AirAsia Newsroom

View Original

AirAsia Foundation lancar kempen derma untuk sokong pembinaan semula pasca banjir

SEPANG, 22 Disember 2021 - AirAsia Foundation melancarkan kempen derma Bantuan Banjir Malaysia untuk menyokong keperluan pembinaan semula komuniti yang terjejas akibat banjir yang telah melanda beberapa buah negeri di Malaysia pada minggu lepas.

Kempen tersebut bermula pada hari ini secara dalam talian melalui aplikasi BigPay dan menerusi kutipan derma secara tunai dalam semua penerbangan AirAsia.

Semua sumbangan akan diperuntukkan untuk membaiki dan membina semula infrastruktur yang rosak akibat banjir di lapan negeri dan menyebabkan puluhan ribu orang kehilangan tempat tinggal. Untuk menyokong inisiatif ini, AirAsia Foundation menjemput pertubuhan bukan keuntungan berdaftar dengan rekod prestasi yang baik dari segi bantuan dan pemulihan untuk memohon pembiayaan melalui foundation@airasia.com. 

Pengarah Eksekutif AirAsia Foundation Yap Mun Ching berkata: “Kami semua berasa risau mengenangkan nasib mereka yang terjejas, termasuk keluarga kami di airasia. Salah satu keutamaan kami adalah untuk membantu komuniti tersebut membina semula kehidupan mereka dengan lebih baik. Justeru, dengan sokongan para tetamu dan pelanggan, kami berharap dapat membantu membina semula kehidupan bagi mangsa terjejas apabila kita beralih daripada fasa bantuan kecemasan kepada fasa pemulihan.”

Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengasas Bersama BigPay, Salim Dhanani berkata: “Melalui kerjasama ini, kami berharap untuk memudahkan para pengguna untuk menyumbang dana dengan selamat bagi membantu pemulihan rakyat Malaysia yang terjejas. BigPay ingin menjadikan kutipan derma lebih mudah dan lancar. Kempen bantuan yang telah dilancarkan sebelum ini menunjukkan bahawa tidak kira sekecil manapun usaha yang dilakukan, bersama-sama kita boleh membuat perbezaan kepada mereka yang terjejas oleh bencana alam.”

Derma melalui aplikasi BigPay kini boleh dilakukan untuk pengguna telefon Android. Penderma boleh menekan tab ‘Payments’ dan klik pada butang ‘Donations’. Pengguna BigPay perlu mengemas kini aplikasi mereka untuk menderma. Peti kutipan derma pula akan digerakkan dalam penerbangan AirAsia Malaysia mulai 25 Disember ini.

AirAsia Foundation telah menyokong pelbagai organisasi untuk memberikan bantuan kepada komuniti dalam krisis. Sejak tahun 2013, yayasan ini telah menyumbang lebih RM14 juta untuk menyokong program pemulihan dan pemuliharaan bencana selepas Typhoon Haiyan (2013), banjir di Malaysia (2014), gempa bumi di Nepal (2015) dan tsunami di Palu (2018). Pada tahun 2019, AirAsia Foundation dan BigPay bekerjasama untuk mengumpul RM178,000 bagi menyediakan bantuan makanan dan perubatan kepada komuniti yang kurang bernasib baik yang terjejas oleh pandemik COVID-19.

Untuk maklumat lanjut dan status kutipan derma, layari https://www.airasiafoundation.com/humanitarian.

***

Mengenai AirAsia Foundation

AirAsia Foundation komited untuk membantu membina komuniti ASEAN masa hadapan dengan menyokong keusahawanan sosial, peluang sama rata, dan inovasi. Sebagai cabang dermawan AirAsia Group, ia menyediakan geran perusahaan sosial untuk memperkasakan individu yang kurang bernasib baik dan menyokong projek-projek yang memelihara dan memulihara warisan budaya unik di rantau ini. AirAsia Foundation juga menerajui kempen pengumpulan dana dan kemanusiaan airasia Group serta kempen inisiatif anti-pemerdagangan #KnowtheSigns.

Sejak penubuhannya pada tahun 2012, AirAsia Foundation telah membiayai lebih RM2 juta dalam bentuk geran perusahaan sosial dan telah menyokong lebih daripada 3,200 penerima bantuan, selain memberi bantuan dan geran pemulihan pasca-bencana lebih RM14 juta. Antara projek inovatif yang dibiayai melalui sumbangan ini adalah reka bentuk dan pembinaan perumahan tahan bencana, sekolah dan infrastruktur komuniti; program persediaan sekolah; dan projek pembinaan semula mata pencarian.

Mengenai BigPay

Dilancarkan pada tahun 2017, BigPay adalah salah sebuah syarikat teknologi kewangan ASEAN yang komited untuk mendemokrasikan perkhidmatan kewangan, keterangkuman dan kesihatan di rantau ini dengan menawarkan kemudahan, ketelusan dan keselamatan perkhidmatan kewangan. Daripada pembayaran, pemindahan wang antarabangsa, kredit, insurans mikro dan ciri penganggaran kewangan, BigPay bertujuan untuk menjadi penyelesaian sehenti untuk keperluan kewangan untuk pengguna dan pengusaha di Asia Tenggara.