AirAsia Newsroom

View Original

AirAsia X bakal menjadi syarikat penerbangan pertama yang menyambung semula laluan terus dari Kuala Lumpur ke Busan

AAX turut menandatangani Memorandum Persefahaman dengan Pertubuhan Pelancongan Busan untuk memupuk ekonomi melalui sektor pelancongan

SEPANG, 18 November 2022 - AirAsia X (AAX), syarikat penerbangan jarak sederhana bakal menjadi syarikat penerbangan pertama dari Malaysia yang menyambung semula laluan terus dari Kuala Lumpur ke Busan, Korea Selatan pada awal tahun 2023. 

Penerbangan tiga kali seminggu itu akan menjadi laluan AAX kedua ke Korea Selatan selepas melancarkan penerbangan ke Seoul pada bulan April tahun ini.

Selain melancarkan semula laluan itu, AAX turut menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Pertubuhan Pelancongan Busan (BTO) untuk membangunkan kempen jualan dan pemasaran bersama, memanfaatkan sokongan ejen pelancongan, mengukuhkan rangkaian penerbangan, dan memupuk ekonomi kedua-dua negara melalui sektor pelancongan.

MoU itu telah ditandatangani di Pavilion Hotel Kuala Lumpur oleh Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia X Benyamin Ismail dan Presiden BTO Jung-Sil Lee.

Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia X Benyamin Ismail berkata: “Kami teruja untuk menjadi syarikat penerbangan pertama dari Malaysia yang bakal kembali ke Busan. Korea Selatan ialah pasaran yang amat penting dan kami telah melihat pertumbuhan yang luar biasa dari laluan sedia ada kami ke Seoul dengan kira-kira 80% faktor muatan. Bermula dengan tiga penerbangan mingguan dan berdasarkan ramalan permintaan yang kukuh, kami menjangka kekerapan penerbangan ke Busan akan kembali kepada perkhidmatan harian menjelang akhir tahun. Kami percaya pelancaran semula laluan ke Busan akan membantu memperkukuh hubungan perniagaan dan pelancongan antara Malaysia dan Korea Selatan. Kami juga ingin mengucapkan terima kasih kepada kerajaan dan pihak berkuasa yang berkaitan atas sokongan mereka.

“Pada tahun 2019, kami telah menerbangkan kira 200,000 tetamu ke/dari Busan. Dalam pada kami berusaha untuk meningkatkan lagi sambungan ke Korea Selatan, kami percaya bahawa penerbangan terus ke Busan nanti akan memacu sektor pelancongan dan ekonomi di kedua-dua negara. Laluan baharu itu juga menandakan komitmen kami untuk terus menawarkan perjalanan udara jarak sederhana bernilai hebat untuk para tetamu dan kami tidak sabar untuk melihat lonjakan ketibaan pelancong ke/dari Busan tidak lama lagi.”

Presiden Pertubuhan Pelancongan Busan Jung-Sil Lee berkata: “Kami berbesar hati kerana dapat bekerjasama dengan AAX untuk memperkukuh peluang pelancongan untuk Busan, sebuah bandar yang mempunyai warisan unik, pelbagai tarikan semula jadi, dan infrastruktur termaju. Tempoh dua setengah tahun lalu memberi impak yang besar kepada industri pelancongan kami tetapi kami berjaya melepasi cabaran ini dan kami gembira kerana AAX akan menjadi sebahagian daripada usaha ini.

“Pelancaran semula penerbangan terus AAX ke Busan menandakan peristiwa penting dalam penyambungan semula perkhidmatan ke bandar itu. Kami percaya para pengembara akan menghargai sambungan terus ini, seterusnya menjadikan Busan destinasi percutian popular sekali lagi.”