AirAsia Newsroom

View Original

AirAsia Academy bekerjasama dengan Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia untuk menjadikan kerja sukarelawan lebih cekap

KUALA LUMPUR, 5 Disember 2021 - AirAsia Academy (dahulunya dikenali sebagai Redbeat Academy) telah bekerjasama dengan Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia (PBSMM) untuk melancarkan laman web permohonan sukarelawan. Dikenali sebagai MySukarela, platform yang ditubuhkan oleh PBSM ini direka untuk mengintegrasikan dan menyelaraskan semua usaha sukarelawan di Malaysia menjadikan proses kerja sukarelawan lebih mudah dan cekap.

Presiden AirAsia Digital Aireen Omar dan Tuan Haji Hakim Haji Hamzah, Setiausaha Agung Kehormat PBSMM menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara kedua-dua pihak yang berlangsung di Kuala Lumpur hari ini.

Presiden (AirAsia Digital), AirAsia Group, Aireen Omar berkata, “Kami mengalu-alukan kerjasama dengan Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia kerana ia sejajar dengan misi AirAsia academy, yang bermula sebagai platform untuk meningkatkan kemahiran dan melatih semula Allstars kami (kakitangan AirAsia) dan kini ia dibuka untuk sesiapa sahaja yang ingin membina set kemahiran untuk berjaya dalam ekonomi digital. Kami mempunyai juruterbang yang telah mengasah semula kemahirannya sebagai penganalisis data, jurutera pesawat sebagai jurutera perisian, pengendali pusat kawalan sebagai eksekutif pemasaran digital dan ramai lagi. Sememangnya kami telah berkembang pesat sejak akademi ini dilancarkan.

“Kami akan menggunakan kepakaran dalam pendidikan dan latihan untuk membantu ratusan ribu sukarelawan di platform ini untuk melengkapkan mereka dengan set kemahiran berkaitan dalam kerja sukarelawan mereka, seperti kemahiran sosial, kecerdasan emosi, kemahiran menyelesaikan masalah dan lain-lain. Mereka juga boleh mengambil peluang untuk mempelajari semua kandungan lain di platform kami termasuk topik berkaitan teknologi, perniagaan, kepimpinan atau gaya hidup yang boleh membantu dalam kehidupan profesional dan peribadi mereka.”

Tuan Haji Hakim bin Haji Hamzah, Setiausaha Agng Kehormat Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia (PBSMM) berkata, “Kami berbesar hati untuk bekerjasama dengan platform pendidikan dalam talian oleh AirAsia, salah satu jenama yang paling kukuh dan disegani di Asia, untuk menjadikan proses pendaftaran sukarelawan lebih lancar dan mudah. Ini adalah susulan daripada kejayaan MyVac yang menyaksikan seramai 320 ribu sukarelawan mendaftar di platform tersebut. Kami percaya AirAsia Academy adalah pilihan tepat sebagai penyedia perkhidmatan latihan untuk sukarelawan kami.”

Sempena meraikan kerjasama ini, airasia academy menawarkan tempat terhad untuk pembelajaran atas permintaan pada harga RM10 dengan kod promosi ACADEMYMAX100, untuk digunakan sebelum 15 Disember. Para pelajar yang mendaftar berpeluang untuk memenangi pakej pelancongan 3 hari 2 malam ke Phuket. Pendaftaran boleh dibuat di https://redbeatacademy.com dan pilih langganan pembelajaran atas permintaan menggunakan kod promosi tersebut.