AirAsia Newsroom

View Original

BigPay raih dana sehingga AS$100 juta dalam usaha untuk menjadi bank pencabar digital terunggul di Asia Tenggara

  •  BigPay telah meraih dana sehingga AS$100 juta yang diterajui oleh SK Group dalam usahanya untuk untuk menjadi bank pencabar digital terunggul di Asia Tenggara.

  • “Misi kami adalah untuk menjadikan BigPay sebagai salah satu bank pencabar digital terbesar di Asia Tenggara. Dana ini membolehkan kami untuk mengembangkan tawaran, produk dan skala perniagaan. Kami amat berbesar hati untuk bekerjasama dengan SK Group,” kata Salim Dhanani, Ketua Pegawai Eksekutif & Pengasas Bersama BigPay.

KUALA LUMPUR, 6 Ogos 2021 - BigPay, syarikat di bawah portfolio airasia Digital dan teknologi kewangan terkemuka di Asia Tenggara telah meraih dana sehingga AS$100 juta daripada konglomerat Korea Selatan, SK Group.

Ditubuhkan pada tahun 2017, BigPay kini mempunyai perkhidmatan di Malaysia dan Singapura. Buat masa ini, perkhidmatan yang ditawar termasuklah kad debit prabayar yang boleh digunakan di mana-mana sahaja yang menerima pedagang Visa atau Mastercard, pemindahan wang tempatan dan antarabangsa, insurans mikro, pembayaran bil dan ciri penganggaran kewangan. BigPay juga telah melancarkan rangkaian produk untuk penggunanya yang fokus kepada kesihatan kewangan dan aksesibiliti jangka panjang.

“Misi kami adalah untuk menjadi bank pencabar digital terunggul di Asia Tenggara. Di Malaysia, kami dikenali sebagai salah satu penyedia perkhidmatan perbankan digital terkemuka, dan kami ingin terus memperluas rangkaian produk kami, dan mengembangkannya ke pasaran baharu lain. Sebelum melancarkan perkhidmatan ke negara Thailand dan seterusnya ke pasaran Asean, kami akan melancarkan beberapa produk utama seperti pinjaman peribadi digital sepenuhnya, pinjaman transaksi dan tawaran untuk membantu perusahaan mikro, kecil dan sederhana (mSMEs),” kata Salim.

Ini adalah kali pertama syarikat di bawah portfolio airasia Digital memperoleh dana sebesar ini. Dana daripada salah sebuah konglomerat dan syarikat teknologi terbesar di Korea Selatan ini memperkukuh usaha digital airasia yang kini semakin pesat membangun perniagaan digitalnya, termasuk perkhidmatan logistik dan kewangan.

 Ketua Pegawai Eksekutif airasia Group, Tan Sri Tony Fernandes berkata, “Saya  teruja untuk bekerjasama dengan SK Group dan kepercayaan mereka kepada BigPay serta misi kami untuk menjadikan perkhidmatan kewangan lebih inklusif. Ini adalah dana pertama untuk syarikat di bawah portfolio digital kami yang secara langsung membuktikan perkembangan syarikat digital kami dan kami percaya ianya bukanlah pelaburan terakhir. SK Group adalah sebuah syarikat yang menerajui inovasi dan mempunyai pengalaman yang luas, jadi kami yakin mereka dapat berkongsi kepakaran dan pengetahuan mereka seterusnya menjadikan pelaburan ini sebagai satu permulaan era perbankan digital baharu.”

Ketua Wakil SK Malaysia Jung Kyu Kim berkata, “Kami gembira dapat bekerjasama dengan BigPay kerana kami telah lama berminat untuk menceburi sektor perbankan digital dan teknologi kewangan. SK Group akan memberikan sumbangan yang besar kepada BigPay dari aspek teknikal dan perkhidmatan pengguna berdasarkan pengalaman dan sumber kami.”

Pengumuman ini dibuat beberapa minggu setelah BigPay mengumumkan permohonan lesen perbankan digital dalam meneruskan komitmen mereka untuk membina masa depan kewangan yang lebih baik untuk pengguna dan usahawan di Malaysia.

“Falsafah kami amat jelas. Kami ingin melancarkan produk kewangan yang bukan sahaja ringkas dan mudah, tetapi telus dan boleh diakses oleh semua orang. Kami bersedia untuk memulakan langkah bersama-sama SK Group dan kami akan terus memberikan perkhidmatan kewangan yang adil kepada para pengguna di seluruh Asia Tenggara,” kata Salim.

*** 

Mengenai BigPay

Dilancarkan pada tahun 2017, BigPay adalah salah sebuah syarikat teknologi kewangan terkemuka di Asia Tenggara dan telah berjaya menambah sejumlah produk kewangan terkawal dalam tawarannya, seperti wang elektronik, pemindahan wang antarabangsa, insurans mikro dan ciri penganggaran kewangan, yang bertujuan untuk menjadi penyelesaian sehenti untuk keperluan kewangan. Misi BigPay adalah untuk mendemokrasikan perkhidmatan kewangan untuk pengguna dan pengusaha di Asia Tenggara.

Mengenai SK Group
SK Group adalah konglomerat ketiga terbesar di Korea Selatan mengikut saiz aset. Ia ditubuhkan pada tahun 1953 dan mempunyai 125 anak syarikat dalam pelbagai sektor termasuk sektor tenaga, bahan kimia, ICT, semikonduktor dan perkhidmatan. SK Group beroperasi di seluruh dunia di lebih dari 40 buah negara, dan telah mempunyai pendapatan terkumpul sebanyak AS$ 115 bilion dan aset berjumlah AS$ 208 bilion pada akhir tahun 2020.