AirAsia lancar Palembang dan Semarang ke rangkaian destinasinya di Indonesia, menawarkan sejumlah 188 penerbangan mingguan antara Malaysia dan Indonesia





PALEMBANG, 17 Jun 2025 – AirAsia Malaysia (kod penerbangan AK) mengumumkan pelancaran dua laluan terus baharu dari Kuala Lumpur ke Palembang dan Semarang, sekali gus memperkukuh akses perjalanan antara Malaysia dan Indonesia dengan jumlah keseluruhan 188 penerbangan mingguan antara kedua-dua negara.
Dengan penambahan ini, AirAsia Malaysia kini menghubungkan ke 15 destinasi di seluruh Indonesia termasuk Jakarta, Bali (Denpasar), Medan, Yogyakarta, Banda Aceh, Makassar, Padang, Pekanbaru, Balikpapan, Labuan Bajo, Lombok serta dari Pulau Pinang ke Jakarta dan Medan, menjadikannya salah satu syarikat penerbangan asing dengan rangkaian paling luas di Indonesia.
Laluan-laluan baharu ini diperkenalkan selaras dengan sasaran Indonesia untuk mencapai 16 juta ketibaan pelancong antarabangsa pada tahun 2025, dengan Malaysia kekal sebagai salah satu pasaran sumber utama. Pelancaran ini juga bertepatan dengan pembukaan semula Lapangan Terbang Sultan Mahmud Badaruddin II (Palembang) dan Lapangan Terbang Jenderal Ahmad Yani (Semarang) bagi perkhidmatan antarabangsa, menjadikan AirAsia syarikat penerbangan antarabangsa pertama yang kembali beroperasi di kedua-dua bandar ini.
Dengan kempen Tahun Melawat Malaysia 2026 yang bakal tiba, pengembangan laluan ini dijangka akan merancakkan lagi sektor pelancongan negara, menggalakkan pertukaran budaya serta memperkukuh hubungan serantau antara kedua-dua negara.
Dato’ Kapten Fareh Mazputra, Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Malaysia berkata: “Pelancaran laluan-laluan ini membuktikan usaha berterusan kami untuk menghubungkan lebih banyak bandar di seluruh Indonesia, terutamanya kawasan yang kurang mendapat sambungan. Kami berbesar hati dapat kembali ke Palembang dan Semarang dan menjadi antara yang terawal membuka semula tempahan ke dua destinasi ini yang wajar dikenali dengan lebih meluas. Setiap laluan baharu akan menawarkan lebih banyak peluang perniagaan, pelancongan serta hubungan antara masyarakat. Kami juga berbangga dapat merapatkan hubungan antara bandar-bandar ini dengan Kuala Lumpur menerusi penerbangan berpatutan. Terima kasih kepada pihak kerajaan dan semua pihak berkepentingan yang telah menyokong pencapaian penting ini.”
Sempena pelancaran laluan baharu ini, AirAsia menawarkan tambang promosi istimewa untuk penerbangan dari Kuala Lumpur ke Palembang bermula daripada RM159 termasuk semua* sehala. Penerbangan dari Palembang ke Kuala Lumpur juga ditawarkan pada tambang bermula daripada IDR499,000 termasuk semua* sehala. Tempahan kini boleh dibuat mulai hari ini sehingga 29 Jun 2025, bagi tempoh perjalanan antara 17 Julai 2025 hingga 28 Mac 2026. Sementara itu, penerbangan dari Kuala Lumpur ke Semarang ditawarkan pada tambang promosi bermula daripada RM199 termasuk semua* sehala, manakala penerbangan dari Semarang ke Kuala Lumpur bermula daripada IDR799,000 termasuk semua* sehala. Tempahan bagi laluan ini juga boleh dibuat mulai hari ini sehingga 29 Jun 2025, bagi tempoh perjalanan antara 5 September 2025 hingga 28 Mac 2026. Promosi ini boleh didapati menerusi aplikasi AirAsia MOVE dan laman web airasia.com.
Palembang merupakan ibu negeri Sumatera Selatan dan bandar kedua terbesar di Sumatera yang juga dikenali sebagai salah satu destinasi pelancongan utama di Indonesia. Dahulunya merupakan pusat kepada Empayar Sriwijaya yang berkuasa, kini Palembang menawarkan gabungan sejarah yang kaya, sajian tempatan yang enak serta daya tarikan tepi sungai yang mempesona. Sungai Musi merupakan sungai terpanjang di Sumatera yang mengalir merentasi bandar ini dengan Jambatan Ampera yang ikonik, dibina pada tahun 1965, berdiri megah sebagai simbol kemajuan dan perpaduan.
Semarang merupakan ibu negeri Jawa Tengah iaitu sebuah bandar yang menggabungkan budaya Jawa dan Cina. Bandar ini pernah dinobatkan sebagai destinasi pelancongan terbersih di Asia Tenggara oleh ASEAN Clean Tourist City Standard bagi tahun 2020–2022. Antara tarikan utama ialah Kampung Pelangi yang berwarna-warni dengan rumah-rumah yang dicat dengan warna-warna yang menarik serta Kota Lama yang bersejarah yang terkenal dengan seni bina kolonialnya dan suasana persekitaran yang meriah.
Dengan kekayaan budaya, pemandangan ikonik dan pengalaman yang unik, Palembang dan Semarang merupakan permata destinasi yang wajib dikunjungi di Indonesia.
Jadual Penerbangan antara Kuala Lumpur (KUL) dan Palembang (PLM):
Jadual Penerbangan antara Kuala Lumpur (KUL) dan Semarang (SRG):
*Tambang termasuk semua adalah untuk perjalanan sehala sahaja serta caj perkhidmatan penumpang, caj pengawalseliaan, surcaj bahan api serta yuran lain yang berkaitan. Tertakluk kepada terma dan syarat lain.