AirAsia Newsroom

View Original

MAHB patut mengutamakan isu lebih penting daripada cadangan integrasi KLIA-klia2

SEPANG, 1 OGOS 2019 - AirAsia menyeru pihak Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) untuk mengutamakan isu-isu lebih penting dalam operasi dan pengalaman para penumpang di klia2, daripada cadangan untuk mengintegrasikan hab pengendali tambang rendah klia2 dengan KLIA.  

Rancangan itu, yang telah diluluskan oleh Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM) terus menjadi topik perbualan walaupun kedua-dua organisasi telah gagal mereka model pelaksanaan bagi penyambungan syarikat-syarikat penerbangan.  

Perlu dimaklumkan bahawa MAHB masih belum berbincang dan berunding dengan AirAsia atau AirAsia X, dua syarikat penerbangan terbesar yang menyumbang kepada 97 peratus keseluruhan aliran penumpang di klia2.  

Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Malaysia Riad Asmat berkata, “Rancangan utama bagi mengintegrasikan KLIA dan klia2 dari segi prasarana dan perbelanjaan modal (capex) intensif perlu ditunda, dan sebaliknya isu yang lebih kritikal perlu diutamakan oleh MAHB. Fokus MAHB sepatutnya adalah untuk mencari jalan bagaimana untuk menggunakan peningkatan cukai lapangan terbang yang dikutip daripada para penumpang, untuk menaik taraf kemudahan di klia2 sama seperti KLIA yang mewah, membaiki apron dan landasan laluan kapal terbang, menyediakan lebih banyak ruang untuk para penumpang dan mereka semula pintu perlepasan. MAHB juga masih agak perlahan dalam menggunakan teknologi untuk menambah baik pengalaman perjalanan para penumpang secara keseluruhan.        

“Selain itu, tambahan cukai lapangan terbang boleh digunakan untuk menyelesaikan masalah kesesakan di lapangan terbang lain di Malaysia seperti di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang, di mana ruang daftar masuk adalah terhad dan tidak dapat mengendalikan para penumpang yang semakin meningkat.”

Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia X Malaysia Benyamin Ismail berkata, “Visi kami adalah untuk meneraju hab tambang rendah di Asia, dan pastinya untuk rakyat Malaysia dan sektor pelancongan negara, yang mana pelancong-pelancong jarak jauh dari Australia, China, India, Korea Selatan dan Jepun boleh berhenti atau melakukan penerbangan transit dengan mudah dan pantas melalui rangkaian penerbangan jarak dekat terbesar di Asean. Menerusi pengalaman AirAsia dan dengan cara ini, kami rasa para pelancong bajet tidak perlu membazir untuk melaksanakan konsep yang tidak masuk akal.

“Kami percaya cadangan integrasi antara syarikat penerbangan perkhidmatan penuh di KLIA dan syarikat penerbangan tambang rendah di klia2 tidak mendatangkan sebarang manfaat. Selama 18 tahun kami beroperasi, kami belum menerima permintaan daripada mana-mana syarikat penerbangan perkhidmatan penuh, termasuklah syarikat penerbangan kebangsaan yang beroperasi dari KLIA. Tidak wujud potensi untuk menyambungkan syarikat-syarikat penerbangan, dan MAHB gagal memahami isu ini. Ini juga menunjukkan bahawa MAHB tidak memahami keperluan sebenar syarikat penerbangan dan para penumpang.”    

Kelulusan yang diberikan oleh Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM) bagi konsep terminal bersepadu dan cadangan perkhidmatan sambungan menunjukkan bahawa MAHB dan peningkatan caj yang dikenakan adalah bukan untuk para penumpang sebaliknya lebih mengenai rangka kerja Aset Kawalan (RAB) oleh Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM), di mana ia bertujuan untuk melindungi dan mengekalkan pendapatan MAHB. 


*** TAMAT ***