AirAsia rai penerbangan pertama dari Kuala Lumpur ke Kertajati, hubung lebih ramai pengembara ke Jawa Barat yang kaya dengan budaya
AirAsia menjadi syarikat penerbangan tambang rendah pertama yang menghubungkan Kuala Lumpur ke Kertajati secara terus
KERTAJATI, 17 Mei 2023 ‒ AirAsia Malaysia (AK) hari ini meraikan penerbangan pertamanya dari Kuala Lumpur ke Kertajati di Jawa Barat, Indonesia.
Penerbangan tersebut berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (Terminal 2) pada jam 9.05 pagi dan mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kertajati pada hari yang sama pada jam 10.20 pagi waktu tempatan. Para tetamu dalam penerbangan AK418 disambut dengan meriah semasa ketibaan oleh Bapak Drs. Benny Bachtiar M.SI, Ketua Pelancongan dan Kebudayaan, Wilayah Jawa Barat; Tuan Yang Terutama Dato’ Syed Md Hasrin, Duta Besar Malaysia ke Republik Indonesia; Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Malaysia, Riad Asmat; dan para tetamu kenamaan dalam industri.
Pelancaran laluan baharu itu turut menandakan AirAsia sebagai syarikat penerbangan tambang rendah pertama yang terbang ke laluan antarabangsa ke dan dari Kertajati selepas pandemik. Lapangan Terbang Antarabangsa Kertajati ialah lapangan terbang kedua terbesar di Indonesia, dan berfungsi sebagai hab utama yang menghubungkan pengembara ke Bandung Raya, Cirebon dan kawasan sekitarnya, wilayah Jawa Barat dan sebahagian Jawa Tengah.
Riad Asmat, Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Malaysia berkata: “Kami berbesar hati menjadi syarikat penerbangan tambang rendah pertama yang menghubungkan pengembara ke Kertajati, permata Indonesia yang belum diterokai. AirAsia memulakan penerbangannya dari Malaysia ke Indonesia pada tahun 2004, membolehkan pengembara merasai keindahan dan keajaiban kedua-dua buah negara, serta menghubungkan mereka dengan orang tersayang dengan mudah. Kami telah menerbangkan lebih daripada 2.5 juta tetamu antara kedua-dua negara sehingga tahun 2019 dan mengembangkan rangkaian kami ke 12 destinasi di Indonesia dengan 151 penerbangan mingguan.
“Misi kami adalah untuk menjadikan Jawa Barat dan Indonesia secara keseluruhannya sebagai destinasi yang harus dilawati di Asean. Dengan laluan baharu ini, lebih ramai penduduk tempatan dan pengembara akan berpeluang melihat keunikan Kertajati dan kawasan serta tarikan-tarikan yang berdekatan. Wilayah Majalengka, yang menempatkan Kertajati hanya sejam dari Bandung yang turut dikenali sebagai syurga membeli-belah. Permulaan penerbangan dari Kuala Lumpur ini bukan sahaja akan memperkenalkan Kertajati kepada pelancong dari Asean dan seterusnya, malah akan mewujudkan pelbagai peluang ekonomi dan pekerjaan untuk penduduk tempatan.
“Sebagai kumpulan syarikat penerbangan yang mempunyai rangkaian luas di Asean dan Asia Pasifik, bersama syarikat Indonesia AirAsia, kami teruja untuk terus memainkan peranan dalam membawa pelancong asing terus ke pelbagai bandar-bandar popular dan kurang mendapat perkhidmatan di Indonesia dan Malaysia. Kami juga berharap dapat menyumbang kepada usaha kedua-dua kerajaan untuk menarik berjuta-juta pelawat asing pada 2023.”
Sempena meraikan penerbangan sulungnya, AirAsia menawarkan tambang termasuk semua* dari Kuala Lumpur ke Kertajati daripada RM141 sehala. Tambang bernilai hebat ini juga tersedia untuk penerbangan pergi balik daripada IDR616,600 sehala. Promosi ini tersedia bermula hari ini hingga 21 Mei 2023, untuk tempoh perjalanan antara 1 Jun dan 14 Disember 2023.
Jadual penerbangan antara Kuala Lumpur (KUL) dan Kertajati (KTJ):
*Tambang semua termasuk cukai lapangan terbang, surcaj bahan api dan sebarang caj lain yang berkenaan. Tertakluk kepada terma dan syarat.