AirAsia Newsroom

View Original

AirAsia sambut baik keputusan Malaysia dan Singapura untuk membenarkan perjalanan merentas sempadan bagi tujuan penting dan rasmi

SEPANG, 3 Ogos 2020 - AirAsia menyambut baik keputusan kerajaan Malaysia dan Singapura untuk membuka laluan perjalanan merentas sempadan untuk tujuan penting seperti perniagaan dan urusan rasmi antara kedua-dua buah negara ini melalui skim Laluan Hijau Timbal Balik (Reciprocal Green Lane (RGL).

Skim RGL tersebut mengenakan syarat kepada mereka yang ingin melakukan perjalanan merentas sempadan dengan mematuhi langkah pencegahan dan kesihatan awam Covid-19 yang dipersetujui bersama oleh kedua-dua buah negara, termasuklah menjalani Ujian Reaksi Rantai Polimerase (PCR).

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia, Tan Sri Tony Fernandes berkata: “Kedua-dua buah negara telah menunjukkan prestasi cemerlang dalam mengawal wabak Covid-19 terutamanya di kalangan penduduk setempat. Bukan sahaja usaha pihak kerajaan Malaysia dan Singapura patut dipuji, malah rakyat kedua-dua buah negara ini juga harus dicontohi kerana terus berusaha dan berdisiplin untuk memutuskan rantaian wabak Covid-19 ini.”

“Skim RGL mungkin hanya merupakan langkah pertama tetapi ia adalah penting bagi kedua-dua buah negara untuk menghidupkan semula ekonomi. Kami mengalu-alukan pembentukan ‘gelembung perjalanan’ dan ‘laluan hijau’ yang lain ke negara dengan kadar jangkitan rendah atau kes aktif, dan mempunyai sistem pencegahan pandemik yang terbukti. AirAsia akan terus komited untuk menyambung semula hubungan udara dan menghidupkan semula aktiviti ekonomi di negara ini.”

“Sektor penerbangan telah menyumbang kira-kira 4% kepada KDNK global dan menyokong lebih daripada 65 juta pekerjaan. Industri pelancongan pula merangkumi 10% daripada KDNK dunia dan telah membantu mewujudkan 1 daripada setiap 10 pekerjaan di seluruh dunia. Oleh kerana pandemik yang melanda dunia pada ketika ini telah menjejaskan kedua-dua sektor tersebut, amat penting untuk negara dan kerajaan berganding bahu dengan pemain industri untuk memastikan keadaan kembali pulih.”

Berikutan pengumuman RGL, AirAsia bersiap sedia untuk memulakan penerbangan di antara kedua-dua buah negara, termasuk laluan Kuala Lumpur-Singapura yang merupakan laluan paling sibuk di dunia. Ini akan diikuti dengan destinasi antarabangsa lain, tertakluk kepada kelulusan oleh pihak berkuasa.  

Untuk permulaan, AirAsia akan melancarkan penerbangan harian antara Kuala Lumpur dan Singapura dan satu penerbangan setiap minggu antara Singapura dan Pulau Pinang, Kota Kinabalu, Kuching dan Ipoh. Semua penerbangan ini dijadualkan pada minggu 17 Ogos 2020, tertakluk kepada pengumuman selanjutnya oleh kerajaan.

Penerbangan tersebut kini tersedia untuk tempahan di airasia.com dan aplikasi mudah alih AirAsia.

Langkah-langkah keselamatan juga telah dipertingkatkan untuk sepanjang perjalanan, termasuk sebelum semasa dan selepas penerbangan. Para tetamu juga disarankan untuk menyemak dan mematuhi langkah-langkah yang telah dilaksanakan oleh pihak berkuasa lapangan terbang. 

Untuk memastikan para tetamu dapat merancang perjalanan dengan lancar, AirAsia akan membenarkan para tetamu untuk memuat naik keputusan ujian Covid-19 semasa pendaftaran masuk melalui aplikasi mudah alih AirAsia dan laman web dalam masa terdekat.

Untuk kemudahan tambahan, AirAsia juga telah menyediakan aplikasi pengesanan kontak MySejahtera untuk dimuat turun melalui laman web dan aplikasi mudah alih AirAsia, dan kini bekerjasama dengan pihak berkuasa di Singapura untuk tujuan yang sama melalui aplikasi TraceTogether.   

AirAsia akan terus memantau keadaan semasa dan mempunyai hak untuk mengumumkan sebarang polisi baharu berdasarkan perkembangan terkini. 

Untuk berita, aktiviti dan promosi AirAsia terkini, ikuti AirAsia di Twitter (twitter.com/AirAsia), Facebook (facebook.com/AirAsia) dan Instagram (instagram.com/AirAsia).