AirAsia Newsroom

View Original

AirAsia Lancar Sistem Pengecaman Wajah di Lapangan Terbang

SENAI, 6 Februari 2018 – AirAsia hari ini melancarkan Fast Airport Clearance Experience System (FACES), sistem pengecaman wajah dan pintu perlepasan sendiri di Lapangan Terbang Antarabangsa Senai, Johor Bahru, menjadikannya syarikat penerbangan pertama di Asia yang menawarkan pengalaman perjalanan yang lancar bermula daripada saat mendaftar masuk hingga perlepasan dengan teknologi pengecaman wajah berasaskan biometrik.

Dimiliki dan dikendalikan sepenuhnya oleh AirAsia, FACES menggunakan teknologi pengecaman wajah untuk mengenal pasti tetamu yang telah berdaftar di pintu perlepasan sendiri, membolehkan mereka menaiki penerbangan mereka tanpa perlu mengemukakan sebarang dokumen perjalanan.

Sistem tersebut telah dilancarkan oleh YB Datuk Nur Jazlan Bin Mohamed, Timbalan Menteri Dalam Negeri I; YB Datuk Tee Siew Kiong, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Perdagangan Dan Kepenggunaan Negeri Johor; Aireen Omar, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan (Digital, Transformasi, Perkhidmatan Korporat) AirAsia; dan Md Derick Basir, Ketua Pegawai Eksekutif Senai Airport Terminal Services Sdn Bhd.

Tan Sri Tony Fernandes, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Bersama AirAsia X berkata, “Lapangan terbang kadang-kala menyulitkan proses sebelum penerbangan. Jadi FACES menandakan usaha terbaru kami untuk menjadikan pengalaman sebelum penerbangan lebih lancar menggunakan teknologi biometrik yang canggih untuk mengesahkan identiti para tetamu. Dengan FACES, wajah anda adalah pasport anda, jadi menaiki penerbangan lebih mudah dan lancar.

“Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada Lapangan Terbang Antarabangsa Senai kerana sekali lagi menyokong usaha kami untuk meningkatkan pengalaman perjalanan para tetamu kami melalui inovasi digital. Sebelum ini, ia telah menjadi lapangan terbang pertama di Malaysia yang melaksanakan sistem daftar masuk bagasi sendiri. Kami berharap kejayaan FACES di sini akan menjadi satu inspirasi dan kami berharap untuk bekerjasama dengan lapangan terbang lain di Malaysia untuk merevolusikan pengalaman perjalanan dengan teknologi ini dan menjadikannya lebih menyeronokkan.”

Pengarah Urusan Kumpulan MMC Corporation Berhad, Dato' Sri Che Khalib Mohamad Noh berkata, “Menjadi lapangan terbang pertama di Malaysia yang mempunyai teknologi canggih ini merupakan satu penghormatan bagi Lapangan Terbang Senai. Inisiatif ini dijangka akan meningkatkan pengalaman perjalanan para penumpang dan kecekapan operasi lapangan terbang ini. Terutamanya dalam proses pemeriksaan keselamatan untuk menampung peningkatan jumlah penumpang yang berlepas melalui lapangan terbang ini. Kami juga meramalkan trafik penumpang akan meningkat sebanyak 16% kepada 3.6 juta pada tahun ini.”

Para tetamu yang ingin merasai pengalaman menggunakan FACES boleh mendaftar di kiosk pendaftaran yang terletak di kawasan kiosk daftar masuk sendiri di Lapangan Terbang Antarabangsa Senai. Tetamu hanya perlu meletakkan MyKad atau pasport bercip mereka di kiosk tersebut untuk mendaftar dokumen dan memandang kamera untuk mendapatkan token biometrik mereka. Tersedia untuk tetamu berumur 18 tahun ke atas, proses pendaftaran hanya perlu dibuat sekali sahaja, dan tetamu boleh menggunakan pintu perlepasan sendiri AirAsia untuk semua penerbangan selagi dokumen mereka masih sah. Sekiranya dokumen tersebut telah tamat tempoh, tetamu perlu mengemas kini rekod pendaftaran menggunakan dokumen sah yang baharu. Para tetamu yang telah mendaftar juga akan mendapat manfaat seperti melalui proses pemeriksaan keselamatan dan menaiki penerbangan dengan lebih lancar.

Untuk promosi dan aktiviti terkini AirAsia, sila ikuti AirAsia di Twitter (twitter.com/AirAsia) dan Facebook (facebook.com/AirAsia).