AirAsia Aviation Group mengalu-alukan Tan Sri Tony Fernandes sebagai penasihat strategik menjelang era baharu transformasi
Keterangan Gambar: (Dari kiri ke kanan) Dato' Fam Lee Ee, Pengerusi AirAsia X; Tan Sri Tony Fernandes, Penasihat Kumpulan Penerbangan AirAsia; Tan Sri Jamaludin Ibrahim, Pengerusi AirAsia Aviation Group
SEPANG, 24 April 2024 – AirAsia Aviation Group telah mengumumkan pelantikan Tan Sri Tony Fernandes sebagai Penasihat kepada Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, dalam pada ia melangkah ke era baharu transformasi dan pertumbuhan syarikat penerbangan.
Sebagai pengasas bersama AirAsia, yang diiktiraf sebagai syarikat penerbangan tambang rendah terbaik dunia selama 14 tahun berturut-turut, Tan Sri Tony telah memperoleh kelulusan sebulat suara bagi pelantikannya daripada Lembaga Pengarah AirAsia Aviation Group. Ini berdasarkan rekod prestasi keusahawanan luar biasa dan kepakaran tiada tandingan dalam industri penerbangan.
Setelah membangunkan syarikat penerbangan bermula dengan hanya dua buah pesawat sehingga menjadi salah satu syarikat penerbangan tambang rendah terbesar di dunia, Tan Sri Tony adalah penasihat yang tepat kepada kumpulan syarikat penerbangan ini. Terutamanya untuk meningkatkan strategi pemulihan dan pertumbuhan dalam pelbagai cabaran global seperti kenaikan kos bahan api, persaingan sengit, dan keadaan ekonomi tidak menentu. Wawasan dan bimbingan beliau diakui penting kerana AirAsia bakal memperluaskan rangkaiannya di seluruh dunia sambil mengekalkan nilai terasnya iaitu keterjangkauan, dan memacu syarikat ke arah visinya menjadi syarikat penerbangan global terkemuka.
Pengerusi AirAsia Aviation Group, Tan Sri Jamaludin Ibrahim berkata: "Dalam pada kami melangkah ke era baharu bagi kumpulan syarikat penerbangan kami, kepimpinan berwawasan Tan Sri Tony, keupayaan keusahawanan luar biasa, pengetahuan, dan hubungan industri globalnya tidak hanya akan memastikan kesinambungan, bahkan membantu dalam fasa transformasi penting seterusnya. Ini amat penting kerana kami ingin menjadikan AirAsia sebagai penyedia penerbangan serantau utama yang menawarkan nilai terbaik bagi laluan jarak dekat, sederhana, dan jauh merentasi Asia dan seterusnya.
"Dalam peranan baharunya, Tan Sri Tony tidak hanya akan memberikan pandangan strategik kepada kumpulan, termasuk perancangan pembangunan dan penggantian, malah akan menjadi saluran utama antara Capital A dan ekosistem perniagaan penerbangan, memastikan peluang bersama dimanfaatkan secara maksimum. Selain itu, Tan Sri Tony akan meneruskan dialog berterusan dengan pihak berkepentingan utama, termasuk dalam sektor pelancongan dan kerajaan, institusi kewangan, serta pembekal seperti Airbus dan GE."
Bo Lingam, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia Aviation Group berkata: “Tidak dinafikan, tiada siapa yang lebih sesuai untuk menyandang peranan sebagai penasihat strategik kami dalam usaha kami untuk terus berkembang ke tahap baharu dengan rancangan penting pada masa hadapan. Visi Tony yang luar biasa akan memastikan kami dapat melaksanakan strategi menjadi kumpulan syarikat penerbangan yang dipacu oleh nilai terkemuka dan menguntungkan di rantau ini dan lain-lain.
“Dalam jangka pendek, kami kekal fokus pada pemulihan syarikat penerbangan dan strategi pertumbuhan kami - untuk membina rangkaian luar biasa yang tidak boleh diatasi. Ini akan dicapai dengan meletakkan asas yang betul untuk menyediakan sambungan lebih besar pada tambang terbaik, di samping pengalaman tetamu yang dipertingkatkan yang akhirnya akan memacu nilai pemegang saham yang lebih kukuh.”
Tan Sri Tony Fernandes, Penasihat Kumpulan Penerbangan AirAsia berkata: “Saya melihat masa depan AirAsia yang lebih cerah. Dengan strategi pembangunan syarikat penerbangan yang kukuh, kami dapat melonjak ke tahap lebih tinggi. Menggabungkan kekuatan sebagai sebuah kumpulan memberikan kami fleksibiliti lebih besar dengan kemampuan tambahan untuk meneroka penerbangan ke destinasi yang belum pernah diterokai sebelum ini pada masa depan.
"Nilai, inklusiviti, inovasi, dan menyediakan perkhidmatan untuk semua adalah asas utama jenama AirAsia. Sebagai sebuah kumpulan penerbangan dengan lebih daripada 300 pesawat baharu yang mempunyai spesifikasi terkini, jarak lebih jauh, dan emisi rendah yang dipesan, kami berpotensi untuk merentasi sebahagian besar benua, termasuk Eropah, Afrika, dan Amerika Syarikat, memastikan operasi penerbangan kami kekal menguntungkan dengan nilai tinggi.
"Pada masa yang sama, sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Capital A, pelantikan ini membolehkan saya menyelia pasukan kepimpinan kanan yang kukuh dalam bidang penerbangan dan memastikan peluang untuk memanfaatkan sepenuhnya ekosistem digital kami. Kami berhasrat untuk menjadi peneraju dalam sektor penerbangan, kejuruteraan, kargo, logistik, dan platform pengembaraan pilihan semua - bukan sahaja di Asean di mana kedudukan kami paling kukuh, tetapi juga di seluruh dunia pada masa hadapan."