AirAsia Newsroom

View Original

IKHLAS catat pencapaian baharu dengan memperkenalkan aplikasi mudah alih

(Dua dari kanan) Datuk Kamarudin Meranun, Pengerusi Eksekutif airasia Group bersama-sama (Dua dari kiri) Yang Berbahagia Datuk Dr. Luqman bin Abdullah, Mufti Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, (Kanan) Muhammad Afiq bin Zainal Abidin, Pegawai Khas Mufti Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan (Kiri) Ikhlas Kamarudin, ketua IKHLAS memperkenalkan aplikasi mudah alih IKHLAS.  

KUALA LUMPUR, 7 Mei 2021 - IKHLAS, cabang perniagaan mesra-muslim airasia Digital terus berkembang dengan memperkenalkan aplikasi mudah alih baharu, seterusnya mengukuhkan lagi jenama IKHLAS sebagai sebuah platform yang lancar dan mudah diakses oleh komuniti beragama Islam di Malaysia dan di rantau ini. 

Aplikasi baharu ini menawarkan ciri-ciri seperti maklumat dan notifikasi waktu solat, kompas Kiblat, platform e-dagang Shop with IKHLAS, bayaran untuk perkhidmatan Sedekah, Fidyah, Zakat, Akikah dan Korban. Para pengguna juga boleh menerima maklumat terkini dari masjid dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) yang telah mendaftar sebagai sebahagian daripada ciri komuniti di aplikasi mudah alih IKHLAS. Pelbagai pilihan aktiviti lain seperti ‘Sahabat IKHLAS’ juga akan tersedia tidak lama lagi.      

Selain tersedia sebagai aplikasi mudah alih tersendiri, IKHLAS juga boleh diakses menerusi airasia super app.  

Ikhlas Kamarudin, Ketua IKHLAS berkata, “Pengenalan aplikasi mudah alih pada bulan Ramadan yang mulia ini menandakan satu lagi pencapaian bagi jenama IKHLAS dan kami akan terus berinovasi dan menyediakan perkhidmatan yang lebih baik untuk para pengguna. Berikutan pengumuman Perintah Kawalan Pergerakan baru-baru ini, aplikasi mudah alih ini bukan sahaja menyediakan platform mesra-muslim yang mudah, lancar dan boleh diakses oleh komuniti beragama Islam untuk memenuhi kewajipan mereka, malah mereka juga dapat membeli barangan keperluan harian daripada syarikat-syarikat dengan sijil halal. Kami berharap untuk menjadi sebuah platform sehenti untuk komuniti Islam di seluruh negara dan akan memperkenalkan ciri-ciri, produk dan perkhidmatan baharu pada masa akan datang. 

“Kami juga berbesar hati untuk berkongsi bahawa kempen ‘Road to Ramadan’ yang telah bermula sejak bulan Mac lalu telah berjaya mengumpul derma sebanyak RM580,000. Derma ini membolehkan kami mengagihkan barangan keperluan dan makanan secara aktif untuk membantu lebih 2,200 buah keluarga  selain pengagihan 10,000 set makanan kepada petugas-petugas barisan hadapan di seluruh negara. Kami juga ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan terima kasih kepada semua yang telah menderma dan Selamat Hari Raya Aidilfitri,” tambah Ikhlas. 

Yang Berbahagia Datuk Dr. Luqman bin Abdullah, Mufti Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur berkata, “Saya sangat menyokong usaha yang dilakukan oleh IKHLAS.com dalam memperkenalkan aplikasi IKHLAS yang baharu ini bagi membantu muslimin dan muslimat untuk melaksanakan amal ibadah secara shariah dan memudahkan mereka untuk beramal, mereka juga dapat menyumbang dan mendapat banyak maklumat daripada aplikasi yang dikendalikan oleh IKHLAS.com ini. Saya mengharapkan IKHLAS.com terus maju dalam melaksanakan usaha yang baik ini dan mudah-mudahan ianya diterima oleh Allah SWT.”

Aplikasi mudah alih IKHLAS kini boleh dimuat turun melalui Apple App Store atau Google Play Store. Pada masa ini, IKHLAS menawarkan pelbagai perkhidmatan seperti Zakat, Sadaqah - Derma dengan IKHLAS, Fidyah, Akikah, Korban, platform e-dagang - Shop with IKHLAS dan akan memperkenalkan perkhidmatan Kesyukuran, Ziarah dan Umrah pada masa akan datang.    

Untuk maklumat lanjut mengenai inisiatif akan datang, layari ikhlas.com, atau laman sosial di Instagram @ikhlasdotcom dan Facebook ikhlasdotcom