AirAsia menjadi rakan penerbangan rasmi bagi Sidang Kemuncak Malaysia-China 2024, tawaran eksklusif menanti para peserta China dan Asean
Dari kiri (ketiga) ke kanan: Yang Mulia Raja Badrulnizam Raja Kamalzaman, Pengarah Kanan, Bahagian Perancangan Strategik Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE); Yang Berbahagia Dato' Shaharuddin Bin Abu Sohot, YBhg. Dato' Shaharuddin bin Abu Sohot, Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan) Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC); Paul Carroll, Ketua Pegawai Komersial Kumpulan AirAsia dan Richard Teo, Pengerusi Eksekutif Qube Integrated di Majlis Pelancaran Pengumuman Rakan Penerbangan Rasmi Persidangan Malaysia-China 2024.
KUALA LUMPUR, 16 Mei 2024 - AirAsia telah diumumkan sebagai Rakan Penerbangan Rasmi bagi Sidang Kemuncak Malaysia-China 2024 (MCS 2024) bagi memastikan akses dan hubungan yang lebih baik untuk para perwakilan dan peserta dari China serta negara-negara ASEAN yang lain.
Pengumuman ini, dibuat pada sesi Siri Libat Urus MCS 2024 di Kuala Lumpur, melambangkan pentingnya sidang kemuncak ini sebagai acara utama memperingati ulang tahun ke-50 hubungan diplomatik Malaysia-China.
Sebagai syarikat penerbangan tambang rendah asing yang terbesar di China , AirAsia akan menawarkan penerbangan eksklusif kepada peserta sidang kemuncak ini. Promosi ini adalah bagi perjalanan yang dibuat dari 9 sehingga 20 Disember 2024 dengan tempahan dibuat melalui laman web MCS 2024 di www.malaysiachinasummit.com.my.
Laluan promosi ini melibatkan penerbangan AirAsia ke bandar-bandar utama di Asia seperti Hong Kong, Hangzhou, Shenzhen, Guangzhou, Shanghai, Chengdu, Jakarta, Ho Chi Minh City, Singapura, Bangkok, Phnom Penh, Siem Reap, Sihanoukville, Vientiane dan Manila.
Selain itu, para perwakilan yang tiba di Kuala Lumpur boleh menggunakan AirAsia Ride sebagai pengangkutan di ibu kota, di samping menikmati tawaran hidangan-hidangan Santan AirAsia dan barangan eksklusif di sidang kemuncak ini bagi memastikan mereka menikmati pengalaman layanan santun Malaysia.
MCS 2024 dianjurkan oleh Qube Integrated (M) Sdn Bhd dengan kerjasama Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE), sebagai salah satu program utama untuk memperingati ulang tahun ke-50 ini yang disokong oleh Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri.
Sidang kemuncak ini dijadualkan berlangsung dari 17 – 19 Disember 2024 di Malaysia international Trade and Exhibition Centre (MITEC) yang dijangka menarik 500 pempamer dan 10,000 perwakilan dari Malaysia, China dan negara-negara ASEAN. Sidang kemuncak akan merangkumi Ekspo Perdagangan dan Pelaburan Antarabangsa selama tiga hari dan Persidangan Kepimpinan selama dua hari.
YBhg. Dato' Shaharuddin bin Abu Sohot, Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan) Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya, dalam ucapannya, menekankan pentingnya kerjasama dalam mempromosikan hubungan serantau dan pertukaran budaya.
Beliau turut berucap mengenai pemulihan pasca-Covid dan kempen promosi untuk menempatkan Malaysia sebagai salah satu destinasi pelancongan dan mesyuarat, insentif, persidangan dan pameran (MICE) terulung di Asia.
“Sumbangan kehadiran ahli perniagaan adalah penting, mengatasi pelancong biasa kerana mereka biasanya menginap lebih lama dan banyak berbelanja untuk pengangkutan, penginapan dan makanan. Kami sedang meningkatkan kemudahan untuk menarik lebih ramai ‘pelancong perniagaan’ ini, terutamanya semasa acara penting seperti persidangan antarabangsa, ekspo, dan perjumpaan korporat.
“MCS 2024 adalah pentas penting untuk mempamerkan Malaysia sebagai destinasi pelancongan dan MICE, dan dengan itu, melalui Tourism Malaysia, kami bangga dapat menjadi rakan strategik bagi sidang kemuncak ini untuk menyusun, mempamer dan mempersembahkan warisan budaya negara dan pelbagai tarikan pelancong,” tambah Shaharuddin.
Richard Teo, Pengerusi Eksekutif Qube Integrated yang juga pengerusi penganjur sidang kemuncak ini, melahirkan kegembiraan beliau mengenai kolaborasi bersama AirAsia. “Jaringan luas dan perkhidmatan inovatif AirAsia menjadikannya rakan ideal untuk sidang kemuncak ini, dengan memastikan perjalanan mampu milik dan bermutu untuk delegasi yang datang dari seluruh dunia.
“Perkongsian baharu ini akan membantu mempromosikan Malaysia sebagai destinasi utama untuk perniagaan dan rekreasi di samping membolehkan AirAsia menunjukkan kemampuannya bukan setakat kembara rekreasi tetapi juga perjalanan untuk perniagaan dan perdagangan.”
Paul Caroll, Ketua Pegawai Komersial Kumpulan AirAsia berkata: “Sebagai syarikat penerbangan tambang rendah asing terbesar di China, kami berbesar hati menjadi rakan penerbangan rasmi untuk Sidang Kemuncak Malaysia-China 2024. Kami melihat ini sebagai perkongsian strategik, memandangkan pengembangan berterusan AirAsia di semua rantau. Kami mengendalikan perkhidmatan penerbangan terus ke 16 destinasi dari Malaysia ke China dalam Kumpulan AirAsia, termasuk laluan eksklusif.
“Dalam menyambut ulang tahun ke-50 hubungan dua hala Malaysia-China, kami komited untuk mengukuhkan lagi hubungan antara kedua-dua negara melalui pelancongan dan terus menyumbang kepada kedatangan lima juta pelancong China, seperti yang disasarkan oleh Tourism Malaysia tahun ini. Dengan pengumuman membenarkan kemasukan pelawat tanpa visa oleh kedua-dua negara bagi menyambut ulang tahun ke-50 ini, kami terus komited memainkan peranan sebagai penggiat penerbangan utama dan pemimpin pasaran di Asia.
“AirAsia telah berkembang daripada hanya sebagai syarikat penerbangan, ia kini melayani bukan sahaja pelancong santai tetapi juga pelancong perniagaan dan perdagangan. Perluasan khidmat ini termasuk Program Perjalanan Korporat AirAsia, yang diperkenalkan awal tahun ini, di mana kami menawarkan manfaat eksklusif untuk meningkatkan lagi pengalaman bagi pelancong perniagaan.”
Selain Tourism Malaysia, China Enterprises Chamber of Commerce in Malaysia (CECCM) turut diumumkan sebagai rakan strategik baharu sidang kemuncak ini untuk menggalakkan penyertaan melalui rangkaiannya yang luas dan membawa peluang perniagaan ke sidang kemuncak.
Rakan-rakan strategik lain bagi sidang kemuncak ini adalah Malaysia-China Business Council, Malaysia-China Chamber of Commerce, National Chamber of Commerce and Industry of Malaysia, Malaysian Chamber of Commerce and Industry in China dan Malaysia Convention & Exhibition Bureau.