AirAsia lancar penerbangan ke Palembang, buka semula laluan antarabangsa untuk memacu sektor pelancongan dan ekonomi Sumatera Selatan







PALEMBANG, 18 Julai 2025 – AirAsia Malaysia (kod penerbangan AK) telah menyambung semula penerbangan ke Palembang, Indonesia. Penerbangan pertama dari Kuala Lumpur ini turut mengembalikan status antarabangsa Lapangan Terbang Sultan Mahmud Badaruddin II.
Penyambungan semula penerbangan ini dijangka akan memacu sektor pelancongan tempatan dengan menarik lebih ramai pelancong antarabangsa khususnya dari Malaysia, serta merangsang pertumbuhan sektor sokongan seperti pengangkutan, hospitaliti dan industri makanan. Indonesia mensasarkan antara 14.6 hingga 16 juta ketibaan pelancong asing pada tahun 2025 dan akses serantau yang ditawarkan oleh AirAsia akan memainkan peranan penting dalam menyokong sasaran ini, terutamanya bagi bandar sekunder seperti Palembang.
H. Herman Deru, Gabenor Sumatera Selatan berkata: “Penyambungan semula penerbangan antarabangsa ini dijangka memberi impak positif terhadap sektor pelancongan dan ekonomi di Sumatera Selatan. Pada tahun 2024, menurut BPS-Statistik Indonesia, Kadar Penghunian Bilik bagi hotel bertaraf di Sumatera Selatan telah mencapai kadar 51.85 peratus. Kami menjangka peningkatan lebih ketara khususnya dalam industri pelancongan dan pertumbuhan ekonomi beberapa bulan akan datang seiring dengan permulaan penerbangan antarabangsa di Lapangan Terbang Antarabangsa Sultan Mahmud Badaruddin II Palembang.”
Dato’ Kapten Fareh Mazputra, Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Malaysia berkata: “Penyambungan semula laluan ke Palembang menjadi keutamaan kami selepas pandemik. Sebagai destinasi yang mempunyai permintaan tinggi, terutamanya bagi perjalanan balik kampung semasa perayaan Hari Raya Aidilfitri dan Aidiladha, kami berbesar hati apabila lapangan terbang ini kembali dibuka untuk perkhidmatan antarabangsa. Perkhidmatan harian baharu ini akan meningkatkan lagi hubungan antara Malaysia dan Indonesia, menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak 205 penerbangan mingguan yang dikendalikan oleh AirAsia antara kedua-dua negara. Dengan penambahan Palembang ke rangkaian luas AirAsia, kami bukan sahaja menghubungkan keluarga dan budaya, malah membuka laluan baharu untuk pertukaran ekonomi, pelaburan dan pelancongan. Kami berbangga untuk terus menghubungkan bandar-bandar sekunder seperti Palembang sekali gus menawarkan lebih banyak akses dan peluang kepada komuniti yang telah lama menantikan sambungan antarabangsa ini.”
AirAsia Malaysia (AK) kini mengendalikan penerbangan dari Kuala Lumpur ke 15 destinasi di seluruh Indonesia termasuk Jakarta, Bali (Denpasar), Medan, Yogyakarta, Banda Aceh, Makassar, Padang, Pekanbaru, Balikpapan, Labuan Bajo, Lombok, Palembang, Semarang (bermula 5 September 2025), serta dari Pulau Pinang ke Jakarta dan Medan.