AirAsia Newsroom

View Original

AirAsia X jalin kerjasama dengan Tourism Kazakhstan untuk meningkatkan sektor pelancongan dan ekonomi antara Malaysia dan Kazakhstan

Keterangan Gambar (Dari kiri): Y.Bhg. Mohd Adli Bin Abdullah, Duta Malaysia ke Kazakhstan, Benyamin Ismail, Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia X, Kairat Sadvakassov, Pengerusi Tourism Kazakhstan & Datuk Kamarudin Meranun, Pengerusi Eksekutif Capital A pada majlis menandatangani MOU.

ALMATY, 15 Mac 2024 - Sempena meraikan pencapaian penerbangan sulungnya ke Almaty, Kazakhstan, AirAsia X (AAX) hari ini menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) bersama-sama Tourism Kazakhstan untuk kerjasama strategik.
Memorandum Persefahaman ini merangkumi kerjasama dari segi komersial antara syarikat penerbangan ini dan lembaga pelancongan untuk mempromosikan sektor pelancongan antara Kazakhstan dan Malaysia. Kerjasama ini juga dijangka akan menawarkan peluang perniagaan baharu, mengembangkan kempen jualan dan pemasaran serta meningkatkan ekonomi kedua-dua negara melalui industri pelancongan.

Sebagai rakan kongsi strategik, AAX bukan sahaja menghubungkan pengembara dari Malaysia dan negara-negara Asia Tenggara lain ke Almaty malah menghubungkan pengembara dari Almaty ke lebih 130 destinasi lain melalui Kuala Lumpur. Syarikat penerbangan ini juga berhasrat untuk memperluaskan sektor pelancongan Malaysia dan Kazakhstan melalui persidangan, pameran pelancongan dan aktiviti menarik lain.

Memorandum Persefahaman tersebut ditandatangani oleh Benyamin Ismail, Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia X dan Kairat Sadvakassov, Pengerusi Tourism Kazakhstan. Ia disaksikan oleh Tuan Yang Terutama Mohd Adli Bin Abdullah, Duta Besar Malaysia untuk Kazakhstan dan Datuk Kamarudin Meranun, Pengerusi Eksekutif Capital A. Turut hadir pada majlis tersebut adalah wakil-wakil dari Lapangan Terbang Almaty, Pihak Penerbangan Awam Kazakhstan dan tetamu kehormat lain.

Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia X, Benyamin Ismail berkata: "Kerjasama strategik ini merupakan lonjakan penting bagi Malaysia dan Kazakhstan. Selain meningkatkan pengalaman perjalanan untuk para pengembara, ia juga bakal memperkukuh ekonomi melalui pelancongan. Kerjasama ini membuka lebih banyak peluang untuk para pelancong seterusnya mendorong kepada pertumbuhan kedua-dua buah negara. Tambang kami yang kompetitif menawarkan perjalanan udara berpatutan ke pelbagai destinasi dan menyumbang kepada sektor pelancongan yang membuka lebih banyak peluang pekerjaan dan pertumbuhan ekonomi.

"Faktor muatan penuh pada kedua-dua penerbangan sulung kami menunjukkan permintaan kukuh untuk laluan ini dan mencerminkan keupayaan kami untuk memasuki pasaran baharu. Ini membuka peluang pertumbuhan masa hadapan dan pengembangan di rantau ini, selain meningkatkan peluang dalam pelbagai sektor antara Malaysia dan Kazakhstan serta di seluruh Asia Tenggara. Kami berharap kerjasama ini akan menyumbang kepada perkembangan positif untuk Malaysia dan Kazakhstan pada masa hadapan."

Kairat Sadvakassov, Pengerusi Tourism Kazakhstan berkata: "Kami berbesar hati untuk menyambut kehadiran AirAsia X ke negara kami. Kemasukan AirAsia ke negara ini amat penting kepada Kazakhstan dan Asia Tengah. Ini kerana Kazakhstan adalah pintu masuk ke Asia Tengah yang menawarkan pelbagai tarikan menarik.

"Kami berharap kerjasama dengan AAX akan menyumbang kepada sektor perdagangan, komersial, serta pertukaran budaya dan pendidikan. Kami juga percaya bahawa kerjasama antara negara akan mencipta lebih banyak peluang pekerjaan baharu dan memainkan peranan penting dalam pertumbuhan ekonomi kedua-dua buah negara.

"Dalam usaha untuk menggalakkan pelancongan antara kedua-dua destinasi, AAX telah melancarkan penerbangan antara Kuala Lumpur dan Almaty dengan kekerapan empat kali seminggu pada hari Selasa, Khamis, Sabtu, dan Ahad.

Dalam usaha untuk mempromosikan industri pelancongan kedua-dua buah negara, AAX menawarkan tambang promosi  terhad daripada USD15 bagi tambang asas* sehala untuk 24 jam dari Almaty ke Kuala Lumpur. Selain itu, syarikat penerbangan ini terus menawarkan tambang bermula daripada RM599 atau USD169 termasuk semua* sehala. Tambang promosi ini boleh didapati untuk tempahan bermula dari 15 hingga 21 Mac 2024 untuk tempoh perjalanan mulai sekarang hingga 17 Jun 2025 di airasia.com dan AirAsia MOVE, sebelum ini dikenali sebagai airasia Superapp.

Penerbangan sulung AAX dari Kuala Lumpur ke Almaty mendarat pada 14 Mac 2024 dengan muatan hampir 100 peratus, menandakan satu lonjakan besar bagi syarikat penerbangan ini ketika mula memasuki ke pasaran Asia Tengah. Syarikat penerbangan ini juga membawa muatan penuh iaitu seratus peratus dari Almaty ke Kuala Lumpur pada hari yang sama menandakan kejayaan penerbangan pertamanya.

*Promosi ini hanya untuk TAMBANG ASAS sahaja dalam masa terhad, tertakluk kepada ketersediaan tempat duduk, mengikut tempahan paling awal sehingga 16 Mac 2024. Ia tidak termasuk cukai, fi dan bayaran lain. Tertakluk kepada terma dan syarat lain.

**Tambang promosi termasuk semua adalah untuk perjalanan sehala termasuk cukai, caj bahan api dan yuran yang berkaitan. Tertakluk pada terma dan syarat lain.