BigPay bakal melancarkan pembayaran DuitNow QR
KUALA LUMPUR, 3 Februari 2021 - BigPay, salah satu platform teknologi kewangan (FinTech) terbesar di Malaysia bakal melancarkan pembayaran DuitNow QR pada suku kedua tahun ini.
Pelancaran BigPay ke dalam ekosistem DuitNow yang dikendalikan oleh Payments Network Malaysia (PayNet), membolehkan para pengguna BigPay menggunakan DuitNow untuk membuat pemindahan wang secara domestik dengan segera dan pembayaran kepada peniaga yang menyediakan fungsi DuitNow QR, kod QR standard nasional di Malaysia untuk pembayaran bagi perniagaan tempatan.
Salim Dhanani, Pengasas Bersama BigPay berkata, “Bigpay komited untuk menawarkan perkhidmatan perbankan secara telus, selamat dan mudah kepada lebih 1.3juta penggunanya di Malaysia dan Singapura, dengan rancangan pengembangan di negara-negara Asean. Kami teruja untuk melaksanakan pembayaran DuitNow QR sebagai sebahagian daripada usaha kami untuk memperkenalkan produk dan inovasi baharu pada masa akan datang dan memudahkan bayaran di pelbagai perniagaan di seluruh Malaysia. BigPay menyasarkan untuk menjadi pesaing sektor perbankan di rantau ini dan akan memperkenalkan lebih banyak ciri-ciri baharu pada tahun 2021 termasuk tambah nilai secara tunai di kedai serbaneka tempatan, insurans, pinjaman digital dan pengurusan kewangan.”
Aireen Omar, Presiden airasia Digital berkata, “Kami berbesar hati untuk melancarkan produk DuitNow QR bersama PayNet menerusi BigPay tidak lama lagi. Sistem pembayaran nasional ini bukan sahaja membolehkan pengguna BigPay membuat pembayaran tanpa tunai, tetapi juga menggalakkan para peniaga untuk menerima pembayaran tanpa tunai seperti laman e-dagang airasia food, airasia shop dan airasia fresh yang merupakan cabang digital ekonomi Malaysia. BigPay juga akan menawarkan lebih banyak perkhidmatan kewangan kepada para pengguna dan peniaga melalui airasia Digital seperti pelancaran DuitNow QR.”
Baru-baru ini, BigPay telah melancarkan ciri Pembayaran Bil sebagai sebahagian daripada misinya untuk menjadi aplikasi pilihan perkhidmatan kewangan dan menawarkan kebolehan untuk membayar bil dengan beberapa klik sahaja. Selain itu, BigPay juga telah menerima Lesen Kredit Komuniti yang bakal membolehkannya menawarkan pinjaman kepada PKS, usahawan dan individu pada harga yang berpatutan tidak lama lagi.
Untuk maklumat dan perkhidmatan terbaru BigPay, ikuti BigPay di Twitter (twitter.com/Bigpayme), Facebook (facebook.com/Bigpaymalaysia) dan Instagram (instagram.com/Bigpayme).