AirAsia Newsroom

View Original

E-baucar Cuti-Cuti Malaysia bernilai RM50 kini boleh ditebus di airasia.com

AirAsia umum laluan baharu untuk terus memacu pelancongan domestik

KUALA LUMPUR, 30 November 2020 - AirAsia terus memacu pelancongan domestik di Malaysia dengan mengumumkan lapan laluan baharu dan tawaran e-baucar bernilai RM50 dengan kerjasama Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC) di bawah pakej rangsangannya.

Sebanyak 24,000 e-baucar kini tersedia dan setiap seorang rakyat Malaysia yang layak boleh menebus satu e-baucar bernilai RM50 di airasia.com bermula jam 1400 pada hari Isnin, 30 November 2020, sehingga habis ditebus.

E-baucar ini membolehkan para tetamu menerima diskaun sebanyak RM50 untuk sebarang penerbangan domestik AirAsia Malaysia (kod penerbangan AK) yang ditempah antara 30 November 2020 dan 13 Disember 2020 untuk tempoh perjalanan bermula 7 Disember 2020 hingga 31 Mac 2021. Untuk maklumat lanjut layari airasia.com, tertakluk pada terma dan syarat.

AirAsia Malaysia juga memperluaskan jaringan domestiknya dengan lapan laluan baharu untuk perjalanan penting dan akan datang. 

Laluan baharu tersebut akan menghubungkan Langkawi - Ipoh, Langkawi - Kota Bharu, Johor Bahru - Bintulu, Johor Bahru - Kota Bharu, Pulau Pinang - Sibu, Pulau Pinang - Kota Bharu dan Kuching - Langkawi. Setiap laluan akan beroperasi dengan tiga penerbangan mingguan yang akan bermula pada Disember 2020, sementara penerbangan antara Kota Kinabalu dan Kuala Terengganu dijadualkan bermula pada Februari 2021.

Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Malaysia Riad Asmat berkata: “Industri pelancongan adalah antara penyumbang utama ekonomi Malaysia dan menyediakan banyak peluang pekerjaan. Kami mengucapkan terima kasih kepada MOTAC atas insentif mereka kepada pelancong tempatan dengan pakej rangsangan tersebut dan kami berharap untuk terus bekerjasama dengan semua pemain industri untuk mengatasi pandemik ini. Kami juga memuji usaha kerajaan dalam mewujudkan gelembung perjalanan domestik zon hijau yang membolehkan rakyat Malaysia melakukan perjalanan tanpa kerisauan.

“Kami yakin keadaan semakin pulih, dan sebagai salah satu pemain utama dalam industri pelancongan, AirAsia bersedia untuk memenuhi permintaan perjalanan. Penambahan rangkaian domestik baharu antara bandar membolehkan rakyat Malaysia melakukan perjalanan dengan mudah apabila sekatan perjalanan dibuka semula. Kami juga berharap langkah ini dapat mengembangkan lebih banyak peluang perniagaan tempatan melalui perkhidmatan logistik dan penghantaran kargo.”     

Untuk berita, aktiviti dan promosi terkini AirAsia, ikuti AirAsia di Twitter (twitter.com/AirAsia), Facebook (facebook.com/AirAsia) dan Instagram (instagram.com/AirAsia).