AirAsia Newsroom

View Original

AirAsia dinobatkan Syarikat Penerbangan Tambang Rendah Terkemuka Dunia untuk kali ke-9 berturut-turut di World Travel Awards 2021

AirAsia turut menerima anugerah Kru Kabin Syarikat Penerbangan Tambang Rendah Terkemuka Asia 2021

SEPANG, 17 Disember 2021 – AirAsia sekali lagi telah dinobatkan sebagai Syarikat Penerbangan Tambang Rendah Terkemuka Dunia untuk tahun kesembilan berturut-turut dan Kru Kabin Syarikat Penerbangan Tambang Rendah Terkemuka Dunia untuk tahun kelima berturut-turut di World Travel Awards (WTA) 2021.

WTA mengiktiraf dan meraikan kecemerlangan di seluruh sektor utama industri perjalanan, pelancongan dan hospitaliti. Undian pula dikira berdasarkan pengalaman pengembara udara baru-baru ini, termasuk sebelum pandemik Covid-19.

Bo Lingam, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia Aviation Limited berkata, “Ini adalah berita baik bagi melengkapkan satu lagi tahun yang amat mencabar buat kami. Pengiktirafan sebagai Syarikat Penerbangan Tambang Rendah Terbaik Dunia selama sembilan tahun berturut-turut dan Kru Kabin Syarikat Penerbangan Tambang Rendah Terbaik Dunia selama lima tahun berturut-turut amat membanggakan.

“Walaupun kami tidak dapat terbang lebih kerap buat masa ini, kami berterima kasih kepada penganjur WTA, 600 juta tetamu kami, pemain industri dan yang paling penting, para Allstars atas dedikasi dan komitmen mereka yang tidak berbelah bagi dalam mengharungi tahun yang mencabar ini. Walaupun tahun 2020 amat mengujikan, tahun 2021 sekali lagi mencabar kita semua.

“Akhirnya, kita dapat melihat langit yang semakin cerah berikutan pembukaan sekatan perjalanan dunia secara beransur-ansur yang dipacu oleh program vaksinasi, ujian yang lebih baik, pendidikan, gelembung perjalanan dan pasport kesihatan global.

“Inovasi, nilai dan pilihan terus menjadi teras jenama kami dan di AirAsia kami tidak pernah mensia-siakan krisis yang melanda. Kami telah memanfaatkan tempoh sekatan perjalanan selama 20 bulan yang lalu untuk menaik taraf dan memperbaharui prosedur penerbangan untuk menjadikannya bukan sahaja selamat dan berpatutan, malah lebih bersih dan tanpa sentuhan sepenuhnya.

“Selepas hampir dua tahun dilanda pandemik, kami berharap untuk menyambut tahun baharu dan terus berinovasi pada tahun 2022. Kami percaya syarikat penerbangan kami akan kembali lebih kuat dan akan terus menawarkan perkhidmatan perjalanan udara yang selamat, berpatutan, dipercayai dan terbaik merentasi rantau Asia Pasifik.” 

Suhaila Hassan, Ketua Kru Kabin AirAsia Group berkata, “Di sebalik mengharungi cabaran besar dalam industri penerbangan pada tahun ini, AirAsia terus menumpukan perhatian untuk menawarkan kecemerlangan perkhidmatan pelanggan. Kami berbesar hati untuk menerima anugerah ini sekali lagi dan akan terus berusaha untuk memberikan perkhidmatan terbaik pada tahun 2022 serta memastikan para tetamu bukan sahaja selamat dan selesa tetapi sentiasa menikmati pengalaman terbaik dalam penerbangan.”

Graham E. Cooke, Pengasas World Travel Awards berkata: “Tahniah kepada AirAsia kerana telah dipilih sebagai Syarikat Penerbangan Tambang Rendah Terkemuka Dunia 2021 dan Kru Kabin Syarikat Penerbangan Tambang Rendah Terkemuka Dunia 2021. Mereka berusaha untuk terus meningkatkan mutu perkhidmatan sepanjang tahun 2021 dan saya turut berbesar hati kerana usaha mereka diiktiraf oleh para pengembara dan pemain industri perjalanan.

“Walaupun menghadapi cabaran berterusan, WTA masih menerima jumlah undian tinggi yang menunjukkan sokongan pelanggan setia terhadap pemenang kami pada tahun ini. Pandemik global yang berterusan ini juga telah menyebabkan beberapa negara dan organisasi terus menghadapi tahun 2021 yang mencabar, namun pengundi masih mengundi dalam jumlah yang besar berdasarkan pengalaman, merit dan kesetiaan pada jenama.”

Ditubuhkan pada tahun 1993, World Travel Awards salah satu program anugerah paling berprestij di dalam industri pelancongan global yang mengiktiraf dan meraikan kecemerlangan di seluruh sektor utama industri perjalanan, pelancongan dan hospitaliti.

Untuk berita, aktiviti dan promosi terkini AirAsia, ikuti AirAsia di Twitter (twitter.com/airasia), Facebook (facebook.com/airasiasuperapp) dan Instagram (instagram.com/airasiasuperapp).