AirAsia Lancar 9 Kulit Majalah travel 3Sixty° Sempena Meraikan Kemenangan ke-9 di Skytrax

310717.jpg

SEPANG, 31 Julai 2017 - Majalah dalam penerbangan AirAsia, travel 3Sixty° telah melancarkan sembilan kulit majalah istimewa untuk edisi bulan Ogos sempena meraikan kemenangan kali ke sembilan di Anugerah Skytrax. Kulit majalah tersebut telah dilancarkan oleh Datuk Kamarudin Meranun, penerbit majalah yang telah memenangi pelbagai pengiktirafan, yang juga Pengerusi Eksekutif AirAsia Berhad dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia X. Sebagai syarikat penerbangan yang menghargai para pekerja, kulit majalah tersebut dihiasi oleh sembilan kakitangan AirAsia yang dikenali sebagai Allstars dari pelbagai jabatan serantau untuk mencerminkan kakitangan AirAsia yang dinamik dan bekerja sebagai satu kumpulan untuk memacu AirAsia ke peringkat yang lebih tinggi.

Kulit majalah tersebut turut membawa hashtag #oneairasia, dan menekankan bagaimana AirAsia memperkasakan kakitangannya untuk merealisasikan impian mereka. Para Allstars yang menghiasi kulit majalah pada bulan Ogos ini adalah, Muneera Pozie, Agen Ramp (Malaysia); Suwapich Wongwiriyawanich, Juruterbang (Thailand); Kazuhide Yoshikawa, Pakar Sokongan Komputer (Jepun); Eva Emelia Hanaffi, Ejen Perkhidmatan Tetamu (Singapura), David Stephenson, Pengurus Kanan Stesen (Australia), Maulana Hidayat Rusdi, Eksekutif Penjenamaan & Kreatif (Indonesia), Mary Anne Dimalanta, Kru Kabin (Filipina), Neha Singh, Jurutera (India) dan Sandy He Jianxin, Ketua Media Sosial & Kandungan (China).

Isu bulan Ogos ini memfokuskan kepada usaha AirAsia menjadikan impian sebagai kenyataan melalui penajaan sukan untuk atlet yang berkebolehan, klinik kejurulatihan yang membantu memupuk bakat muda, dan inisiatif #DARETODREAM; Yayasan AirAsia bersama syarikat perusahaan sosial untuk memperkasakan masyarakat setempat; AirAsia Runway Ready Designer Search (AARRDS) untuk menyokong bakat kreatif di rantau ini; Kempen #Green24 untuk mempromosikan operasi hijau AirAsia dan memberi inspirasi kepada yang lain untuk turut serta; dan banyak lagi.

Isu ini juga menonjolkan penyelam Ama (komuniti penyelam wanita yang telah wujud selama lebih 3,000 tahun) dari Ise, Jepun; Rotorua, ibu kota pengembaraan Pulau Utara New Zealand; foto juadah ternama di 10 negara Asean, sempena sambutan ulang tahun ASEAN ke-50 pada bulan Ogos; rencana mengenai Sukan SEA ke-29 dan lain-lain.

travel 3Sixty° yang boleh didapati di dalam semua penerbangan AirAsia mencatatkan lebih tiga juta pembaca bulanan. Majalah tersebut juga akan meraikan ulang tahun ke-10 pada tahun ini dan bakal tampil dengan wajah baharu yang lebih mengujakan.

Untuk promosi dan aktiviti terkini AirAsia, sila ikuti AirAsia di Twitter (twitter.com/AirAsia) dan Facebook (facebook.com/AirAsia).