AirAsia Newsroom

View Original

AirAsia terus sokong program FLYsiswa 2024, terbangkan pelajar pulang dengan tambang berpatutan ke 45 laluan

KUALA LUMPUR, 8 Disember 2023 - Sebagai syarikat penerbangan untuk semua, AirAsia berbangga untuk terus menyokong program FLYsiswa yang diteruskan pada tahun depan oleh Kementerian Pengangkutan Malaysia untuk memberi peluang kepada pelajar terbang pulang ke kampung halaman dengan tambang berpatutan.

E-baucar AirAsia untuk program FLYsiswa boleh digunakan untuk membuat tempahan penerbangan ke 45 laluan di 10 destinasi antara Semenanjung Malaysia dan Sabah/Sarawak dari Kuala Lumpur, Johor Bahru, Kota Bharu ke Kota Kinabalu, Sandakan, Kuching, Bintulu, Miri, Sibu dan Labuan. Ia juga  tersedia untuk tempahan penerbangan antara Sabah, Sarawak dan Labuan.

Inisiatif ini bukan sahaja menunjukkan komitmen syarikat penerbangan itu untuk menawarkan tambang berpatutan dan rangkaian luas malah membolehkan para pelajar mendapat manfaat daripada ekosistemnya. Ini termasuk mata ganjaran airasia, tawaran dalam penerbangan dan banyak lagi.

Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Malaysia, Riad Asmat berkata: “Kami berbesar hati untuk terus menyokong inisiatif FLYsiswa ini yang dijangka akan memanfaatkan kira-kira 50,069 pelajar layak memohon yang berada di universiti awam di seluruh negara. Tahun ini, kami menerima lebih 23,000 pendaftaran daripada pelajar yang sah iaitu kira-kira 66% daripada 35,995 pelajar yang telah mengemukakan permohonan baucar tersebut, dan kami berbangga kerana AirAsia terus menjadi syarikat penerbangan pilihan.

“Pengumuman oleh Kementerian pada hari ini tepat pada masanya selari dengan usaha kami untuk mengaktifkan semula lebih banyak pesawat dalam beberapa bulan akan datang. Ini akan membolehkan kami meningkatkan kekerapan dan menawarkan tambang yang lebih rendah, seterusnya memberi manfaat kepada para pelajar. Kami mengalu-alukan lebih ramai pelajar untuk terbang pulang dengan kami dengan tambang berpatutan pada tahun hadapan.”

Kriteria kelayakan bagi program FLYsiswa ini ditetapkan oleh Kementerian Pengangkutan Malaysia. Program ini terbuka kepada pelajar yang mengikuti pengajian tinggi di universiti awam di Malaysia. Kelayakan termasuk pelajar dari Sabah, Sarawak, atau Wilayah Persekutuan Labuan, belajar di Semenanjung Malaysia; pelajar dari Semenanjung Malaysia, belajar di Sabah, Sarawak, atau Wilayah Persekutuan Labuan; dan pelajar dari Sabah, Sarawak, atau Wilayah Persekutuan Labuan yang belajar di wilayah masing-masing.

Proses permohonan E-baucar AirAsia boleh dibuat dalam beberapa langkah mudah dengan menekan butang 'Tebus Sekarang' di airasia.com/aa/flysiswa. Untuk proses penebusan, hanya masukkan nombor baucar pada halaman pembayaran untuk tempahan penerbangan.

Tempoh FLYsiswa 2024 akan diumumkan oleh kerajaan. Tertakluk kepada terma dan syarat