AirAsia sambut penerbangan dari Hong Kong ke Pulau Pinang, laluan terus antarabangsa ketujuh ke pulau itu
PULAU PINANG, 10 Ogos 2023 - AirAsia meraikan perkhidmatan penerbangan yang disambung semula dari Hong Kong ke Pulau Pinang hari ini dengan sambutan meriah. Laluan dengan kekerapan tiga kali seminggu ini menandakan kejayaan penting bagi AirAsia kerana ia menjadikannya satu-satunya syarikat penerbangan tambang rendah yang menawarkan sambungan terus antara kedua-dua buah bandar yang popular ini.
Majlis sambutan ini turut disertai oleh Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, YB Khairul Firdaus bin Akbar Khan; EXCO Pelancongan dan Ekonomi Kreatif Negeri Pulau Pinang (PETACE), YB Yeoh Soon Hin; Ketua Pegawai Eksekutif Penang Global Tourism, Encik Ooi Chok Yan, dan Pengarah Bukan Eksekutif Capital A, Dato’ Abdul Aziz Bakar, menandakan kepentingan perkhidmatan ini untuk membuka peluang pelancongan riadah dan perniagaan.
Penerbangan AK2280 berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Hong Kong dan tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang pada jam 2.55 petang dengan muatan hampir penuh sebanyak 96 peratus. Para tetamu turut disambut dengan meriah beserta pancuran air setibanya di lapangan terbang dan menerima barangan eksklusif AirAsia.
Pulau Mutiara yang kaya dengan sejarah, budaya yang pelbagai, dan juadah enak telah lama menjadi destinasi popular untuk pelancong riadah dan perniagaan. Dengan penyambungan semula laluan ini, AirAsia berharap untuk meningkatkan ketersambungan antara Hong Kong dan Pulau Pinang, menjadikan perjalanan lebih lancar bagi pengembara untuk meneroka keindahan dan daya tarikan pulau ini.
YB Yeoh Soon Hin, EXCO Pelancongan dan Ekonomi Kreatif Pulau Pinang (PETACE) berkata: “Saya memuji usaha berterusan AirAsia untuk mengembangkan rangkaian mereka ke dan dari Pulau Pinang bagi membolehkan perjalanan lebih lancar untuk rakyat di negeri ini. Penyambungan semula laluan yang menghubungkan Pulau Pinang dan Hong Kong ini sudah pasti akan memperkukuh lagi hubungan pelancongan dan menggalakkan pertukaran budaya, seterusnya meningkatkan pembangunan ekonomi bagi kedua-dua bandar ini. Saya berharap laluan ini bukan sahaja akan memanfaatkan rakyat Pulau Pinang malah pengembara di Asia Utara.”
Riad Asmat, Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Malaysia berkata: “Kami berbesar hati untuk mengendalikan laluan terus antarabangsa ketujuh secara rasmi dari Pulau Pinang. Laluan ke dan dari Hong Kong ini adalah tambahan penting kepada perkembangan rangkaian kami di Pulau Pinang, yang merupakan hab ketiga terbesar kami di Malaysia. Sebagai satu-satunya syarikat penerbangan tambang rendah yang menawarkan perkhidmatan penerbangan terus ini, kami berhasrat untuk menjadikan perjalanan lebih mudah diakses dan berpatutan kepada para tetamu yang terbang di antara kedua-dua buah bandar dinamik ini. Saya juga ingin berterima kasih kepada Kerajaan Negeri Pulau Pinang dan Penang Global Tourism atas sokongan padu mereka dalam mempromosikan Pulau Pinang sebagai destinasi yang mesti dilawati.”
Sempena meraikan pelancaran semula laluan ini, AirAsia menawarkan tambang promosi termasuk semua dari Pulau Pinang ke Hong Kong daripada RM279* sehala dan dari Hong Kong ke Pualau Pinang daripada HKD538* sehala. Tempahan boleh dibuat mulai sekarang hingga 13 Ogos 2023 untuk tempoh perjalanan antara 1 Oktober 2023 dan 31 Mac 2024.
AirAsia kini mengendalikan tujuh laluan antarabangsa terus ke/dari Pulau Pinang dengan 99 penerbangan mingguan ke Bangkok, Bandar Ho Chi Minh, Surabaya, Jakarta, Medan, Singapura dan Hong Kong.
*Tambang termasuk semua termasuk cukai, fi MAVCOM, surcaj bahan api dan caj lapangan terbang. Tertakluk kepada terma dan syarat lain.