AirAsia Newsroom

View Original

AirAsia X sambut penerbangan pertama dari Kazakhstan ke Malaysia dengan muatan 100%

Keterangan Gambar (Dari Kiri) Moses Devanayagam, Ketua Pengarah Operasi AirAsia X; Kesavan Sivanandam, Ketua Pegawai Pengalaman Lapangan Terbang dan Pelanggan, AirAsia Aviation Group; Amanda Woo, Ketua Kumpulan Komersial AirAsia; Manoharan Periasamy, Ketua Pengarah Tourism Malaysia dan YBrs. Dr. Yasmeen binti Yasim, Timbalan Ketua Setiausaha (Pelancongan), Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya bersama di majlis sambutan bagi penerbangan pertama dari Almaty di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (Terminal 2) hari ini.

SEPANG, 15 Mac 2024 - AirAsia X (AAX) secara rasminya telah memasuki pasaran Asia Tengah dengan pelancaran penerbangan terus ke Almaty, Kazakhstan semalam dan hari ini menyambut 285 tetamu atau muatan 100 peratus dalam penerbangan pertamanya dari Almaty ke Kuala Lumpur.

Penerbangan sulung D7601 berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Almaty pada 14 Mac 2024 dan mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (Terminal 2) hari ini. Para tetamu diraikan dengan meriah oleh Dr. Yasmeen binti Yasim, Timbalan Setiausaha Agung (Pelancongan, Kementerian Pelancongan, Seni dan Kebudayaan) dan Manoharan Periasamy, Ketua Pengarah Lembaga Penggalakan Pelancongan Malaysia bersama-sama Kesavan Sivanandam, Ketua Pegawai Operasi Lapangan Terbang dan Pengalaman Pelanggan AirAsia; Moses Devanayagam, Pengarah Kanan Operasi AirAsia X; dan Amanda Woo, Ketua Komersial Kumpulan AirAsia.

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, YB Dato’ Sri Tiong King Sing berkata: "Kami berbesar hati untuk menyambut penerbangan sulung AirAsia X dari Almaty, Kazakhstan ke Kuala Lumpur hari ini. Sebagai syarikat penerbangan Malaysia pertama yang terbang secara terus dari Almaty, pencapaian ini amat membanggakan bagi negara kita. Malaysia adalah sebuah negara yang kaya dengan pelbagai budaya dan keindahan alam dan kami berbesar hati untuk mengetengahkan keunikan Malaysia kepada para pengembara dari Kazakhstan. Matlamat kami untuk tahun 2024 adalah untuk menyambut lebih daripada 27.3 juta pelancong, dan kami yakin bahawa pengembara dari Kazakhstan akan turut menyumbang kepada matlamat ini. Selamat Datang ke Malaysia!"

Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia X, Benyamin Ismail berkata: "Pelancaran penerbangan terus dari Almaty pada hari ini dengan faktor muatan seratus peratus menandakan satu lonjakan penting bagi AirAsia X untuk menerokai pasaran Asia Tengah. Langkah strategik ini membuktikan komitmen berterusan kami untuk memperluas rangkaian global dan menghubungkan para pengembara ke destinasi popular di dunia. Kami yakin kemasukan ke pasaran Kazakhstan bukan sahaja akan meningkatkan sektor pelancongan antara kedua-dua buah negara malah akan merapatkan hubungan di peringkat serantau dengan menghubungkan penduduk negara terbesar di Asia Tengah ke lebih 130 destinasi dari Kuala Lumpur. Dalam usaha kami memperluas rangkaian di seluruh rantau ini dan kehadiran di pasaran Asia Tengah, kami melihat masa depan yang lebih cerah untuk syarikat penerbangan ini.”

Bagi meraikan pencapaian baharu ini, AirAsia X menawarkan tambang promosi bermula daripada RM599 atau USD169 termasuk semua* sehala. Tambang promosi ini boleh didapati untuk tempahan bermula dari 15 hingga 21 Mac 2024 untuk tempoh perjalanan mulai sekarang hingga 17 Jun 2025 di airasia.com dan AirAsia MOVE, sebelum ini dikenali sebagai airasia Superapp.

*Tambang promosi termasuk semua adalah untuk perjalanan sehala termasuk cukai, caj bahan api dan yuran yang berkaitan. Tertakluk pada terma dan syarat lain.