AirAsia Newsroom

View Original

airasia farm adalah pengedar rasmi mangga Harumanis

Keterangan Gambar: Nur Nisya, Petani Harumanis bersama Murain Shunmuganathan, Pengurus Besar airasia farm (Sabah) di ladang Harumanis di Perlis.

KUALA LUMPUR, 26 April 2021 - Kini semua orang boleh memesan mangga Harumanis asli dari Perlis dalam talian dan menerima penghantarannya kerana airasia farm (sebelum ini dikenali sebagai OURFARM ASIA) telah bekerjasama dengan Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI), Jabatan Pertanian (DOA), serta Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Perlis, sebagai pengedar rasmi mangga Harumanis.

Mangga yang hanya boleh didapati di Perlis itu akan tersedia secara eksklusif untuk pesanan dalam talian melalui platform e-dagang airasia: airasia food dan airasia fresh. Pelanggan di Lembah Klang boleh memesan melalui airasia fresh dan menjadualkan penghantaran mereka pada tarikh akan datang.

Manakala airasia food akan memenuhi permintaan pasaran di Lembah Klang dan tidak lama lagi di Pulau Pinang di mana pelanggan dapat menerima pesanan mereka dalam masa satu jam selepas pembelian. Untuk pelanggan di Sabah, airasia farm bekerjasama dengan Foodpanda untuk perkhidmatan pesanan dalam talian dan penghantaran di negeri itu. Semua pesanan boleh dibuat mulai 30 April 2021 di platform e-dagang yang dinyatakan.

Sebagai pengedar rasmi dan platform yang menghubungkan petani kepada perniagaan, airasia farm menyediakan perkhidmatan sokongan menyeluruh kepada para petani, daripada tuaian sehingga penghantaran termasuklah memastikan kebolehan eksport, logistik, dan memasarkan produk kepada pelanggan di seluruh Malaysia.

Matlamat jangka panjang airasia farm adalah untuk memberikan nilai yang lebih baik dan memberi manfaat kepada lebih daripada 2,400 petani Harumanis di Perlis supaya mereka dapat menjana pendapatan yang lebih besar untuk tuaian mereka secara dalam talian, sejajar dengan objektif MAFI untuk mendorong para petani menggunakan platform e-dagang bagi memasarkan produk mereka di dalam talian.

Selain inisiatif e-dagang merentas sempadan, airasia farm turut berusaha untuk mengedarkan mangga yang popular ini kepada peruncit-peruncit utama di Kota Kinabalu sebagai sebahagian daripada strateginya untuk mengukuhkan lagi saluran pengedarannya dan meningkatkan pasaran di Sabah.

Lalitha Sivanaser, Pengurus Besar airasia farm berkata: “Kami berbesar hati kerana diberi peluang untuk mengedarkan mangga Harumanis yang terhad ini dari Perlis secara rasmi. Ini adalah satu lagi kejayaan untuk airasia farm dan kami ingin mengucapkan terima kasih kepada MAFI, DOA dan FAMA serta rakan logistik kami Teleport, Foodpanda dan Tune Hotel atas sokongan mereka.

“Sejak bulan Jun tahun lalu, kami terus memperluas usaha dan sumber untuk mengembangkan perkhidmatan e-dagang merentas sempadan terutamanya di Sabah. Kami turut menjalinkan jaringan pengedaran yang kukuh dan bekerjasama dengan pengeluar dan pengusaha produk segar tempatan di seluruh Malaysia. Dengan memanfaatkan ekosistem airasia secara keseluruhan, kami percaya kami berada di dalam posisi yang baik untuk menyediakan rantaian bekalan yang mampan dan berharap untuk mengedarkan 10 tan mangga Harumanis pada tahun ini untuk menyokong kempen ‘Harumanis Kembali Lagi’ oleh kerajaan.”

Harumanis adalah sejenis mangga bermusim dari Perlis yang hanya dapat dituai setahun sekali antara bulan April dan Jun. Ia mempunyai khasiat tinggi serta kaya dengan Vitamin A, B, Magnesium dan Kalium dengan aroma harum dan rasa manis. Tahun ini, MAFI menjangkakan hasil tuaiannya bernilai RM66.7 juta.