AirAsia Newsroom

View Original

AirAsia Foundation rai ulang tahun ke-10 dengan menawarkan geran pemulihan banjir

Foto oleh Samsul Said

SEPANG, 15 Mac 2022 - AirAsia Foundation meraikan ulang tahun kesepuluh hari ini dengan menjemput organisasi untuk memohon geran bantuan dan pemulihan yang ditawarkan bagi membantu projek pembinaan dan pemulihan di kawasan yang terjejas akibat banjir yang melanda negara ini pada bulan Disember 2021.

Organisasi yang layak memohon adalah organisasi bukan keuntungan berdaftar dengan rekod prestasi yang mempunyai rekod baik dari segi bantuan dan pemulihan pasca bencana. Organisasi yang ingin menjalankan program kesiapsiagaan bencana juga dijemput untuk memohon geran ini. Permohonan boleh dibuat melalui airasiafoundation.com/humanitarian/malaysia-flood-relief.

Pengarah Eksekutif AirAsia Foundation Yap Mun Ching berkata: “Kami berbangga kerana telah menyokong ribuan komuniti yang memerlukan di seluruh rantau ini, terutamanya di Malaysia sejak 10 tahun lepas. Untuk terus memenuhi misi kemanusiaan ini, kami mengutamakan kerjasama dengan organisasi tempatan supaya kami dapat terus menyumbang dalam pembinaan kapasiti untuk organisasi bantuan tempatan.”

Berikutan banjir besar yang melanda Semenanjung Malaysia pada bulan Disember 2021, AirAsia Foundation dan BigPay telah bekerjasama menganjurkan kempen untuk mengumpul derma bagi menyokong keperluan pembinaan semula komuniti yang terjejas akibat banjir di beberapa buah negeri di Malaysia. Selain itu, airasia food dan airasia ride turut menyumbang RM1 untuk setiap tempahan yang diterima sepanjang tempoh kempen tersebut. Kempen yang telah dianjurkan di dalam penerbangan AirAsia dan dalam talian melalui aplikasi mudah alih BigPay berjaya mengumpul RM581,800 daripada orang ramai.

Kempen tersebut menandakan kempen derma keenam yang dijalankan oleh AirAsia Foundation sepanjang sedekad yang lalu sebagai tindak balas kepada impak bencana alam. Secara keseluruhan, AirAsia Foundation telah mengumpul lebih RM16 juta hasil daripada derma oleh orang ramai dan dana padanan daripada syarikat.

Semua derma yang dikumpul telah disalurkan untuk membantu masyarakat yang terjejas dan memupuk budaya kesiapsiagaan bencana. Antara kisah kejayaan termasuk Projek Hapinoy Bagong Araw di mana 133 orang wanita telah menerima geran mikro untuk memulihkan kedai runcit (sari-sari) yang terjejas di Filipina seterusnya membolehkan mereka memperoleh pendapatan secara mampan selepas bencana, membiayai program persediaan bencana sekolah rendah pertama Malaysia dengan kerjasama Mercy Malaysia, mereka bentuk dan membina empat buah sekolah tahan gempa di wilayah terpencil Gorkha di Nepal dan bekerjasama dengan Yayasan Arkom Indonesia untuk menyokong komuniti setempat dalam menguruskan pemulihan, pembinaan semula dan penempatan semula selepas tsunami melanda Indonesia.

Projek tersebut menyokong pemetaan zon selamat di sepanjang pantai Teluk Palu dan membina semula 38 buah rumah tahan gempa bumi yang boleh menahan kejutan di bawah tahap 5 pada Skala Richter. Projek pemulihan tersebut turut memenangi anugerah berprestij oleh World Habitat dengan kerjasama UN-HABITAT untuk projek pemulihan, pembinaan dan penempatan semula yang didorong oleh komunitnya.

Selain mengumpul dana, AirAsia juga telah menawarkan penerbangannya untuk tujuan bantuan dan menyelamat sejak tahun 2004 dengan penerbangan kemanusiaan ke Aceh selepas gempa bumi dan tsunami di Lautan Hindi. Untuk memudahkan kerja responden pertama, AirAsia telah membawa ribuan pekerja bantuan ke zon bencana untuk bantuan kemanusiaan dan membawa keluar mangsa yang terselamat untuk rawatan perubatan.