AirAsia Newsroom

View Original

AirAsia Foundation anjur kempen sumbangan buku kepada kanak-kanak di tempat perlindungan

SEPANG, 24 Januari 2021 - AirAsia Foundation melancarkan kempen sumbangan buku ‘Books for Good’ sempena Hari Pendidikan Antarabangsa hari ini.

Kempen selama dua minggu yang bermula pada 24 Januari 2021 ini menjemput semua orang untuk membeli buku kanak-kanak yang berharga RM25.00 setiap satu dari DestinationGOOD.com, laman perusahaan sosial AirAsia Foundation. Menampilkan judul yang bertemakan budaya dan alam, kempen ini bukan hanya akan memberi manfaat kepada kanak-kanak tersebut tetapi juga pengarang dan ilustrator tempatan.

Semua sumbangan yang diterima akan disalurkan kepada tiga buah pusat perlindungan kanak-kanak di bawah SHELTER Home for Children, yang menjaga kanak-kanak kurang bernasib baik yang berumur daripada empat hingga dua belas tahun.

Pengarah Eksekutif AirAsia Foundation Yap Mun Ching berkata: “Kami berbesar hati untuk menganjurkan kempen sumbangan buku ini untuk membantu pusat perlindungan kanak-kanak dalam situasi semasa yang penuh cabaran yang menyebabkan mereka tidak dapat bersekolah. Kanak-kanak di pusat perlindungan selalunya kekurangan sumber pendidikan, jadi kami berharap kempen ini dapat membantu menambah sumber pendidikan di perpustakaan mereka seterusnya mendorong mereka menyayangi hidupan liar dan menghargai kepelbagaian budaya di Malaysia.

“Matlamat kami adalah untuk mendapatkan sumbangan sehingga 100 buah buku supaya kami dapat menawarkan pelbagai pilihan judul yang menarik kepada mereka. Kami mengalu-alukan semua orang untuk menyokong kempen ini dan membantu mereka yang memerlukan.”

Tarikh 24 Januari telah diisytiharkan sebagai Hari Pendidikan Antarabangsa oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk meraikan peranan pendidikan dalam keamanan dan pembangunan. Ia juga mengetengahkan pendidikan berkualiti inklusif dan saksama serta peluang pendidikan untuk semua, bagi mencapai kesetaraan gender dan membasmi kemiskinan melalui pendidikan. 

Destination GOOD adalah butik perusahaan sosial AirAsia Foundation di Kuala Lumpur yang mengetengahkan lebih 400 jenis barangan yang dihasilkan secara beretika daripada lebih 50 buah perusahaan sosial di rantau Asean. Bukan sahaja untuk tujuan jualan, Destination GOOD juga bertujuan untuk menjadi sebuah tempat bagi memupuk kerjasama antara usahawan sosial Asean dan perusahaan berasaskan komuniti. Untuk melihat produk-produk lain yang ditawarkan, layari destinationgood.com.