AirAsia Newsroom

View Original

AirAsia lancar platform e-dagang dalam penerbangan dengan Plaza Bali sebagai rakan kongsi pertama

SEPANG, 4 Julai 2018 - AirAsia kini melancarkan platform e-dagang dalam penerbangan OURSHOP dengan Plaza Bali Duty & Tax Free, Jakarta sebagai rakan kongsi lapangan terbang rasmi pertamanya.

Menggabungkan tiga konsep terbaik e-dagang, OURSHOP dibina berdasarkan pandangan pelanggan, keupayaan logistik global yang tiada tandingan melalui rangkaian meluas AirAsia dan produk premium tulen.

Platform membeli-belah dan perkhidmatan terbaru www.ourshop.com ini dilancarkan pada hari ini di semua rangkaian AirAsia melebihi 130 destinasi dalam 26 pasaran.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia dan Ketua Pegawai Eksekutif Bersama Kumpulan AirAsia X Tan Sri Tony Fernandes berkata, “OURSHOP kini tersedia dengan kerjasama rakan kongsi lapangan terbang pertama kami, Plaza Bali Duty & Tax Free. Kami berbesar hati kerana dapat bekerjasama dengan mereka kerana syarikat tersebut mengenali peluang yang akan datang melalui platform ini. OURSHOP adalah rakan kongsi kepada ekosistem perjalanan udara secara keseluruhan yang merangkumi lapangan terbang, peruncit, serta syarikat penerbangan dan kami berharap dapat bekerjasama dengan lebih banyak syarikat lain. Kini para penumpang tidak lagi perlu membeli-belah barangan bebas cukai secara terburu-buru ketika dalam perjalanan ke pintu masuk mereka, kerana pengalaman tersebut kini tersedia untuk 365 hari.”

“AirAsia merupakan syarikat penerbangan pertama di rantau ini yang menyediakan tempahan secara dalam talian. Kini kami kembali kepada perniagaan e-dagang dengan menggabungkan beberapa jenis model terbaik. OURSHOP adalah platform e-dagang tanpa risiko perbelanjaan modal (capex) dan stok.”

OURSHOP akan menghubungkan 80 juta tetamu AirAsia (jangkaan 2018) kepada pelbagai produk daripada lapangan terbang, peruncit antarabangsa dan tempatan dengan harga yang kompetitif.

Para pengguna boleh menantikan pengalaman membeli-belah yang mudah dengan urus niaga tanpa tunai, dan pelbagai pilihan penghantaran sama ada di lapangan terbang, dalam penerbangan, kedai, dan penghantaran ke rumah, semuanya akan dilancarkan dalam fasa yang teratur.

Mereka juga boleh mengumpul dan menebus mata ganjaran AirAsia Big setiap kali mereka membeli-belah di OURSHOP yang boleh digunakan untuk berurus niaga di semua platform AirAsia. Lebih jauh mereka terbang dan banyak barangan yang dibeli, lebih banyak mata ganjaran yang boleh dikumpul, seterusnya memberikan mereka lebih nilai.

Para pengguna juga akan mempunyai pilihan untuk membeli-belah dengan BigPay yang membolehkan mereka membeli-belah tanpa kerugian forex dan yuran kad kredit yang mahal.

Para peruncit pula dapat mensasarkan pengguna yang sering melancong. AirAsia mempunyai pelbagai platform untuk berhubung dengan mereka, termasuklah tempahan dalam talian, media sosial, pintu daftar masuk, pintu masuk, Wi-Fi dalam penerbangan dan pintu ketibaan yang akan memberikan pendedahan dan kelebihan daya saing yang besar kepada peruncit.

“Plaza Bali Duty & Tax Free mengenali peluang yang akan datang melalui platform OURSHOP di dalam landskap e-dagang dan kami mahu menjadi sebahagian daripada inovasi ini. Kami berbesar hati untuk menjadi rakan kongsi lapangan terbang pertama dan percaya platform ini akan merevolusikan pengalaman membeli-belah di lapangan terbang,” kata Juli Fadriani, Ketua Pembangunan Perniagaan, Plaza Bali Duty & Tax Free.

Para peruncit yang berdaftar dengan OURSHOP juga boleh mendapatkan butir-butir penerbangan tetamu AirAsia seperti waktu perlepasan dan ketibaan serta destinasi yang dituju, seterusnya membolehkan mereka mengenali pasaran produk dengan lebih tepat.

OURSHOP bakal menjadi platform e-dagang utama yang menawarkan pilihan produk dan perkhidmatan terbaik kepada pengguna dan menaikkan jualan dalam talian untuk peruncit serta menarik pelanggan ke kedai mereka, memberikan mereka kelebihan untuk berhubung dengan para pengguna.

Dalam jangka masa panjang, OURSHOP akan menjadi produk tersendiri yang tersedia untuk syarikat penerbangan lain dan menyediakan pengalaman membeli-belah baharu merentasi geografi dan sektor pelancongan.

Lawati OURSHOP hari ini di www.ourshop.com untuk membeli barangan bebas cukai ketika anda terbang dalam mana-mana penerbangan AirAsia dan penerbangan lain. Buat masa ini, pengambilan di lapangan terbang dan penghantaran dalam penerbangan tersedia di lapangan terbang dan penerbangan terpilih. Lebih banyak pilihan produk dan penghantaran akan dilancarkan pada masa akan datang.