AirAsia Newsroom

View Original

AirAsia kekal momentum untuk terajui Super App di Asean

Perniagaan digital bukan penerbangan terus kukuh

SEPANG, 28 Mei 2021 - Visi AirAsia untuk menjadi peneraju platform perjalanan dan gaya hidup digital terkemuka di Asean bakal menjadi kenyataan. Bukan sahaja airasia Super App menjadi salah satu daripada tiga agensi pelancongan dalam talian (OTA) teratas di rantau ini, malah perniagaan bukan syarikat penerbangannya berkembang pesat untuk memenuhi peningkatan permintaan pengguna. Manakala, BigPay bakal menjadi bank maya pertama dan Teleport terus kukuh.

Selari dengan pengumuman keputusan kewangan AirAsia Group pada 27 Mei untuk suku pertama 2021, pendapatan platform digital bukan syarikat penerbangannya telah meningkat dengan ketara. Airasia super app mencatatkan peningkatan sebanyak 45% tahun ke tahun untuk pendapatan suku tahunan berjumlah RM10 juta berikutan pengembangan produk dan perkhidmatan yang kukuh di platform ini. Pendapatan Teleport, cabang logistik e-dagang syarikat penerbangan tersebut turut meningkat tiga kali ganda berbanding suku terakhir tahun 2020.

“Sama seperti syarikat penerbangan kami yang ditubuhkan untuk semua orang dengan merevolusikan perjalanan udara sejak 20 tahun yang lalu, kami kini menerajui dan mendemokrasikan industri ini sekali lagi lagi melalui airasia super app yang menawarkan lebih daripada 17 produk perjalanan dan gaya hidup dengan memanfaatkan ekosistem kami,” kata Tan Sri Tony Fernandes, Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Group.

“Walaupun perniagaan kami terus berkembang, kami tetap berusaha untuk memberikan nilai yang terbaik dalam semua perkhidmatan dan produk kami serta memberi peluang untuk semua orang melakukan perjalanan, menginap, membeli-belah, menikmati pelbagai makanan, menambah ilmu dan banyak lagi. Kami juga akan terus menyokong semua orang bukan sahaja di bandar-bandar besar, malah di bandar-bandar kecil di mana peluang lebih tipis selain produk dan perkhidmatan lebih terhad.

“Melalui ekosistem digital kami, kami telah menyediakan ribuan pekerjaan dan menyokong lebih daripada 3,500 PKS di Malaysia. Pusat latihan kami, AirAsia Academy (dikenali sebagai Redbeat Academy), menawarkan kursus latihan digital dan teknologi dengan kadar berpatutan untuk melengkapkan bukan sahaja kakitangan kami, malah PKS dan orang awam, dengan kemahiran teknologi di Malaysia dan di peringkat global dalam dunia digital yang sentiasa berubah ini. Pengembangan jejak digital kami di Malaysia dan negara-negara Asean yang lain bakal meningkatkan sumbangan kami di rantau ini dan menjadi lebih penting pada masa hadapan.

“Hanya dalam masa satu tahun lebih, kami kini menjadi salah satu daripada tiga agensi pelancongan dalam talian (OTA) terkemuka di Asean berdasarkan trafik laman web, dengan lebih daripada 100 juta paparan setiap bulan di airasia.com. Pada masa akan datang, apabila sekatan perjalanan dibuka di pasaran utama, kami dapat menjamin harga terbaik untuk pakej penerbangan dan hotel kerana kami memiliki syarikat penerbangan sendiri.

“Perniagaan bukan syarikat penerbangan lain termasuklah airasia food, airasia fresh, airasia shop dan restoran francais Santan kami berkembang ke pasaran baharu untuk memenuhi keperluan pengguna yang sentiasa berubah, memberikan nilai dan kemudahan yang lebih baik. Baru-baru ini, kami melancarkan airasia beauty, airasia health dan airasia money - penyelesaian teknologi kewangan baharu yang menawarkan produk kewangan kos rendah seperti permohonan kad kredit, pinjaman peribadi, insurans, pelaburan, perkhidmatan kiriman wang, tambah nilai, dan pembayaran bil melalui rakan kongsi kami. Kami juga mempunyai rancangan besar untuk mengembangkan BigPay sebagai bank maya terbaik di rantau ini dan memanfaatkan sepenuhnya potensi program kesetiaan kami BIG Rewards sebagai platform ganjaran terbaik di Asean dan lain-lain.

