVE untuk perjalanan lebih lancar dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (Terminal 2) ke lapangan terbang domestik dan antarabangsa lain tanpa perlu mengemukakan pas masuk selepas mendaftar masuk kendiri dan bukti pengenalan diri.
Selamat Ari Gawai dan Tadau Kaamatan daripada AirAsia!