AirAsia Newsroom

View Original

AirAsia Naik Taraf Sistem Tempahan

SEPANG, 22 Mac 2021 - AirAsia akan menaik taraf sistem tempahan Navitaire New Skies pada minggu ini sebagai sebahagian daripada usaha berterusannya untuk menawarkan pengalaman tempahan dalam talian yang lebih baik.

Tempahan penerbangan, hotel dan SNAP tidak akan tersedia dalam tempoh ini dari jam 11:00 malam (GMT +8) pada hari Selasa, 23 Mac 2021 sehingga 3.00 pagi pada hari Rabu, 24 Mac 2021 di laman web airasia.com, airasia super app, pejabat jualan AirAsia, serta melalui kaunter dan perkhidmatan AVA.

Para tetamu juga tidak dapat mendaftar masuk melalui laman web, super app, kiosk lapangan terbang dan kaunter, atau menguruskan tempahan mereka sehingga proses naik taraf ini selesai.

Semua tetamu yang bakal melakukan perjalanan dalam tempoh ini mestilah mendaftar masuk melalui dalam talian atau super app sebelum tempoh naik taraf ini dan mencetak pas masuk mereka, atau menggunakan Pas Masuk Elektronik jika ada. Daftar masuk melalui laman web dan aplikasi tersedia dari 14 hari sebelum waktu perlepasan untuk semua penerbangan.

Para tetamu harus memastikan mereka layak melakukan perjalanan sebelum menempah sebarang penerbangan. Sila rujuk di sini untuk informasi sekatan perjalanan dan keperluan khas. Semua tetamu AirAsia diminta memakai pelitup muka sebelum, semasa dan selepas penerbangan, termasuklah semasa mendaftar masuk dan pengambilan bagasi. Para tetamu juga digalakkan untuk tiba di lapangan terbang sekurang-kurangnya tiga jam sebelum penerbangan mereka untuk mengelakkan sebarang kesulitan.

Semua perkhidmatan lain di airasia.com akan tersedia seperti biasa. 

Ikuti AirAsia di Twitter (@airasia) dan Facebook (facebook.com/airasiatravels) untuk berita terkini, atau hubungi bahagian sokongan pelanggan kami di Twitter (@AirAsiaSupport) atau di support.airasia.com untuk sebarang pertanyaan.