AirAsia Group kini dikenali sebagai Capital A
Identiti korporat baharu mencerminkan perniagaan teras dengan lebih baik dan perniagaan masa hadapan sejajar dengan transformasi digital yang pesat
Melambangkan era baharu sebagai lebih daripada sebuah syarikat penerbangan
KUALA LUMPUR, 28 Januari 2022 - AirAsia Group Berhad hari ini mengumumkan pertukaran nama kumpulan syarikat kepada Capital A Berhad (Capital A atau Kumpulan).
Pertukaran nama tersebut mencerminkan strategi perniagaan teras baharu bagi Kumpulan tersebut sebagai sebuah syarikat pegangan pelaburan dengan portfolio perniagaan perjalanan dan gaya hidup, yang telah pantas mengubah jenama AirAsia menjadi lebih daripada sekadar sebuah syarikat penerbangan.
Ketua Pegawai Eksekutif Capital A, Tan Sri Tony Fernandes berkata: “Kami bukan sekadar memperkenalkan logo baharu kerana hari ini merupakan satu peristiwa penting yang menandakan era baharu bagi Kumpulan kami. Pengumuman hari ini memperkukuh visi kami sebagai bukan hanya sebuah syarikat penerbangan.
“Jenama AirAsia sememangnya sinonim dengan syarikat penerbangan kami, tetapi sudah lama saya berhasrat, sebelum Covid melanda, untuk memanfaatkan data yang telah kami bina selama 20 tahun dan menggabungkan teknologi baharu dalam industri untuk menawarkan rangkaian produk dan perkhidmatan yang lebih luas, lebih daripada sekadar tempahan penerbangan. Pandemik ini telah mempercepatkan strategi tersebut.
“Kini, jenama kami terus berkembang dan memacu inovasi serta memenuhi permintaan pengguna yang sentiasa berubah. Strategi di sebalik pertukaran nama ini adalah untuk memperkenalkan identiti korporat baharu yang mencerminkan perniagaan teras kami dengan lebih baik dan perniagaan masa hadapan sejajar dengan transformasi digital yang pesat daripada sebuah syarikat penerbangan kepada kumpulan perkhidmatan perjalanan digital dan gaya hidup sehenti. Kami percaya bahawa nama syarikat baharu ini juga akan meningkatkan lagi kebolehpasaran produk kami dan meningkatkan kejayaan Kumpulan kami untuk jangka masa panjang.
“Pada asasnya Capital A adalah sebuah syarikat pelaburan dengan portfolio perniagaan yang luas yang memberikan nilai terbaik pada kos terendah, disokong oleh data kukuh yang dibina selama dua dekad. Kami juga merupakan salah satu jenama terkemuka di Asia, selain mempunyai budaya yang mengutamakan pelanggan dan kakitangan serta terus komited untuk berkhidmat kepada semua golongan. Sama seperti syarikat penerbangan kami yang menawarkan nilai dan perkhidmatan terbaik dari hari pertama ia ditubuhkan, semua bidang perniagaan kami yang berbeza akan beroperasi dengan strategi yang sama iaitu menjadikan perkhidmatan perjalanan dan gaya hidup mampu milik, mudah diakses dan inklusif untuk semua.
“Kami kini menawarkan lebih banyak produk dan perkhidmatan di bawah satu Kumpulan dan tiada jenama lain di Asean seperti kami. Dengan akses kepada lebih 700 juta orang di rantau ini, saya percaya terdapat peluang pertumbuhan yang luar biasa untuk jenama kami merentasi pelbagai industri berbeza dalam semua pasaran teras kami.
“Kami mempunyai 16 produk dan perkhidmatan di platform airasia Super App, menawarkan penerbangan dan keperluan gaya hidup seharian. Daripada makanan kepada barangan runcit dan e-dagang, kepada perkhidmatan penghantaran pada hari yang sama, e-panggilan dan banyak lagi. Kami juga merupakan salah satu daripada tiga ejen pelancongan dalam talian (OTA) teratas di Asean dan aplikasi kami berada di landasan yang tepat untuk menjadi aplikasi gaya hidup terkemuka di rantau ini tidak lama lagi.
“Semua perniagaan portfolio kami dijangka akan menjadi peneraju industri dalam bidang masing-masing di seluruh Asia Tenggara, termasuk BigPay, bahagian kejuruteraan pesawat kami iaitu Asia Digital Engineering (ADE) dan usaha logistik kami iaitu Teleport.
