AirAsia nasihatkan para tetamu untuk merancang perjalanan ke lapangan terbang susulan penutupan jalan sempena Sidang Kemuncak ASEAN 2025

SEPANG, 20 Mei 2025 - Susulan pengumuman daripada Polis Diraja Malaysia berkenaan penutupan jalan dan lencongan lalu lintas semasa Sidang Kemuncak ASEAN dan latihan awal, AirAsia menasihatkan para  tetamu yang akan berlepas atau tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur Terminal 2 (KLIA T2) antara 21 Mei 2025 hingga 28 Mei 2025 untuk merancang perjalanan mereka ke lapangan terbang dan menggunakan perkhidmatan alternatif seperti Express Rail Link (KLIA Ekspres/KLIA Transit).

Penutupan jalan dan lencongan lalu lintas antara jam 7.30 pagi dan 8 malam yang menjejaskan KLIA T2 pada tarikh ini termasuk di:

  • KLIA Expressway

  • Lebuh Raya Elite (KLIA-Putrajaya)

  • New Klang Valley Expressway (NKVE)

  • Guthrie Corridor Expressway

  • PLUS Highway (Sg Buloh-Jalan Duta)

  • MEX

  • KL-Seremban Expressway

Para tetamu dinasihatkan untuk merancang waktu perjalanan ke KLIA T2 bagi mengelakkan kemungkinan kelewatan lalu lintas ketara dan sekatan jalan. Sila tiba lebih awal sekurang-kurangnya dua (2) jam sebelum penerbangan domestik dan tiga (3) jam sebelum penerbangan antarabangsa bagi memastikan masa yang mencukupi untuk melalui semua prosedur perjalanan yang diperlukan sepanjang tempoh ini. Sila ambil maklum bahawa kaunter daftar masuk akan ditutup satu (1) jam sebelum waktu berlepas yang dijadualkan di KLIA T2.

Para tetamu juga digalakkan untuk melakukan daftar masuk kendiri melalui aplikasi AirAsia MOVE yang boleh dilakukan dari 14 hari sehingga satu (1) jam sebelum waktu perlepasan yang dijadualkan. Gunakan pas masuk elektronik menerusi aplikasi AirAsia MOVE untuk menaiki penerbangan tanpa perlu mencetak pas masuk fizikal. Pas masuk elektronik ini diterima di semua lapangan terbang di Malaysia dan kebanyakan lapangan terbang lain di seluruh dunia di mana AirAsia beroperasi.

Untuk maklumat terkini dan informasi perjalanan, muat turun aplikasi AirAsia MOVE atau layari airasia.com.