AirAsia Academy lancar kempen pemerkasaan wanita menerusi kemahiran teknologi
KUALA LUMPUR, 31 Mac 2022 - AirAsia Academy, cabang pendidikan RedBeat Capital di bawah Capital A Berhad, telah melancarkan kempen #RatuTech dengan hasrat memperkasakan golongan wanita melalui kemahiran teknologi dan sebagai inspirasi untuk mereka merealisasikan cita-cita dalam bidang kerjaya sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM).
Matlamat utama kempen ini ialah menyediakan latihan semula dalam bidang tersebut kepada sekurang-kurangnya 200 wanita dengan latar belakang keluarga kurang mampu terutamanya dari kumpulan B40, menyediakan sokongan untuk mereka membina kemahiran bersesuaian serta mendapat permintaan tinggi dalam pasaran demi memperbaiki peluang ekonomi mereka.
Presiden (Usahaniaga) Capital A, Aireen Omar berkata: “Kempen ini amat bermakna bagi kami kerana ia membolehkan golongan wanita untuk mempertingkatkan kemahiran mereka dan membina kerjaya dalam industri teknologi. Bagi tujuan ini, AirAsia Academy telah menjalinkan kerjasama dengan Perbadanan Ekonomi Digital Sarawak (SDEC), Pusat Kecemerlangan Teknikal Sarawak (CENTEXS), Pusat Ekonomi Kreatif dan Inovasi Sabah (SCENIC), Kementerian Sains Teknologi Inovasi Sabah (KSTI) , Google Cloud, Carsome dan Yayasan Peneraju dan kami amat berterima kasih atas sokongan mereka semua dalam melakar landasan kerjaya dalam bidang teknologi bagi para wanita. Kami yakin dengan kemahiran yang mereka perolehi dari AirAsia Academy ini, mereka akan dapat menyumbang kepada sektor ekonomi digital dengan lebih bermakna. Untuk jangka panjang, ini akan membantu merapatkan jurang antara jantina dalam bidang teknologi dengan melengkapkan golongan wanita dengan kebolehan dan kemahiran yang bersesuaian bagi mengisi pelbagai jawatan penting.
Kumpulan peserta pertama yang ditaja SDEC telah memulakan kursus dalam Analitik Data dan Pemasaran Digital sebagai bidang pengkhususan mereka. Bidang-bidang pengkhususan yang lain termasuklah Kejuruteraan Perisian, Sekuriti Siber, Infrastruktur Cloud and UI/UX Produk. Para peserta yang berasal dari Sarawak ini mewakili pelbagai latar belakang dan menetapkan matlamat yang berbeza pula. Mereka termasuklah para siswazah menganggur yang mencari peluang pekerjaan dalam bidang teknologi, manakala ada pula wanita yang mencari peluang mempertingkatkan kemahiran untuk perubahan kerjaya.
Organisasi utama yang lain seperti SCENIC, KSTI, Yayasan Peneraju serta gergasi teknologi seperti Google dan Carsome telah turut menyatakan kesediaan untuk menyokong kempen pendidikan teknologi #RatuTech ini demi membantu golongan wanita membina kerjaya di bidang teknologi.
Viviantie Sarjuni dari SCENIC berkata, “SCENIC menyokong sepenuhnya inisiatif #RatuTech yang didokong oleh kredibiliti serta rekod pencapaian AirAsia Academy melalui rangkainnnya dengan pemain industri. Suasana perniagaan hari ini kian berubah dan kita perlu bersandarkan pada sains, teknologi dan inovasi untuk mempercepatkan pertumbuhan ekonomi negeri Sabah. Ke arah itu, kita harus bermula dengan mempertingkatkan kemahiran dan mendapatkan kemahiran baru untuk terus bersaing secara kompetitif dalam sektor STEM secara global”.
Kursus-kursus yang ditawarkan adalah dengan tempoh 3 bulan untuk sepenuh manakala kursus separuh masa pula boleh dilengkapkan dalam masa 6 bulan. Para graduan akan menerima pensijilan dengan akreditasi yang akan mempertingkan lagi peluang mereka mendapat pekerjaan dalam industri teknologi, termasuklah di syarikat-syarikat penaja.
Kempen #RatuTech oleh AirAsia Academy akan berlangsung sepanjang tahun. Penaja korporat dan mereka yang berminat menjadi peserta boleh menghubungi AirAsia Academy melalui emel ask@airasiaacademy.com atau dapatkan maklumat lanjut mengenai AirAsia Academy di sini.
Mengenai AirAsia Academy
AirAsia Academy ialah sebuah akademi berpusat untuk teknologi, kepimpinan dan inovasi dengan matlamat melonjakkan ekonomi digital di rantau Asean. Bersama Google Cloud, AirAsia Academy mengubah corak pendidikan konvensional dengan merapatkan jurang antara Pendidikan Tinggi dan Industri Tinggi di rantau Asean. Kami mengisi ruang bagi membolehkan golongan pekerja untuk mempertingkatkan kemahiran atau menerokai kemahiran baru yang bersesuaian dengan industri semasa, menjadikan para pelajar kami mudah mendapat pekerjaan dan pada masa yang sama memperlengkapkan diri mereka untuk mengharungi arus kemodenan dunia.