“Kami mempunyai lebih 50 juta pelawat unik bulanan di airasia Super App yang telah diiktiraf sebagai sebuah syarikat unikorn teknologi dalam masa kurang daripada dua tahun. Perniagaan teknologi kewangan kami iaitu BigPay pula telah diberi dana sebanyak AS$100 juta daripada konglomerat Korea Selatan, SK Group dan secara keseluruhannya, kami telah mengumpul lebih RM2.5 bilion setakat ini melalui strategi pengumpulan dana kami. Berikutan sokongan pengguna dan pelabur yang kukuh untuk strategi transformasi kami, kami kini meletakkan sasaran pada inisiatif penjanaan modal selanjutnya untuk airasia Super App, Teleport dan ADE yang akan diumumkan dalam masa terdekat.”
Mengenai syarikat penerbangan, Tan Sri Tony Fernandes berkata: “Walaupun Capital A akan menjadi nama Kumpulan baharu, satu perkara yang tidak berubah ialah nama jenama AirAsia untuk syarikat penerbangan kami. Ia adalah salah satu jenama terkuat di Asia dan menyediakan platform yang kukuh untuk semua produk dan perkhidmatan kami yang saling bergantung antara satu sama lain.
“Walaupun dua tahun kebelakangan ini merupakan tahun yang paling sukar dalam sejarah penerbangan komersial, saya yakin pemulihan akan bermula pada tahun ini. Perjalanan udara domestik sudah mula pulih dalam pasaran utama kami. Walaupun mungkin terdapat beberapa kelewatan untuk penerbangan antarabangsa kembali ke tahap pra-Covid disebabkan oleh varian Omicron, saya percaya ini adalah cabaran jangka pendek kerana ramai pakar kesihatan global turut meramalkan, di samping vaksin yang dipercepatkan dan suntikan penggalak, dunia secara beransur-ansur belajar untuk hidup dengan pandemik Covid. Saya berharap sempadan akan dibuka semula secara beransur-ansur sepanjang 2022 dan kita akan melihat kapasiti kembali seperti biasa untuk perkhidmatan antarabangsa pada pertengahan hingga suku ketiga tahun ini.
“Sejak dua tahun lalu kami telah memanfaatkan masa penggantungan penerbangan untuk membina asas kukuh untuk masa depan yang berdaya maju dan berjaya, yang tidak bergantung kepada tambang penerbangan sahaja. Capital A melambangkan era baharu untuk syarikat penerbangan dan semua perniagaan portfolio kami dalam pada kami memulakan fasa pertumbuhan baharu.
“Apa yang penting, kami akan terus berusaha. Kami telah berjaya mengubah perniagaan kami dan kami mempunyai rancangan lima tahun yang akan menyaksikan syarikat bukan penerbangan menyumbang kira-kira 50 peratus daripada keseluruhan hasil Kumpulan menjelang 2026. Sebaik sahaja syarikat penerbangan kembali ke tahap pra-Covid dalam masa terdekat, semua barisan perniagaan lain akan mendapat manfaat yang ketara dan melonjak ke tahap baharu dengan seiring.”
Menjelang tahun 2026, Capital A menyasarkan untuk mencapai antara lain:
Syarikat penerbangan menghubungkan lebih 1 bilion orang di Asean.
Syarikat kejuruteraan (ADE) menjadi peneraju industri untuk perkhidmatan penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO) di Asia Tenggara.
airasia Super App menjadi aplikasi super pilihan di Asean.
BigPay mempunyai 10 juta pengguna aktif bulanan.
Teleport mempunyai 10% bahagian pasaran di Asia Tenggara dalam industri logistik dan e-dagang.
AirAsia Academy mempunyai 5 juta pendaftaran di bawah platform teknologi pendidikannya.
airasia grocer mencapai lebih 21 juta pesanan bulanan.
Nama Kumpulan baharu, Capital A, berkuat kuasa serta-merta berikutan kejayaan pendaftaran nama tersebut di Suruhanjaya Syarikat Malaysia yang diumumkan pada 3 Januari dan kelulusan rasmi telah diterima semalam.
Pertukaran nama daripada AirAsia Group Berhad kepada Capital A Berhad tidak akan mempunyai sebarang kesan ke atas operasi syarikat. Nama saham AirAsia di Papan utama Bursa Malaysia Securities Berhad akan ditukar berkuat kuasa serta-merta untuk mencerminkan nama syarikat baharu itu.
***
Mengenai Capital A - capitala.airasia.com
Capital A is an investment holding company with a portfolio of synergistic travel and lifestyle businesses that leverage data and technology to deliver the best value at the lowest cost, supported by high quality data and one of Asia's leading brands that remains committed to serving the underserved.