AirAsia lancar rekaan pesawat emas sempena kemenangan ke-16 di Skytrax






Nikmati promosi tambang rendah dan jualan istimewa selama 16 hari
SEPANG, 19 Jun 2025 – AirAsia hari ini melancarkan rekaan pesawat emas bagi meraikan kemenangan ke-16 berturut-turut sebagai ‘Syarikat Penerbangan Tambang Rendah Terbaik Dunia’ di Anugerah Skytrax World Airline 2025.
Pesawat berwarna emas eksklusif ini diperkenalkan semasa majlis pelepasan khas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur Terminal 2 (KLIA T2), menandakan pencapaian menakjubkan dan merupakan penghargaan istimewa sempena hampir satu bilion tetamu yang terbang bersama-sama AirAsia sejak tahun 2001. Rekaan khas pesawat ini bertemakan ‘Still Winning, Still Gold’ melambangkan kekuatan dan ketahanan elemen emas sempena tanda kemenangan berturut-turut syarikat penerbangan ini.
Walaupun rekaan pesawat berwarna merah dan putih telah sinonim dengan AirAsia, sentuhan keemasan ini menandakan era baharu syarikat penerbangan ini dengan ketahanan, konsisten dan kekal menawarkan perkhidmatan bertaraf dunia dengan tambang berpatutan untuk semua. Bahagian dalam kabin turut dihiasi dengan elemen keemasan untuk meningkatkan pengalaman penerbangan.
Bagi meraikan kemenangan ini, AirAsia melancarkan kempen istimewa yang menawarkan tambang nilai hebat setiap hari termasuk jualan istimewa ‘Golden Hour’ pada jam 4 petang hingga 7 malam, selama 16 hari berturut-turut. Para pengembara boleh menikmati tambang promosi* ke seluruh rangkaian destinasi AirAsia termasuk destinasi menarik seperti Johor Bahru, Kota Kinabalu, Da Lat, Krabi, Jaipur dan banyak lagi bermula hari ini hingga 3 Julai 2025, untuk tempoh perjalanan antara 2 Julai 2025 hingga 31 Mac 2026 menerusi aplikasi AirAsia MOVE atau airasia.com.
Tambang promosi yang dinyatakan termasuk caj perkhidmatan penumpang, caj perkhidmatan kawal selia, surcaj bahan api, dan fi lain yang berkaitan. Sah untuk penerbangan terpilih sahaja. Tersedia untuk tempahan awal melalui aplikasi AirAsia MOVE dan tertakluk kepada ketersediaan. Jualan Golden Hour hanya sah untuk destinasi terpilih sahaja. Tertakluk kepada terma dan syarat lain.