AirAsia tiba di Wilayah Utara Australia dengan penerbangan pertama dari Kuala Lumpur ke Darwin

DARWIN, 27 Jun 2025- AirAsia Malaysia (kod penerbangan AK) hari ini melancarkan penerbangan sulung dari Kuala Lumpur ke Darwin dengan faktor muatan hampir 90 peratus, memperkukuh lagi usahanya dalam meningkatkan sektor pelancongan di Wilayah Utara Australia. 

Penerbangan AK612 telah berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (Terminal 2) pada jam 5:55 pagi, 27 Jun 2025 dan tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Darwin pada jam 12:35 tengah hari (waktu tempatan) pada hari yang sama. Penerbangan pertama dari Darwin juga telah berlepas pada jam 1:10 petang (waktu tempatan) dengan faktor muatan lebih 90 peratus, membuktikan tarikan Malaysia sebagai destinasi pelancongan utama menjelang Tahun Melawat Malaysia 2026.

Pelancaran laluan baharu ini juga dilancarkan bersama laluan dari Bali ke Adelaide (yang dikendalikan pada 26 Jun 2025 oleh AirAsia Indonesia), membuktikan prestasi dan hubungan baik antara  AirAsia dan Australia. Pengenalan laluan baharu ini selaras dengan komitmen berterusan syarikat untuk memperluas rangkaian, meningkatkan hubungan serantau dan mengembangkan laluan bagi tujuan rekreasi, pelancongan dan perdagangan.

Menteri Perdagangan, Perniagaan dan Hubungan Asia, Robyn Cahill OAM yang turut menyertai penerbangan pertama ke Darwin berkata: “Industri penerbangan di Wilayah Utara semakin berkembang dengan pembukaan laluan baharu ini yang mampu meningkatkan pelancongan, memperluas sektor perniagaan dan perdagangan serta menawarkan lebih banyak pilihan penerbangan antarabangsa kepada penduduk di Wilayah Utara.

“Kami berbesar hati dapat bekerjasama dengan AirAsia dan Airport Development Group bagi mengembangkan rangkaian AirAsia ke Wilayah Utara dan menawarkan lebih banyak pilihan sambungan serta pilihan penerbangan kepada para pengembara. Lebih banyak penerbangan bermakna lebih mudah untuk orang ramai untuk melancong dan berurusan di wilayah ini. Saya sendiri baru sahaja kembali dari Kuala Lumpur dan telah menyaksikan keindahan destinasi tersebut. Saya menggalakkan rakyat Wilayah Utara yang ingin ke Malaysia untuk mengambil peluang keemasan ini dengan menempah penerbangan terus dan berpatutan ke Kuala Lumpur yang dikendalikan sebanyak empat kali seminggu.

Dato’ Kapten Fareh Mazputra, Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Malaysia berkata: “Darwin kini manjadi sebahagian daripada rangkaian AirAsia Malaysia yang semakin berkembang di Australia dan mamperkukuh lagi kehadiran kami di rantau ini. Australia kekal sebagai salah satu pasaran utama dan kami berbesar hati untuk mendarat di Wilayah Utara buat pertama kali. Kami yakin laluan baharu ini akan mendapat sambutan baik, bukan sahaja kerana kami merupakan satu-satunya syarikat penerbangan yang menawarkan perkhidmatan secara terus antara Darwin dan Kuala Lumpur, tetapi juga sebagai laluan ke rangkaian kami yang menghubungkan lebih 130 destinasi merentasi Asia dan seterusnya dengan tambang berpatutan.

“Perkhidmatan Fly-Thru kami menghubungkan rakyat Australia ke destinasi pilihan mereka seperti Vietnam, Thailand, India, Sri Lanka, Filipina, Jepun, China dan banyak lagi dan terus menjadi pilihan utama pasaran Australia. Bagi pelancong yang suka mengembara, wilayah ini yang juga dikenali sebagai ‘Top End’ di Australia kini menjadi destinasi menarik dan berpatutan buat mereka. Kami juga tidak sabar untuk menyambut kedatangan tetamu dari Darwin bagi menerokai Malaysia atau terbang ke destinasi lain di Asia Tenggara serta Asia Utara dan Tengah.”

Datuk Manoharan Periasamy, Ketua Pengarah Tourism Malaysia berkata: “Kami berbangga untuk menyambut pembukaan laluan baharu Kuala Lumpur–Darwin dalam meningkatkan lagi  sambungan laluan ke Australia yang telah menjadi antara penyumbang kedatangan pelancong tertinggi ke Malaysia. Pembukaan laluan ini penting kerana Malaysia dan Australia mempunyai hubungan yang baik dan pelancongan merupakan salah satu teras yang menyatukan kedua-dua negara. Sempena meraikan 70 tahun hubungan diplomatik Australia di Malaysia pada tahun 2025 dan persiapan untuk Tahun Melawat Malaysia 2026, kami berharap dapat menerima lebih ramai pelancong Australia untuk menikmati kepelbagaian budaya dalam usaha melaksanakan pelancongan lestari. Pada tahun 2024, Malaysia merekodkan sebanyak 447,785 pelancong dari Australia yang menyaksikan peningkatan sebanyak 11.7 peratus berbanding tahun 2023 dan 6.3 peratus lebih tinggi daripada pasca pra-pandemik pada tahun 2019.”

Rob Porter, Pengurus Besar Eksekutif, Airport Development Group berkata: “Kerjasama ini merupakan hasil usaha bersama antara kerajaan, syarikat penerbangan dan lapangan terbang. Pembukaan laluan ini adalah hasil daripada matlamat bersama dalam memperluaskan hubungan wilayah ini secara serantau dan global. Laluan Kuala Lumpur–Darwin oleh AirAsia Malaysia memberi manfaat kepada penduduk Wilayah Utara dengan pembukaan laluan antarabangsa kepada mereka pada tambang berpatutan, menyokong peluang pekerjaan tempatan serta meningkatkan kemasukan pelancongan bagi membantu industri hotel, pengendali pelancongan dan ekonomi setempat.”

AirAsia Malaysia (kod penerbangan AK) mengendalikan empat penerbangan mingguan bagi laluan Kuala Lumpur–Darwin, serta menawarkan lebih daripada 1,488 tempat duduk mingguan dengan tambang promosi bermula daripada RM319 termasuk semua* sehala bagi penerbangan dari Kuala Lumpur ke Darwin, manakala tambang dari Darwin ke Kuala Lumpur bermula daripada AUD219 termasuk semua* sehala. Tambang promosi boleh ditempah mulai hari ini sehingga 6 Julai 2025 untuk tempoh perjalanan segera hingga 27 Mac 2026 di airasia.com dan aplikasi AirAsia MOVE.

*Tambang termasuk semua adalah untuk perjalanan sehala sahaja, termasuk  servis caj penumpang, caj perkhidmatan, caj bahan api, dan caj-caj lain yang berkenaan. Tertakluk kepada terma dan syarat lain.