AirAsia umum lebih banyak penerbangan ke destinasi utama di India

Rai penyambungan semula perjalanan ke India dengan lebih 10,000 tempat duduk tambahan dengan diskaun 20% ke Bengaluru, Kolkata, Kochi, Hyderabad, Chennai, Tiruchirappalli dan banyak lagi

Keterangan Gambar: Bo Lingam, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia Aviation Group Limited; Puan C. Sushma, 'Chargé d'Affaires' Suruhanjaya Tinggi India, Kuala Lumpur dan Riad Asmat, Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Malaysia di majlis sidang media pengumuman penyambungan semula penerbangan AirAsia Malaysia ke India hari ini.

SEPANG, 13 April 2022 - AirAsia Malaysia (kod penerbangan AK) hari ini meraikan penyambungan semula penerbangan ke pelbagai destinasi utama di India, termasuk Bengaluru, Kolkata, Kochi, Hyderabad, Chennai, Tiruchirappalli dan banyak lagi dari Malaysia.

Pengumuman tersebut dibuat semasa sidang akhbar hari ini yang dihadiri oleh Chargé d'Affaires’ Suruhanjaya Tinggi India di Kuala Lumpur, Malaysia, Cik C. Sushma, bersama Bo Lingam, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia Aviation Group Limited (AAAGL) dan Riad Asmat, Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Malaysia.

Untuk meraikan penyambungan semula 30 penerbangan mingguan ke India yang dilancarkan pada bulan ini dan bulan hadapan, AirAsia menawarkan diskaun sebayak 20% kepada para tetamu dan ejen pelancongan ke semua destinasi di India dari Malaysia melalui airasia Super App mulai hari ini hingga 1 Mei 2022, serta bagasi daftar masuk 20kg percuma untuk setiap tempahan. Para tetamu dan ejen pelancongan boleh membuat tempahan dengan menekan ikon ‘Flights’ di airasia Super App, untuk tempoh perjalanan antara 1 Mei 2022 dan 25 Mac 2023.

Jadual penerbangan pergi balik AirAsia (kod penerbangan AK) dari Kuala Lumpur ke India

Chargé d'Affaires’ Suruhanjaya Tinggi India di Kuala Lumpur, Malaysia, Puan C. Sushma berkata: “Kami mengalu-alukan pembukaan semula sempadan antarabangsa oleh Kerajaan Malaysia baru-baru ini  mulai 1 April 2022. Kerajaan India juga telah membuka semula sempadan antarabangsanya kepada pelancong pada bulan Oktober 2021 dan ruang udara komersialnya mulai 27 Mac 2022. Dengan pembukaan semula sempadan kedua-dua buah negara ini, kami yakin trafik perjalanan udara antara Malaysia dan India akan kembali lancar dan berkembang secara progresif. Kerjasama ini merupakan satu langkah penting dalam mengeratkan lagi hubungan antara dua buah negara. AirAsia telah menawarkan penerbangan tambang rendah ke India sejak 2008, menghubungkan pengembara dari Kuala Lumpur ke pelbagai destinasi di India dan hari ini, kami amat mengalu-alukan penyambungan semula penerbangan komersial terus antara India dan Malaysia selepas dua tahun.”

Riad Asmat, Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Malaysia berkata: “Hari ini menandakan satu pencapaian penting bagi AirAsia dalam usaha kami untuk menyambung semula penerbangan ke pelbagai destinasi utama di salah satu pasaran terpenting kami iaitu India. Kami telah membuat persediaan rapi dari segi operasi untuk menyediakan pengalaman perjalanan yang selamat, lancar dan selesa kepada para tetamu. Dengan pembukaan semula sempadan di seluruh rantau ini, AirAsia akan terus menyemak dan menambah destinasi dalam rangkaian kami yang semakin berkembang untuk memenuhi permintaan perjalanan udara yang semakin meningkat, termasuk 30 penerbangan mingguan dari Malaysia ke India yang akan dilancarkan menjelang akhir bulan Mei. Tambahan pula, dengan 71 penerbangan mingguan yang akan dikendalikan menjelang akhir tahun 2022, AirAsia Malaysia akan kembali ke kapasiti pra-Covid tidak lama lagi, dengan lebih 140 perkhidmatan mingguan ke/dari India.

