AirAsia Newsroom

View Original

“Kami mendengar keluhan anda” Capital A henti khidmat bot sembang AVA, perkenal ‘Ask Bo’ untuk terus komited terhadap pengalaman pelanggan yang telus dan dipertingkatkan

(Dari kiri ke kanan) Maryanna Kim, Ketua Kumpulan Komunikasi Korporat & Hal Ehwal Pengguna Capital A, Bo Lingam, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia Aviation Group Limited, Kesavan Sivanandam, Ketua Pegawai Lapangan Terbang dan Pengalaman Pelanggan dan Tony Fernandes, Ketua Pegawai Eksekutif Capital A di majlis pelancaran Ask Bo.

SEPANG, 8 Februari 2023 - Capital A Berhad, syarikat induk kepada syarikat penerbangan tambang rendah terkemuka di Asia iaitu AirAsia, hari ini menegaskan komitmennya terhadap komunikasi yang telus dan pengalaman pelanggan yang dipertingkatkan untuk para tetamu. Usaha ini adalah sebagai sebahagian daripada visinya untuk menjadi jenama yang paling komunikatif, responsif dan bertanggungjawab di rantau ini.

Sebuah sidang media telah diadakan pada hari ini yang diketuai oleh Ketua Pegawai Eksekutif Capital A, Tan Sri Tony Fernandes dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia Aviation Group Limited Bo Lingam, untuk mengucapkan selamat tinggal kepada bot sembang pertamanya iaitu AirAsia Virtual Allstar (AVA) yang mana telah menjadi pusat perkhidmatan pelanggan dan aduan AirAsia sejak pelancarannya pada tahun 2019. Capital A kini melancarkan 'Ask Bo' yang mempunyai keupayaan kecerdasan buatan (AI) dan pembelajaran mesin (ML) yang lebih baik.

Tan Sri Tony Fernandes, Ketua Pegawai Eksekutif Capital A berkata, “Kami mendengar keluhan para pelanggan dan akan terus berusaha menjadi yang terbaik melalui saranan mereka. Kami memahami kekecewaan mereka terhadap bot sembang AI pertama kami iaitu AVA. Kami menyedari AVA tidak mencapai jangkaan orang ramai dan kami mahu memberikan yang terbaik kepada para pelanggan. Kami berterima kasih kepada AVA atas pencapaiannya dalam mengendalikan lebih 113 juta tetamu sejak tahun 2019, dan mengendalikan lebih 43 juta pertanyaan pada tahun 2020 pada kemuncak Covid. Memandangkan AirAsia adalah sebuah syarikat penerbangan yang besar, dengan ribuan permintaan bayaran balik dan permintaan pertukaran penerbangan, tenaga manusia sahaja tidak dapat mengatasinya, dan kami harus menggunakan khidmat teknologi. Kami belajar melalui AVA tentang cara menggunakan teknologi kecerdasan buatan bagi menjawab pertanyaan pelanggan yang kompleks dengan lebih baik dan pantas. Sepanjang lapan bulan yang lalu, pasukan kami telah memberi tumpuan untuk memenuhi permintaan para tetamu dan menerima aduan mereka. Justeru, kami berbesar hati untuk memperkenalkan Ask Bo, yang dinamakan sempena Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan syarikat penerbangan kami, Bo Lingam. Beliau telah berada di sisi saya selama 21 tahun yang lalu dan merupakan orang yang paling sesuai untuk menjawab semua pertanyaan mengenai syarikat penerbangan kami."

Bo Lingam, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia Aviation Group berkata, “Saya berbesar hati untuk meletakkan nama dan wajah saya sebagai pusat perkhidmatan pelanggan versi baharu ini yang dipertingkatkan kepada pelanggan, dalam usaha kami untuk menjadi jenama yang lebih proaktif dan prihatin. Tambang rendah tidak bermakna kualiti perkhidmatan juga rendah dan adalah amat penting bagi kami untuk mendengar suara para tetamu apabila mereka memilih untuk terbang bersama kami, supaya kami boleh menyediakan perkhidmatan dengan tambang dan pengalaman pelanggan terbaik. Ask Bo akan menjadikan pengalaman perjalanan pelanggan lebih mudah, ringkas dan informatif.”

Kesavan Sivanandam, Ketua Pegawai Pengalaman Lapangan Terbang dan Pelanggan, AirAsia Aviation Group Limited berkata, “Banyak ciri menarik baharu yang telah ditambah kepada Ask Bo di mana ia akan dapat memberikan kemaskini secara langsung tentang status penerbangan (kelewatan, waktu perlepasan) dan/atau perubahan, maklumat menaiki pesawat dan lain-lain. Ia juga tersedia dalam lebih banyak bahasa termasuk Bahasa Inggeris, Cina, Bahasa Malaysia, Bahasa Indonesia, Thai, Jepun, Korea dan Vietnam. Ia juga akan menghantar notifikasi bagi sebarang perubahan saat akhir pada hari operasi, dan memberikan maklumat bagasi (penjejakan, tempat pungutan bagasi, laporan bagasi yang tidak dikendalikan) dan melaporkan kemaskini automatik bagi waktu perlepasan dalam Pas Masuk elektronik. Kini, para tetamu kami juga ditawarkan lebih autonomi di mana mereka akan dapat menukar penerbangan, meminta bayaran balik, memilih pilihan pemulihan perkhidmatan dna lain-lain. Menjelang bulan Mac, para tetamu juga akan dapat bersembang secara langsung dengan ejen kami melalui Ask Bo. Kami akan terus berinovasi untuk memastikan standard perkhidmatan pelanggan tertinggi dalam semua yang kami lakukan untuk memenuhi keperluan para tetamu dengan sebaik-baiknya.”

Dalam usaha untuk menjadi jenama yang lebih terbuka dan telus, Capital A akan mendedahkan maklumat langsung prestasi masa (On-Time Performance (OTP)), serta maklumat pengendalian bagasi di laman webnya dan melalui airasia Super App. Ia juga akan terus menyemak maklum balas tetamu daripada pelbagai perspektif di seluruh Kumpulan, menyokong kerjasama daripada semua jabatan dan melaksanakan program pengalaman pelanggan di seluruh entiti perniagaan berbeza, di samping memastikan sokongan penuh terhadap kejayaan pelaksanaan inisiatif peningkatan pengalaman pelanggan.

*** TAMAT ***