AirAsia Newsroom

View Original

ADE terima kunjungan Kementerian Kewangan ke kompleks kejuruteraan, komited untuk tingkatkan kedudukan Malaysia dalam sektor MRO serantau

SEPANG, 17 Julai 2023 – Asia Digital Engineering (ADE), cabang kejuruteraan dan baik pulih Capital A, telah menyatakan komitmennya untuk terus meningkatkan keupayaannya dalam menyokong pertumbuhan ekonomi dan meletakkan Malaysia sebagai destinasi pilihan bagi penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO) di Asia.

ADE telah menerima lawatan delegasi Kementerian Kewangan yang diketuai Timbalan Menteri Kewangan II YB Steven Sim Chee Keong pada Selasa ke kompleks kejuruteraannya iaitu RedChain dan kunjungan tersebut telah menjadi suatu penanda aras bagi ADE dalam usahanya untuk meningkatkan ekonomi serta transformasi digital negara.

Timbalan Menteri serta delegasinya telah disambut oleh lebih 150 kakitangan ADE. YB Steven Sim telah diberi taklimat tentang keupayaan inovatif ADE dalam sektor kejuruteraan digital dan membincangkan potensi kerjasama dengan kerajaan untuk memupuk pertumbuhan ekonomi dan kemajuan teknologi.

YB Steven Sim juga menyertai lawatan ke kompleks kejuruteraan RedChain, serta diberikan penerangan yang inklusif mengenai perkhidmatan MRO menyeluruh yang ditawarkan oleh ADE hasil pengalaman lebih daripada 20 tahun yang diwarisi daripada bahagian kejuruteraan AirAsia, serta pameran platform digital niaga-ke-niaga yang dibangunkan oleh ADE secara dalaman yang inovatif pasaran penerbangan dan perisian pemantauan kesihatan pesawat termaju iaitu AEROTRADE & ELEVADE FLEET.

Mahesh Kumar, Ketua Pegawai Eksekutif ADE berkata: “Kami berbesar hati kerana YB Steven Sim sudi untuk melawat kompleks kejuruteraan kami, RedChain. Lawatan ini menandakan satu lagi pengiktirafan pihak kerajaan terhadap usaha ADE untuk memacu transformasi digital di Malaysia. Kami komited untuk bekerjasama rapat dengan Kementerian Kewangan untuk meningkatkan keupayaan kami serta menyumbang kepada pembangunan ekonomi negara."

YB Steven Sim melahirkan rasa kagumnya terhadap dedikasi ADE untuk menggabungkan teknologi termaju ke dalam perkhidmatan penerbangan tradisional, menekankan kepentingan inisiatif sedemikian dalam meningkatkan standard industri dan merangsang pertumbuhan ekonomi. Timbalan Menteri mengiktiraf ADE sebagai bukti potensi besar industri penerbangan dan memuji penjajaran mereka dengan agenda kerajaan untuk memupuk kemajuan teknologi.

Selaras dengan komitmennya terhadap kemajuan dan inovasi, ADE bersedia untuk mencapai beberapa penanda aras. Pada bulan April yang lalu, ADE berjaya memperoleh pelaburan sebanyak AS$100 juta daripada OCP Asia Ltd. yang akan digunakan untuk pembinaan dan pengoperasian kemudahan hangar penyelenggaraan pesawat tercanggih baharu di KLIA Aeropolis, yang dijadualkan siap pada pertengahan 2024. Hangar itu akan menampilkan 14 baris penyelenggaraan, seterusnya mengukuhkan kapasiti ADE untuk memberikan perkhidmatan MRO peringkat tertinggi.

ADE juga sedang mengambil langkah untuk menubuhkan sekolah kejuruteraan dan sedang berbincang dengan beberapa sekolah kejuruteraan berprestij yang berpotensi untuk bekerjasama. Inisiatif ini bertujuan untuk mempertingkatkan set kemahiran bakal jurutera dan mengukuhkan lagi kedudukan Malaysia sebagai pusat kecemerlangan kejuruteraan. ADE juga telah memeterai Surat Hasrat (LOI) dengan Institut Teknologi Penerbangan Malaysia Universiti Kuala Lumpur (UniKL MIAT) untuk menubuhkan Pusat Kecemerlangan Metaverse untuk Penerbangan dan Aeroangkasa (MC4A). Kerjasama ini akan menyediakan generasi profesional akan datang untuk cabaran industri masa depan melalui pengalaman pembelajaran transformatif.

Kepakaran ADE bukan sahaja diiktiraf di Malaysia, malah ia telah mendapat kelulusan daripada 145 negara, termasuk Malaysia, Thailand, Filipina, Indonesia, Kemboja, Singapura dan Nepal. Memanfaatkan penempatan strategik hab AirAsia di Kuala Lumpur, Bangkok, Jakarta, Manila, dan tidak lama lagi di Phnom Penh, ADE berfungsi sebagai rakan kongsi MRO yang boleh dipercayai untuk syarikat penerbangan yang beroperasi di rantau Asean dan seterusnya. Liputan meluas ini menyumbang kepada pertumbuhan dan pembangunan sektor penerbangan serantau.

Sebagai anak syarikat Capital A Berhad, ADE telah menunjukkan gabungan kepakaran tradisional dengan teknologi inovatif, membuka jalan bagi sektor penerbangan untuk berkembang maju. Komitmen penuh mereka terhadap kecemerlangan dan inovasi digital sejajar dengan agenda kerajaan yang bertujuan untuk menggalakkan kemajuan teknologi, meningkatkan standard industri dan memupuk pertumbuhan ekonomi.

*** TAMAT ***