“Sempena pembukaan semula sempadan antarabangsa Malaysia dan perjalanan tanpa kuarantin untuk kedua-dua buah negara, kami ingin mengambil peluang ini untuk mengalu-alukan kedatangan semula pelancong antarabangsa yang akan memacu sektor pelancongan dan ekonomi negara seperti yang kami telah lakukan sebelum pandemik. Malaysia juga mempunyai pelbagai destinasi popular di kalangan pelancong dari India seperti Kuala Lumpur, Melaka dan Ipoh.

“Kami kini bersedia dan memberi jaminan kepada semua bahawa kami akan terus komited bagi mengekalkan standard keselamatan dan kebersihan tertinggi pada setiap masa. Seluruh kakitangan kami sama ada di darat dan udara telah menerima vaksinasi lengkap dan bersedia untuk menyediakan perkhidmatan bertaraf dunia, memberikan pengalaman perjalanan terbaik dan mengikuti prosedur operasi standard (SOP) yang ketat yang telah ditetapkan untuk keselamatan para tetamu kami.

“Sebagai syarikat penerbangan, kami telah melaksanakan pelbagai langkah dan inovasi bagi memastikan semua tetamu AirAsia boleh melakukan perjalanan dengan selamat melalui langkah keselamatan dan kesihatan yang mantap seperti daftar masuk kendiri melalui airasia Super App, ciri pengecaman wajah melalui FACES dan banyak lagi. Kami juga ingin mengingatkan para tetamu untuk terus mematuhi semua SOP yang ditetapkan oleh kerajaan semasa perjalanan anda.”

Untuk syarat kemasukan penuh ke India, sila rujuk di sini. Untuk syarat kemasukan penuh ke Malaysia, sila rujuk di sini.

AirAsia kekal komited untuk menyediakan perkhidmatan di bawah langkah kesihatan dan keselamatan yang ketat. Kini, sebanyak 95% daripada keseluruhan tetamunya telah beralih kepada ciri daftar masuk kendiri melalui airasia Super App dan laman web, satu inisiatif yang disarankan kepada semua penumpang semasa kemuncak pandemik Covid-19 pada tahun lalu dan akan terus menjadi sebahagian daripada usahanya untuk mengukuhkan lagi pelan mitigasi Covid-19 melalui operasi tanpa sentuhan.

Sebagai sebahagian daripada proses pendidikan yang berterusan, AirAsia menggalakkan semua tetamu untuk memuat turun dan menaik taraf aplikasi airasia Super App mereka untuk perjalanan yang lancar dan tanpa sentuhan. Perkhidmatan daftar masuk melalui kaunter AirAsia kini hanya tersedia untuk tetamu tertentu sahaja di semua lapangan terbang di Malaysia bermula 1 April 2022. Antara tetamu yang dikecualikan adalah warga emas berusia 70 tahun ke atas, orang kurang upaya yang berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat, penumpang remaja yang membuat perjalanan bersendirian, tempahan berkumpulan seramai 10 orang tetamu, penumpang penerbangan sewa khas dan lain-lain. 

AirAsia telah diiktiraf dengan tahap keselamatan tertinggi sebanyak dua kali berturut-turut, dengan penilaian 7/7 daripada pakar keselamatan industri penerbangan di airlineratings.com pada tahun 2021 dan 2022.

Ikuti perkembangan terkini perkhidmatan e-dagang airasia Super App @airasiasuperapp di Instagram dan Facebook untuk mendapatkan tawaran e-dagang airasia Super App!

*Promosi ini hanya sah untuk penerbangan AirAsia Malaysia (kod penerbangan AK). Tertakluk kepada terma dan syarat.