AirAsia Newsroom

View Original

AirAsia dinobatkan Syarikat Penerbangan Tambang Rendah Terkemuka Dunia di Pusingan Akhir World Travel Awards

Dinobatkan untuk tahun ketujuh berturut-turut
AirAsia juga meraih anugerah Kru Kabin Terkemuka Dunia bagi Syarikat Penerbangan Tambang Rendah untuk kali ketiga berturut-turut

MUSCAT, 29 November 2019 - AirAsia telah dinobatkan sebagai Syarikat Penerbangan Tambang Rendah Terkemuka Dunia untuk tahun ketujuh berturut-turut di Pusingan Akhir World Travel Awards (WTA).

AirAsia mengungguli kategori tersebut setelah menerima undian tertinggi daripada para pelancong dan pemain industri mengatasi syarikat penerbangan lain. Selain itu, syarikat penerbangan itu membawa pulang anugerah Kru Kabin Terkemuka Dunia bagi Syarikat Penerbangan Tambang Rendah untuk kali ketiga berturut-turut.

Sebagai sebuah pengiktirafan bagi sumbangan kru kabin, syarikat penerbangan itu diwakili oleh Ketua Kru Kabin Kumpulan AirAsia Suhaila Hassan, untuk menerima kedua-dua anugerah tersebut bagi pihak AirAsia. Suhaila adalah kakitangan yang telah berkhidmat lebih dari 20 tahun, dengan bermula sebagai seorang kru kabin dan kini memimpin hampir 6,000 kru kabin di seluruh Kumpulan AirAsia.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia, Tan Sri Tony Fernandes berkata "Kami teruja kerana diiktiraf sebagai juara dunia sekali lagi oleh pengamal industri dan para pelancong. Anugerah-anugerah ini merupakan bukti kepada dedikasi kami dalam kecemerlangan perjalanan udara. Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada kakitangan Allstars dan kru kabin, yang terus memberikan pengalaman yang terbaik untuk para tetamu. Pengiktirafan ini sejajar dengan komitmen baharu kami untuk menjadi lebih daripada sebuah syarikat penerbangan, dengan menawarkan lebih banyak pilihan perjalanan di airasia.com untuk memberikan nilai yang lebih baik kepada para tetamu dan memenuhi jangkaan tetamu yang semakin meningkat."

Ketua Kru Kabin Kumpulan AirAsia Suhaila Hassan berkata, "Dua dekad lalu, kami hanyalah sebuah syarikat penerbangan kecil dengan hanya 30 orang kru kabin dan dua buah pesawat yang beroperasi ke laluan domestik di Malaysia. Kini, syarikat kami telah berkembang dengan lebih daripada 6,000 kru kabin dari seluruh dunia, termasuk Australia, Brazil, Zambia dan AS. Kami kini menerbangkan lebih 90 juta orang tetamu setiap tahun. Perjalanan syarikat ini benar-benar mengagumkan, tetapi apa yang luar biasa adalah apabila rakan-rakan Allstar saya masih mengekalkan semangat yang sama untuk memberikan perkhidmatan terbaik seperti dahulu, dan kami amat teruja serta merasa rendah diri kerana para tetamu dan rakan-rakan kami mengiktiraf usaha ini.”

Pengasas World Travel Awards Graham E Cooke berkata, “AirAsia terus menetapkan penanda aras bagi syarikat penerbangan tambang rendah di Asia dan di luar rantau ini. Dedikasi mereka untuk meningkatkan perkhidmatannya tidak dapat ditandingi dan saya berbesar hati kerana mereka telah diiktiraf oleh para pemain industri dan orang awam sebagai ‘Syarikat Penerbangan Tambang Rendah Terkemuka Asia 2019’ dan ‘Kru Kabin Terkemuka Dunia bagi Syarikat Penerbangan Tambang Rendah.”

Anugerah tahunan World Travel Awards yang ke-26 diiktiraf secara global sebagai salah satu program yang paling berprestij, komprehensif dan diingini oleh industri global dan pelancongan. Ditubuhkan pada tahun 1993, anugerah tersebut telah dipilih oleh profesional perjalanan dan pelancongan dan pengguna di seluruh dunia, mengiktiraf dan meraikan kecemerlangan di seluruh sektor utama industri perjalanan, pelancongan dan hospitaliti.

Anugerah ini adalah antara penghargaan-penghargaan utama yang telah dimenangi oleh AirAsia. Pada awal minggu ini, AirAsia dan AirAsia X Malaysia telah diumumkan sebagai Syarikat Penerbangan Tambang Rendah Terbaik Asia/Pasifik di Anugerah Kecemerlangan Syarikat Penerbangan oleh AirlineRatings.com. Pada bulan Oktober lepas, AirAsia telah membawa pulang anugerah Syarikat Penerbangan Tambang Rendah Terbaik Asia dan Kru Kabin Terbaik bagi Syarikat Penerbangan Tambang Rendah Asia daripada anugerah World Travel Awards edisi Asia dan Oceania yang berlangsung di Phu Quoc, Vietnam.