AirAsia Newsroom

View Original

AirAsia cipta sejarah sebagai syarikat penerbangan pertama yang menawarkan laluan ke Nha Trang, Vietnam dari Malaysia

Kini semua boleh terbang ke Nha Trang dengan penerbangan terus setiap hari dari Kuala Lumpur

NHA TRANG, 15 September 2017 - AirAsia terus memperluaskan hubungan Asean dengan penerbangan sulung ke Nha Trang, Vietnam yang merupakan laluan unik ke-54 yang beroperasi setiap hari terus dari Kuala Lumpur. Penerbangan pertama ini juga mencipta sejarah bagi syarikat penerbangan itu kerana AirAsia menjadi syarikat penerbangan pertama yang mengendalikan penerbangan terus ke Nha Trang dari Malaysia.

Penerbangan sulung tersebut yang mencatat muatan sebanyak 93 peratus turut disambut dengan meriah setibanya di Lapangan Terbang Antarabangsa Cam Ranh di Nha Trang. Penerbangan AK204 yang tiba pada 11.35 pagi semalam telah disambut dengan pancuran air. Para tetamu yang turut serta dalam penerbangan ini termasuklah Dato’ Fam Lee Ee, Ahli Lembaga Pengarah AirAsia Berhad; Spencer Lee, Ketua Komersial AirAsia Berhad; serta media dari Malaysia, Australia dan Singapura yang akan meneroka Nha Trang dengan lebih lanjut.

Bersempena dengan sambutan tersebut, sebuah sidang akhbar telah diadakan di Nha Trang yang telah dihadiri oleh Nguyen Thị Le Thanh, Naib Pengarah Jabatan Pelancongan Khanh Hoa; Dato’ Fam Lee Ee, Ahli Lembaga Pengarah AirAsia Berhad; dan Spencer Lee, Ketua Komersial AirAsia Berhad.

Spencer Lee, Ketua Komersial AirAsia Berhad berkata, “Tahun ini merupakan tahun besar bagi Asean kerana kita meraikan ulang tahun ke-50 ASEAN dengan pelbagai aktiviti di rantau ini. Sebagai syarikat penerbangan Asean, kami berbangga untuk meneruskan komitmen kami untuk terus memacu Asean dan menghubungkan rantau ini terus ke Nha Trang. Kami berharap untuk berkongsi keindahan khazanah Asean ini dengan para tetamu kami melalui penerbangan harian yang beroperasi terus dari Kuala Lumpur.”

“Vietnam merupakan salah satu pasaran utama kami dan kami berbesar hati kerana dapat menghubungkan lebih banyak destinasi antara Vietnam dan Malaysia. Nha Trang adalah tambahan hebat kepada rangkaian kami dan ia berpotensi untuk menjadi destinasi popular, jadi kami telah meningkatkan laluan Fly-Thru bagi memberi manfaat kepada pelancong dari rantau ini dan lain-lain untuk melawat bandar ini. Kami juga berharap rakyat dari Wilayah Khánh Hòa akan mengambil kesempatan ini untuk melawat Malaysia, Asean dan serata dunia melalui rangkaian kami yang luas meliputi lebih 120 destinasi di 27 negara,” tambah beliau.

Para tetamu boleh menggunakan perkhidmatan penerbangan sambungan Fly-Thru di mana bagasi berdaftar mereka akan dihantar terus ke destinasi terakhir tanpa perlu melalui pelepasan imigresen di hab transit. Melalui perkhidmatan tambahan ini, para tetamu kini boleh melawat Nha Trang dari 8 negara serta 23 bandar termasuklah Johor Bahru, Pulau Pinang, Kota Kinabalu, Kuching, Langkawi, Singapura, Jakarta, Bali, Bandung, Surabaya, Guangzhou, Shenzhen, Chengdu, Changsha, Xi’an, Wuhan, Melbourne, Gold Coast, Sydney, Perth, Maldives, Colombo, dan Tiruchirappalli.

AirAsia juga menghubungkan para tetamu ke bandar-bandar lain di Vietnam termasuklah Ho Chi Minh City dengan 42 kali penerbangan seminggu; Da Nang dengan 10 kali penerbangan seminggu; dan Hanoi dengan 11 kali penerbangan seminggu.

Sebagai sebuah bandar perairan dan ibu negeri Wilayah Khánh Hòa, Nha Trang mempunyai pelbagai daya tarikan warisan di bandar yang serba moden. Juga terkenal dengan teluk-teluk yang indah, bandar perairan ini menawarkan deretan pasir putih di persisiran pantai sepanjang enam kilometer dan lautan biru jernih; lokasi peninggalan etnik minoriti Cham di Vietnam yang terletak di atas bukit berhadapan perkampungan nelayan Nha Trang; Taman Hiburan Vinpearl Land yang memegang Rekod Dunia Guinness dengan sistem kereta kabel sepanjang 3,320 meter dengan panorama laut yang menakjubkan; Gereja Nha Trang yang bercirikan Katolik Perancis; mata air panas semula jadi dan lokasi mandi lumpur serta juadah tempatan seperti snek kek, mi ubur-ubur, dan sup sarang burung.

Untuk promosi dan aktiviti terkini AirAsia, sila ikuti AirAsia di Twitter (twitter.com/AirAsia) dan Facebook (facebook.com/AirAsia).