AirAsia Newsroom

View Original

AirAsia memperluas rangkaian Asia dengan pelancaran laluan Pulau Pinang-Hong Kong

Penerbangan sulung akan bermula pada 10 Ogos 2023 dengan tambang promosi daripada RM299 termasuk semua* sehala

PULAU PINANG, 7 Jun 2023 - AirAsia terus meluaskan rangkaiannya di Asia dengan pelancaran laluan ke Hong Kong dari hab ketiga terbesarnya di Pulau Pinang bermula 10 Ogos 2023.

Laluan ini menandakan laluan antarabangsa ketujuh syarikat penerbangan itu dari Pulau Pinang dan dijangka akan meningkatkan lagi kemasukan pelancongan ke negeri itu, seterusnya memperkukuh industri pelancongan negeri yang sedang berkembang maju. Penerbangan tiga kali seminggu itu juga menyumbang kepada sejumlah 217 penerbangan mingguan dari Pulau Pinang ke destinasi domestik dan antarabangsanya.

Laluan tersebut telah diumumkan pada hari ini oleh YB Yeoh Soon Hin, EXCO Pelancongan dan Ekonomi Kreatif (PETACE) Negeri Pulau Pinang; Ooi Chok Yan, Ketua Pegawai Eksekutif Penang Global Tourism (PGT); dan Kenneth Tan, Pengarah, Perhubungan Kerajaan (Utara Malaysia) di AirAsia di Komtar, Pulau Pinang.

YB Yeoh Soon Hin, EXCO Pelancongan dan Ekonomi Kreatif Pulau Pinang (PETACE) berkata: “Kami yakin dengan penambahan tiga penerbangan mingguan ke Hong Kong ini bukan sahaja akan memperkukuh lagi status Pulau Pinang sebagai negeri tumpuan pelancongan di Malaysia, malah dapat menyumbang secara ketara kepada tarikan di keseluruhan pulau ini. Hong Kong merupakan sebahagian daripada kawasan ‘Greater Bay Area’ (GBA) iaitu skim yang diwujudkan oleh Kerajaan China untuk menghubungkan wilayah mereka yang sedang pesat membangun menjadi sebuah hab ekonomi dan perniagaan bersepadu. Hubungan ini akan memberi manfaat kepada Pulau Pinang untuk mencapai pertumbuhan pelancongan dan ekonomi yang lebih tinggi.

“Kerajaan Negeri Pulau Pinang percaya melalui usaha sama dengan pemain industri seperti AirAsia, kami akan dapat memacu potensi industri pelancongan tempatan sepenuhnya. Kami akan terus menjalinkan kerjasama kukuh dengan sektor swasta, melaksanakan strategi pemasaran yang inovatif dan melabur dalam pembangunan infrastruktur untuk meningkatkan ketibaan pelawat, tempoh penginapan mereka dan pengalaman perjalanan mereka secara keseluruhan.”

Riad Asmat, Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Malaysia berkata: “Kami teruja untuk menyambung semula laluan Pulau Pinang ke Hong Kong selepas melancarkannya buat kali pertama pada tahun 2009 di mana kami menjadikan Pulau Pinang sebagai hab pada masa yang sama. Kami juga adalah satu-satunya syarikat penerbangan tambang rendah yang menghubungkan kedua-dua pulau tersebut secara terus, menawarkan lebih nilai dan akses kepada para tetamu. Ini adalah laluan bersejarah yang menarik untuk AirAsia dan kami menjangka ia akan mendapat sambutan daripada pengembara perniagaan dan riadah.

“Kumpulan AirAsia mempunyai rangkaian antarabangsa terbesar dari Pulau Pinang dengan bahagian pasaran sebanyak 40%. Pengembangan ini bukan sahaja memperkukuh kedudukan AirAsia di luar Asean malah memacu komitmen kami untuk memupuk pertumbuhan ekonomi melalui pelancongan. Kami berharap dapat bekerjasama rapat dengan kerajaan negeri untuk menyokong industri pelancongan dan merangsang perjalanan udara ke Pulau Mutiara.”

Sempena meraikan pengumuman laluan itu, AirAsia menawarkan tambang promosi hebat bermula hari ini daripada RM299 termasuk semua* sehala untuk tempoh perjalanan dari 10 Ogos 2023 hingga 26 Oktober 2024. Klik ikon 'Penerbangan' pada aplikasi airasia Superapp atau laman web untuk membuat tempahan dan terokai Hong Kong dengan tambang hebat!

Kumpulan AirAsia mengendalikan sejumlah 217 penerbangan mingguan melalui sepuluh laluan ke Pulau Pinang dari Kuala Lumpur (67x mingguan), Johor Bahru (28x mingguan), dan Langkawi (21x mingguan) serta Singapura (35x mingguan), Bandar Ho Chi Minh (7x mingguan), Jakarta (11x mingguan), Bangkok (14x mingguan), Medan (28x mingguan), Surabaya (3x mingguan), dan Hong Kong (3x mingguan).

Jadual penerbangan dari Pulau Pinang (PEN) ke Hong Kong (HKG):

*Tambang termasuk semua sehala termasuk cukai lapangan terbang, fi MAVCOM, surcaj bahan api dan caj lain yang berkenaan. Tertakluk kepada terma dan syarat lain.