Lebih 1,000 termasuk asnaf, miskin bandar terima manfaat hasil korban dua Juara Lembu Sado



KUALA LUMPUR, 7 Jun 2025 – Lebih 1,000 tetamu termasuk golongan asnaf dan miskin bandar menerima manfaat daripada hasil korban Lembu Sado juara pada Majlis Korban Perdana & Kenduri Rewang anjuran Ikhlas Com Travel & Umrah Sdn Bhd (ikhlas.com) dan ST Rosyam Mart di Masjid Meranti, Puchong.
Salah satunya, lembu baka Limosin seberat lebih 1.2 tan yang diberi nama Awang Merah merupakan Juara Limosin 2025 sementara seekor lagi, Kiko, lembu baka Charolais seberat hampir 1.3 tan adalah pencabar utama Himpunan Lembu Sado Pantai Timur 2024 sebagai lembu muda terbesar yang menyertai pertandingan tersebut pada tahun lalu.
Ketua Pegawai Eksekutif ikhlas.com, Ikhlas Kamarudin berkata: “Buat pertama kalinya selepas menggalas amanah sebagai pelaksana ibadah korban secara online sejak dunia dilanda pandemik Covid-19 pada 2021, kami amat bersyukur kerana tahun ini kami dapat menaja dua ekor lembu sado juara bagi memenuhi syariat Islam untuk memilih ternakan terbaik dan berkualiti tinggi terutama untuk dikongsikan bersama.”
“Kami juga ingin berkongsi pencapaian ikhlas.com Qurban yang berjaya merekodkan jualan tertinggi dengan 10 ekor lembu sado pada tahun ini. Dengan jumlah yang memberangsangkan ini, kami meningkatkan sasaran tempahan lembu sado kepada 100 ekor setahun.”
Majlis tersebut diadakan selaras sambutan Ulang Tahun ke-5 ikhlas.com dengan mengutamakan kebajikan dan sokongan terhadap komuniti setempat terutama yang memerlukan dalam usaha mendalami erti pengorbanan dengan penuh kesyukuran sambil membina dan mengeratkan ukhuwah pada Hari Raya Aidiladha tahun ini.
Selain ST Rosyam Mart dan GPM, turut menaja adalah Calpis, Lipton dan Foodpanda. Turut serta, Chef Rozaelly Asmat, Chef Abdul Malik Sumalah dan Wirdat Alias dari Santan dan selebriti terkenal seperti Datuk Rosyam Nor, Dato' Fizz Fairuz, Johan As'ari, Riezman Khuzaimi dan Datuk Normaziah Sheikh Mohamed.
Turut dilancarkan pada majlis itu adalah Promo Hijrah, tawaran istimewa sempena sambutan Awal Muharram (Maal Hijrah) yang akan disambut oleh umat Islam pada 27 Jun 2025.
Orang ramai boleh mula membuat tempahan bagi pakej ikhlas.com Umrah atau pakej pelancongan berkumpulan atau persendirian bersama ikhlas.com Travel pada deposit serendah RM50 sepanjang tempoh kempen berlangsung mulai 7 hingga 30 Jun 2025.
ikhlas.com Qurban merupakan perkhidmatan patuh syariah berasaskan teknologi terkini yang mesra pengguna bagi memudahkan umat Islam melaksanakan ibadah korban di dalam dan luar negara, meliputi 35 buah negara dengan kaedah pembayaran yang mudah, cepat dan selamat menerusi laman web atau aplikasi ikhlas.com.
Dilancarkan semasa pandemik pada Oktober 2020, ikhlas.com merupakan platform kembara dan gaya hidup Islam yang direka khusus untuk membantu umat Islam melaksanakan tanggungjawab mereka dengan mudah. Selain ikhlas.com Umrah dan Travel (kembara mesra Muslim) dengan kerjasama anak syarikat penerbangan, AirAsia, ikhlas.com juga memudahkan umat Islam menunaikan Zakat, Sadaqah, Aqiqah, Fidyah, Qurban dan banyak lagi.
Untuk maklumat lanjut, layari ikhlas.com atau muat turun aplikasi mudah alih melalui Apple App Store dan Google Play Store.