AirAsia Newsroom

View Original

IKHLAS sasar bantu lebih 2,000 pelajar melalui kempen #Save2020SPM

Timbalan Menteri Belia dan Sukan Malaysia, YB Senator Tuan Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal (tengah) bersama Ikhlas Kamarudin, Ketua IKHLAS (Dua dari kanan) dan Jason Khong, Pengasas AskBee (Dua dari kiri) untuk Kempen #Save2020SPM

KUALA LUMPUR, 23 Februari 2021 - IKHLAS bekerjasama dengan AskBee.my, aplikasi bimbingan pelajaran peribadi pertama melalui video untuk membantu lebih 2,000 pelajar yang menduduki peperiksaan SPM melalui kempen #Save2020SPM.  

Kempen ini juga disokong oleh Timbalan Menteri Belia dan Sukan Malaysia, YB Senator Tuan Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal yang menaja 2,000 kad SIM Tune Talk percuma termasuk data sebanyak 10GB dan akan diagihkan oleh IKHLAS. Selain itu, para pelajar juga akan menerima 20 sesi bimbingan pembelajaran peribadi dalam talian percuma secara langsung daripada sukarelawan yang terdiri daripada barisan guru dan pelajar sarjana muda di platform AskBee.My. 

Pelajar SPM 2020 di seluruh negara yang berminat untuk menyertai kempen #Save2020SPM boleh mendaftar di sini. Selepas mendaftar, mereka akan menerima kad sim Tune Talk percuma dalam masa tiga hari bekerja serta baucar Askbee melalui e-mel dengan arahan untuk menebus 20 sesi bimbingan pembelajaran peribadi dalam talian secara percuma. Kempen adalah terhad berdasarkan pendaftar terawal. 

Ikhlas Kamarudin, Ketua IKHLAS berkata: “Pandemik ini bukan sahaja menjejaskan perniagaan dan mata pencarian, tetapi juga sistem pendidikan negara. Ramai pelajar terutamanya yang menduduki peperiksaan SPM masih tidak dapat mengakses pembelajaran dalam talian, jadi kami ingin membantu mereka. Bersama AskBee, kami berharap kempen #Save2020SPM ini akan meringankan beban mereka untuk mengakses pembelajaran dalam talian dan latihan berkenaan supaya mereka boleh fokus dalam mengulang kaji pelajaran untuk peperiksaan tersebut. Kami juga ingin mengucapkan selamat maju jaya kepada semua pelajar SPM 2020!”

Sejak kempen ini dilancarkan pada bulan Januari, IKHLAS telah mengumpul sebanyak RM40,000 yang akan digunakan untuk menyediakan bimbingan pembelajaran peribadi dalam talian, yuran platform pembelajaran dalam talian dan bantuan pendidikan kepada badan-badan bukan kerajaan. Kempen ini masih berjalan sehingga 25 Mac 2021 dan sumbangan boleh dihulurkan di ikhlas.com

Untuk maklumat lanjut mengenai tabung bantuan dan inisiatif akan datang, layari ikhlas.com, atau laman sosial di Instagram ikhlasdotcom dan Facebook ikhlasdotcom.