AirAsia Cambodia rai penerbangan domestik pertama, perluas kehadiran AirAsia Group di Asean
PHNOM PENH, 2 May 2024 - AirAsia Cambodia (kod penerbangan KT) memulakan penerbangannya pada hari ini dan meraikan penerbangan domestik pertamanya dari Phnom Penh ke Siem Reap dengan hampir 100 peratus muatan penumpang.
Para tetamu ke Siem Reap menaiki penerbangan KT102 telah diraikan oleh Bo Lingam, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia Aviation Group dan Vissoth Nam, Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Cambodia, bersama-sama dengan pihak pengurusan AirAsia dan Allstars. Penerbangan pertama syarikat penerbangan baharu ini berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Phnom Penh pada jam 7:40 pagi dan mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Siem Reap Angkor pada jam 8:30 pagi waktu tempatan.
Syarikat penerbangan ini juga akan menghubungkan Siem Reap dengan Sihanoukville pada hari ini, seterusnya menghubungkan tiga destinasi domestik di Kemboja. Tiga destinasi awal ini membuktikan komitmen AirAsia Cambodia untuk meningkatkan kesalinghubungan dan menawarkan pilihan perjalanan lebih berpatutan dan mudah kepada rakyat Cambodia dan pengembara ke negara ini.
Vissoth Nam, Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Cambodia berkata: “Pelancaran penerbangan domestik pertama kami hari ini menandakan permulaan baharu dalam industri pelancongan negara yang kini lebih mudah diakses dan mampu milik. Kami berbesar hati untuk menawarkan peluang kepada rakyat Kemboja menerokai destinasi dalam negara bagi memupuk kemakmuran ekonomi melalui peningkatan pelancongan dan peluang perniagaan.
"Pelancaran penerbangan domestik AirAsia Cambodia ini juga seiring dengan usaha kerajaan untuk menarik lebih ramai pelancong ke wilayah Siem Reap yang terkenal dengan warisan budaya melalui kempen ‘Visit Siem Reap 2024’ yang baru dilancarkan.
“AirAsia Cambodia berbangga untuk menjadi sebahagian daripada perjalanan transformatif dalam membentuk masa depan industri penerbangan di Kemboja dan kami akan terus komited untuk menyokong inisiatif pelancongan kerajaan di seluruh negara dengan menawarkan pilihan perjalanan berpatutan untuk semua.”
Bo Lingam, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia Aviation Group berkata: "Kami berbesar hati untuk meraikan pelancaran syarikat penerbangan AirAsia yang ketujuh. Dengan memanfaatkan kedudukan kukuh kami di Asean, AirAsia Cambodia akan menawarkan rangkaian perjalanan ke lebih daripada 130 destinasi di seluruh Asia dan seterusnya. Berdasarkan rekod kejayaan dalam membuka peluang di pasaran yang kurang mendapat perhatian, kami bersedia untuk memacu era baharu dalam industri pelancongan dan ekonomi Kemboja dengan menjadikan pelancongan serantau lebih mudah diakses oleh semua.”
Sebagai sebuah Kumpulan, AirAsia menghubungkan Kemboja dengan laluan antarabangsa dari hab Kuala Lumpur dan Bangkok sebanyak 63 penerbangan mingguan. Bagi penerbangan domestik yang bermula pada hari ini, syarikat penerbangan ini terbang antara Phnom Penh, Siem Reap dan Sihanoukville dengan penerbangan harian.