COVID-19: Terbang dengan selamat bersama AirAsia - Langkah-langkah keselamatan sebelum, semasa dan selepas penerbangan
Untuk memastikan anda tiba dengan selamat di destinasi anda
AirAsia menyambut baik keputusan kerajaan untuk membenarkan perjalanan merentas daerah dan negeri di dalam negara bermula 7 Disember 2020.
Dalam pada itu, kesihatan dan keselamatan anda adalah keutamaan kami. Jadi, kami sentiasa komited untuk memberi jaminan ini kepada anda dalam penerbangan kami dan meningkatkan langkah-langkah keselamatan dan kebersihan untuk memastikan anda tiba dengan selamat di destinasi anda.
AirAsia bekerjasama rapat dengan pengawal selia, kerajaan tempatan, pihak berkuasa penerbangan dan kesihatan, serta mematuhi nasihat pakar mereka.
Sebelum memulakan perjalanan, kami memohon kerjasama anda untuk mengikuti langkah-langkah penting berikut:
Anda perlu memastikan kelayakan untuk melakukan perjalanan sebelum menempah sebarang penerbangan. Sila rujuk di sini untuk menyemak senarai sekatan perjalanan dan keperluan-keperluan lain yang perlu dipenuhi sebelum membuat perjalanan.
Semua tetamu AirAsia mestilah memakai pelitup muka sebelum, semasa dan selepas penerbangan, termasuk ketika mendaftar masuk dan pengambilan bagasi.
Para tetamu kini dibenarkan membawa satu (1) beg kabin bersaiz tidak melebihi 56cm (Ketinggian) x 36cm (Lebar) x 23cm (Panjang) atau ukuran maksimum 115cm dan muat untuk disimpan di ruangan simpanan atas dalam kabin pesawat, DAN satu (1) beg komputer riba atau satu (1) beg kecil tidak melebihi 40cm (Ketinggian) x 30cm (Lebar) x 10cm (Panjang) atau ukuran maksimum 80cm dan pastikan beg ini boleh dimuatkan di bawah tempat duduk hadapan anda. Untuk maklumat lanjut mengenai elaun bagasi, sila klik pautan ini.
Sila tiba di lapangan terbang sekurang-kurangnya 3 jam lebih awal sebelum waktu perlepasan untuk memastikan anda mempunyai masa secukupnya untuk menyelesaikan semua proses yang diperlukan.
Bagi memastikan tahap keselamatan dan kesihatan tertinggi terpelihara pada setiap masa, berikut adalah langkah-langkah yang dilaksanakan oleh AirAsia sebelum, semasa dan selepas penerbangan:
Pembersihan pesawat:
Pesawat kami akan menjalani pembasmian kuman berkala termasuk pembersihan sepenuhnya menggunakan bahan pembersih mengikut Manual Penyelenggaraan Pesawat Airbus (AMM) oleh pasukan pembersihan profesional.
Untuk setiap hentian semalaman, pesawat menjalani prosedur pembersihan yang teliti selama 2 jam, selaras dengan arahan daripada pihak berkuasa kesihatan. Untuk maklumat lanjut mengenai proses pembasmian kuman pesawat, klik di sini.
Sebelum penerbangan:
Pemeriksaan suhu akan dilakukan di beberapa lokasi, termasuk di balai berlepas.
Kru kabin akan menjalani pemeriksaan suhu badan sebelum dan selepas setiap syif.
Para tetamu dinasihatkan untuk mengamalkan kebersihan diri yang tinggi. Pelitup muka mestilah dipakai pada setiap masa dan tangan harus sentiasa dicuci atau dibersihkan.
Para tetamu diminta untuk mengikut tanda tempat duduk dan penanda lantai di kawasan beratur, termasuk kaunter daftar masuk dan kiosk.
Daftar masuk melalui web dan aplikasi mudah alih untuk mengelakkan sentuhan pada permukaan. Anda juga boleh menggunakan perkhidmatan kiosk, pembayaran tanpa sentuhan, dan Sistem Penyelarasan Penumpang (PRS) turut dilaksanakan untuk perjalanan lebih lancar dan selamat.
Cecair pembersih tangan akan disediakan di setiap lokasi pemeriksaan untuk para tetamu dan kakitangan.
Proses masuk ke dalam pesawat pula akan dilakukan dari barisan belakang ke hadapan. Ini bermakna, kami akan memulakan kemasukan dari Zon 2, Zon 3 dan Zon 1 untuk memastikan semua tetamu mematuhi penjarakan fizikal.
Semasa penerbangan:
Semua pesawat A320 kami dilengkapi penapis High Efficiency Particulate Arrestors atau HEPA, sama seperti penapis udara bertaraf hospital. Ia menapis 99.99% zarah debu dan bahan pencemar di udara termasuklah virus dan bakteria. Setiap tiga minit, udara di dalam kabin disegarkan, jadi anda menghirup udara yang berkualiti tinggi sepanjang penerbangan.
Semua kru kabin akan menggunakan peralatan pelindungan diri termasuk pelitup muka dan sarung tangan.
Semua hidangan disediakan dan dibungkus dengan bersih mengikut syarat-syarat keselamatan makanan yang ketat.
Semua kakitangan produksi akan dipantau secara berkala mengikut garis panduan Covid-19 dan kru kabin yang mengendalikan makanan akan memakai sarung tangan.
Kru kabin telah dilatih untuk mengendalikan apa jua situasi perubatan ketika dalam penerbangan termasuk mengenal pasti dan mengasingkan sesiapa yang menunjukkan gejala kurang sihat.
Pemeriksaan suhu badan akan dilakukan sebelum tiba di destinasi di mana proses tersebut diwajibkan.
Selepas penerbangan:
Pemeriksaan suhu badan akan dilakukan semasa ketibaan.
Penumpang transit harus berada di lapangan terbang.
Wajib menjalani kuarantin mengikut peraturan di negara destinasi anda.
BAGAIMANA ANDA BOLEH MEMBANTU KAMI?
Kami bersedia 100% untuk memastikan pengalaman perjalanan anda bersama AirAsia selamat dan melaksanakan langkah-langkah yang dinyatakan untuk menjaga keselamatan dan kesihatan anda. Anda pula dinasihatkan untuk mematuhi langkah-langkah pencegahan perlindungan yang disyorkan secara universal, seperti mengamalkan tahap kebersihan diri yang tinggi pada setiap masa.
Anda juga harus memakai pelitup muka sebelum, semasa dan selepas penerbangan, termasuk ketika mendaftar masuk dan pengambilan bagasi.
Terima kasih atas sokongan berterusan anda dan kami mengalu-alukan kedatangan anda dalam penerbangan kami.
Kapten Ling Liong Tien
Ketua Penguatkuasaan Keselamatan
AirAsia
Nota: Semua maklumat ini sah setakat 6 Disember 2020 dan akan dikemas kini dari masa ke semasa.
Baca juga: Terbang dengan selamat dalam suasana norma baharu - Soalan-soalan Lazim bersama Kapten Ling Liong Tien