AirAsia mula penerbangan pertama dari Johor Bahru ke Kuala Terengganu

220617.JPG

Harga promosi tambang termasuk semua bermula dari RM79* sehala

KUALA TERENGGANU, 22 Jun 2017 - AirAsia, syarikat penerbangan tambang rendah terbaik dunia telah memulakan penerbangan pertamanya dari Johor Bahru ke Kuala Terengganu hari ini. Laluan baharu tersebut yang bakal beroperasi dengan kekerapan 3 kali seminggu, merupakan laluan domestik kesembilan dari Johor Bahru dan laluan domestik kedua ke Kuala Terengganu selain dari Kuala Lumpur.

Penerbangan sulung itu berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Senai pada jam 1.45 petang dan dihantar oleh En. Mohd Shukri bin Mohd Masbah, Pengarah Jabatan Pelancongan Negeri Johor dan En. Md Derick Basir, Ketua Pegawai Esksekutif Terminal Lapangan Terbang Senai Sdn. Bhd. Sambutan ketibaan penerbangan tersebut pula diadakan di Lapangan Terbang Sultan Mahmud di Kuala Terengganu di mana pesawat AK 6162 disambut oleh YAB Dato’ Seri Haji Ahmad Razif bin Abd. Rahman, Menteri Besar Terengganu.

Para tetamu yang turut serta dalam penerbangan pertama tersebut termasuklah YB Dato’ Haji Mohd Zubir Bin Embong, Yang Dipertua Speaker Dewan Undangan Negeri Terengganu; YM Tun Ahmad Faisal bin Tun Abdul Razak, Pengarah Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu; Aireen Omar, Ketua Pegawai Eksekutif, AirAsia Berhad; dan rakan-rakan media.

Aireen Omar, Ketua Pegawai Eksekutif, AirAsia Berhad berkata, “Kami gembira dapat menghubungkan lebih banyak laluan unik seperti Johor Bahru ke Kuala Terengganu. Kami juga akan terus komited dalam memperkenalkan lebih banyak laluan dan menyediakan sambungan yang lebih baik kepada para tetamu kami. Pada tahun 2016, AirAsia telah menerbangkan lebih 420,000 tetamu dari dan ke Terengganu, dan kami yakin dapat meningkatkan jumlah tersebut – selari dengan misi kerajaan negeri Terengganu untuk menarik kedatangan lebih ramai pelancong tahun ini.”

“Kami juga berharap untuk terus mengembangkan hab selatan kami di Johor Bahru dan menghubungkannya ke lebih banyak destinasi pada masa hadapan. Selain Kuala Terengganu, AirAsia juga terbang ke lapan laluan domestik lain dari Johor Bahru seperti Kuala Lumpur, Pulau Pinang, Langkawi, Kuching, Miri, Tawau, Sibu, dan Kota Kinabalu, serta lima laluan antarabangsa; Bangkok, Guangzhou, Bandar Ho Chi Minh, Jakarta, dan Surabaya,” tambah beliau. 

YAB Dato’ Seri Haji Ahmad Razif bin Abd. Rahman, Menteri Besar Terengganu pula berkata, “Terengganu ingin dikenali sebagai sebuah negeri pelancongan dengan kemudahan laluan darat dan udara, perkhidmatan terbaik, infrastruktur moden dan khazanah alam, budaya dan warisan. Penerbangan Johor Bahru ke Kuala Terengganu ini semestinya akan meningkatkan lagi ketibaan pelancong dari selatan ke Terengganu. Kami amat berbesar hati dengan kerjasama dan usaha AirAsia dalam membantu mempromosikan kenindahan pulau dan pantai kami, juadah tempatan yang enak, destinasi ekopelancongan Tasik Kenyir, tapak bersejarah, dan tarikan budaya kami. Sememangnya Terengganu memiliki pelbagai tarikan yang anda belum terokai.”

En. Md Derick Basir, Ketua Pegawai Esksekutif Terminal Lapangan Terbang Senai Sdn. Bhd. menambah, “Lapangan Terbang Senai mengalu-alukan laluan ke Kuala Terengganu oleh AirAsia sebelum sambutan Hari Raya ini. Laluan ini adalah sangat penting kerana ia menawarkan akses yang lebih mudah dan menggalakkan sektor pelancongan serta ekonomi di Selatan dan Pantai Timur Semenanjung. Kami juga telah bekerjasama dengan AirAsia untuk menambah laluan dari Lapangan Terbang Senai untuk komuniti di Selatan. Tahun ini telah menyaksikan kemajuan besar bagi kami dengan pengenalan laluan Langkawi dan Kuala Terengganu, serta laluan semula ke Jakarta dan Tawau. Sejajar dengan Iskandar Malaysia yang kini berkembang pesat, Johor Bahru telah menjadi destinasi penting untuk perniagaan, percutian, pendidikan dan pelancongan perubatan seterusnya menggalakkan perjalanan udara." 

Bagi meraikan penerbangan pertama ini, AirAsia menawarkan tambang termasuk semua bermula dari RM79* sehala di www.airasia.com dari 22 Jun 2017 hingga 25 Jun 2017 untuk tempoh perjalanan dari 22 Jun 2017 hingga 23 November 2017. Tambang promosi ini juga boleh didapati dengan tempahan menerusi aplikasi mudah alih AirAsia bagi peranti iPhone dan Android, serta di laman mudah alih mobile.airasia.com. 

Terengganu dikenali dengan pelbagai tarikan seperti pantai yang indah di Pulau Perhentian dan Redang, juadah enak seperti Nasi Dagang dan Keropok Lekor, tapak bersejarah dan seni budaya seperti Masjid Kristal, Batu Bersurat dan banyak lagi. Para pelancong dari Asia dan serantau juga dapat menyambung penerbangan dengan lancar ke Terengganu melalui hab utama di Kuala Lumpur dengan produk Fly-Thru AirAsia..

Johor juga turut menjadi tumpuan pelancong kerana ia menawarkan pelbagai pilihan membeli-belah dan hiburan, juadah lazat, serta keindahan alam semula jadi. Kunjungi taman tema yang menghiburkan di Legoland Malaysia, Hello Kitty dan Puteri Harbour, nikmati kawasan rekreasi luar di Taman Negeri Endau Rompin atau Gunung Lambak, atau rancang percutian di pulau-pulau yang indah seperti Rawa, Sibu, Besar dan Pemanggil. Johor juga merupakan syurga membeli-belah di mana pelancong boleh membeli pelbagai barangan berjenama pada harga diskaun di Johor Premium Outlets, Pusat Beli Belah Tebrau City dan City Square. 

Untuk promosi dan aktiviti terkini AirAsia, sila ikuti AirAsia di Twitter (twitter.com/AirAsia) dan Facebook (facebook.com/AirAsia).