AirAsia Newsroom

View Original

AirAsia lancar laluan baharu ke Macau dari Johor Bahru untuk terus mengembangkan hab tersebut

Laluan Johor Bahru-Macau dengan penerbangan terus setiap hari bermula dari RM129* sehala

SEPANG, 20 September 2017 - AirAsia, syarikat penerbangan tambang rendah terbaik dunia melancarkan laluan baharu ke Macau dari Johor Bahru untuk terus mengembangkan hab selatan tersebut bermula 28 November 2017. Laluan baharu Johor Bahru-Macau yang akan beroperasi setiap hari merupakan laluan ke-16 dari Johor Bahru dan laluan antarabangsa ketujuh dari hab itu.

Sempena pengumuman laluan baharu itu, AirAsia menawarkan tambang promosi termasuk semua dari RM129* sehala di airasia.com bermulasekarang hingga 1 Oktober 2017 untuk tempoh perjalanan dari 28 November 2017 hingga 21 November 2018. Promosi tersebut juga boleh didapati melalui aplikasi AirAsia untuk peranti iPhone dan Android, serta laman mudah alih mobile.airasia.com.

Spencer Lee, Ketua Komersial AirAsia berkata, “Kami berbesar hati untuk memperkenalkan laluan Johor Bahru-Macau sebagai salah satu daripada pelan jangka panjang untuk mengembangkan hab Johor Bahru sebagai hab serantau dan menjadikan ia pintu masuk untuk pelancong perniagaan dan pelabur dari China ke selatan Malaysia. Selain Macau, kami juga telah memperkenalkan beberapa laluan baharu dari Johor Bahru pada tahun ini seperti Johor Bahru-Kuala Terengganu, Johor Bahru-Langkawi, dan baru-baru ini Johor Bahru-Kolkata sebagai bukti komitmen kami bagi mengukuhkan hab tersebut. Ini hanyalah titik permulaan dan kami mempunyai pelbagai rancangan untuk terus memajukan hab ini.”

“Sejak tahun 2010, kami telah menerbangkan lebih 11 juta tetamu dari dan ke Johor Bahru melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Senai, dan ini merupakan hasil daripada kerjasama yang erat kerana mereka terus menyokong usaha kami dalam pelbagai cara untuk meningkatkan kesalinghubungan dan pengalaman pengguna untuk para tetamu kami. Kami percaya lapangan terbang ini berpotensi untuk berkembang lebih maju dan kami akan terus bekerjasama dengan mereka untuk mengukuhkan hab ini serta menyediakan sambungan yang lebih baik kepada para tetamu kami,” tambah beliau.

Dinamakan sebagai Pusat Bersejarah Macau oleh UNESCO, kota yang menggabungkan budaya Portugis dan ciri-ciri tradisional Cina ini menawarkan 25 warisan sejarah dunia dalam satu bandar. Nikmatilah keindahan bangunan neoklasik Eropah dan butik-butik terkenal di sepanjang Dataran Senado. Kemudian lawatilah Runtuhan St. Paul, mercu tanda Macau paling terkenal yang dibina pada abad ke-16 sebagai kolej dan katedral. Untuk melihat panorama menakjubkan bandar tersebut, lawatilah Menara Macau, sebuah monumen kebangsaan berketinggian 338m yang turut menawarkan aktiviti lasak seperti Tower Climb, Bungee Jump, Sky Jump, atau Skywalk. Juga dikenali sebagai ‘The Vegas of Asia,’ Macau turut padat dengan pusat-pusat hiburan, seperti Venetian Macao yang serba mewah dan Macao Fisherman's Wharf, sebuah kompleks taman tema yang ideal untuk seisi keluarga. Selain itu, lengkapkan pengalaman Macau anda dengan menikmati tart telur yang terkenal; Minchi – juadah kebangsaan Macau yang terdiri daripada daging cincang, kentang, bawang, kicap, cendawan hitam dan telur goreng yang dihidang bersama nasi; snek ikan masin; udang goreng ala Macau dan banyak lagi.

AirAsia kini beroperasi dengan 157 penerbangan sehala seminggu dari Lapangan Terbang Antarabangsa Senai. Selain Macau, AirAsia juga terbang ke enam lagi laluan antarabangsa dari Johor Bahru; Bangkok, Guangzhou, Bandar Ho Chi Minh, Jakarta, Surabaya, dan Kolkata serta ke sembilan laluan domestik dari Johor Bahru; Kuala Terengganu, Kuala Lumpur, Pulau Pinang, Langkawi, Kuching, Miri, Tawau, Sibu, dan Kota Kinabalu.

Untuk promosi dan aktiviti terkini AirAsia, sila ikuti AirAsia di Twitter (twitter.com/AirAsia) dan Facebook (facebook.com/AirAsia).

*Promosi tambang termasuk semua yang tercatat adalah untuk perjalanan sehala sahaja termasuk cukai. Tertakluk kepada terma dan syarat.