AirAsia tawar pilihan lebih fleksibel untuk para tetamu yang melakukan perjalanan hingga 31 Disember 2020 dengan pengecualian bayaran penukaran penerbangan
SEPANG, 3 Jun 2020 - Selain melanjutkan tempoh sah akaun kredit kepada dua tahun, AirAsia kini menawarkan pilihan lebih fleksibel untuk para tetamu yang bakal melakukan perjalanan hingga 31 Disember 2020 dengan mengecualikan bayaran penukaran penerbangan.
Tawaran ini sah untuk tempahan baharu yang dibuat antara 3 Jun 2020 dan 31 Oktober 2020. Para tetamu boleh membuat penukaran tarikh penerbangan tanpa had melalui pautan ‘Tempahan Saya’ di airasia.com atau aplikasi mudah alih AirAsia, dan boleh menempah semula penerbangan mereka untuk perjalanan hingga 31 Disember 2020, bergantung pada ketersediaan tempat duduk dan perbezaan tambang.
Bo Lingam, Presiden (Penerbangan) Kumpulan AirAsia berkata, “Berikutan keadaan yang melibatkan kesihatan awam dan sekatan perjalanan semasa, kami memahami bahawa anda perlu merancang semula perjalanan, terutama sepanjang tahun ini. Justeru, kami menawarkan lebih fleksibiliti untuk tempahan baharu supaya para tetamu boleh menempah penerbangan mereka dengan yakin. Selain itu, kami juga melanjutkan tempoh sah akaun kredit kepada 730 hari, memberikan tawaran yang lebih fleksibel dan mudah kepada semua tetamu kami.”
Ikuti langkah-langkah ini untuk membuat penukaran penerbangan melalui pautan ‘Tempahan Saya’:
Klik pautan ‘Tempahan Saya’
Log masuk ke akaun Ahli BIG anda
Pilih penerbangan yang ingin ditukar
Pilih tarikh penerbangan baharu
Pilih penerbangan baharu
Semak perkhidmatan tambahan (jika ada)
Bayar perbezaan tambang
Penukaran penerbangan anda telah berjaya!
Penukaran tarikh/waktu penerbangan hanya tersedia untuk penerbangan sehingga 48 jam sebelum waktu perlepasan asal (sehingga empat jam untuk kod penerbangan AirAsia India i5). Perkhidmatan tambahan seperti bagasi daftar masuk, makanan dan pilihan tempat duduk akan dimasukkan dalam tempahan penerbangan seterusnya. Para tetamu mungkin perlu memilih semula makanan atau tempat duduk, bergantung pada ketersediaan penerbangan baharu.
Tawaran ini tersedia untuk semua penerbangan domestik di Malaysia (kod penerbangan AK), Indonesia (kod penerbangan QZ), Thailand (kod penerbangan FD), Filipina (kod penerbangan Z2) dan India (kod penerbangan i5) yang mana tempahan dibuat secara langsung dalam talian melalui airasia.com.
Untuk maklumat lanjut mengenai tawaran lebih fleksibel ini, layari laman web ini. Tertakluk kepada terma-terma dan syarat-syarat lain.