“Kami turut merancang untuk melancarkan produk dan perkhidmatan yang popular di airasia super app ke lebih banyak pasaran di Asean. Contohnya, airasia food telah berkembang ke Singapura pada bulan Mac 2021, Pulau Pinang dan Kota Kinabalu pada bulan Mei 2021 dan tidak lama lagi di Indonesia dan Thailand. Airasia beauty pula telah dilancarkan di Malaysia dan Indonesia. Kami berusaha untuk memperluas perkhidmatan kesihatan kami di Thailand, Indonesia dan Filipina, selain menawarkan kombo penerbangan dan hotel SNAP di Vietnam dan Singapura dalam masa terdekat.

“Teleport pula terus berkembang pesat. Kini ia bukan sahaja menyediakan perkhidmatan penghantaran pada hari yang sama, malah turut menghantar vaksin di Malaysia dan di sekitar rantau ini, selain mewujudkan lebih daripada 4,000 peluang pekerjaan sebagai rakan penghantar di 17 pasaran utama. Kami juga bakal mengubah pesawat penumpang menjadi pesawat pengangkut dalam beberapa bulan akan datang untuk memenuhi permintaan kargo yang semakin meningkat.”

“Ramai orang masih menganggap kami sebagai sebuah syarikat penerbangan tambang rendah terkemuka di Asia, tetapi apa yang telah kami telah capai sejak tahun lalu melalui transformasi digital kami kepada platform perjalanan dan gaya hidup sehenti adalah luar biasa, dan semua ini adalah hasil kerja keras Allstars kami yang tidak pernah putus asa.”

“Kami mengambil kesempatan dalam krisis ini untuk memanfaatkan kekuatan pangkalan data kami daripada 60 juta pelanggan dan fokus kepada pengembangan aliran pendapatan melalui syarikat bukan penerbangan dalam bidang utama seperti e-dagang, teknologi kewangan dan logistik.

“Terdapat banyak lagi inovasi baharu dalam perancangan kami termasuklah perkhidmatan e-panggilan iaitu airasia ride, yang akan dilancarkan dalam beberapa bulan lagi, serta potensi perkhidmatan penghantaran melalui dron dan pesawat elektrik atau hidronik pada masa hadapan selari dengan visi kami untuk memberikan perkhidmatan terbaik dan memastikan kelestarian kepada para pelanggan.

“Untuk perniagaan syarikat penerbangan, Asia Digital Engineering (ADE) bakal menjadi salah satu penyedia penyelenggaraan dan baik pulih pesawat yang menawarkan nilai terbaik di rantau ini untuk penyelenggaraan talian jangka pendek dan penyelenggaraan berat jangka panjang, yang sebelum ini dikuasai oleh penyedia penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih pesawat (MRO) yang berpusat di Singapura. Saya yakin ADE akan menjadi syarikat penyelenggaraan/baik pulih pesawat terkemuka di rantau ini dalam masa terdekat dengan peluang pertumbuhan yang berpotensi besar di Asean dan global dengan kecemerlangan perkhidmatan dan kos terendah.

“Kami turut melancarkan pelbagai teknologi tanpa sentuhan untuk menjadikan pengalaman penerbangan lebih lancar dan bersih sebelum industri penerbangan bermula dalam masa terdekat termasuk versi pasport digital kami iaitu Scan2Fly di mana para tetamu boleh memuat naik dokumen perubatan yang diperlukan dan mengesahkannya dalam masa nyata secara dalam talian, sebelum menuju ke lapangan terbang. Teknologi pengecaman wajah biometrik kami iaitu FACES pula akan dilancarkan tidak lama lagi di klia2 dan di semua destinasi utama kami pada masa akan datang.

“Ada hikmah di setiap cabaran yang kita lalui dan langkah terbaik untuk menangani kesan pandemik ini adalah pemulihan kami sebagai sebuah platform perjalanan dan gaya hidup yang lebih kuat dan berdaya saing - supaya kami tidak bergantung kepada syarikat penerbangan sahaja.

“Kami akan terus mengutamakan pelanggan, nilai dan ketercapaian dalam apa jua yang kami lakukan. Hari ini, AirAsia berwajah baharu - dengan fokus dan asas kukuh untuk memenuhi keperluan revolusi digital selari dengan permulaan fasa pertumbuhan baharu kami,” kata beliau.